PADA Julai tahun lalu, apakhabartv telah dipertemukan dengan senaskhah al-Quran yang dikatakan ‘hidup’ di sebuah pondok di Narathiwat, Selatan Thailand. Ianya dibuktikan menerusi video yang sempat penulis rakam.

Rujuk di sini

Kemudian pada Ogos tahun sama pula apakhabartv sekali lagi dipertemukan dengan senaskhah al-Quran tulisan tangan menggunakan dakwat daripada air emas, juga di sebuah pondok di Narathiwat.

Rujuk di sini

Salah satu keistimewaan al-Quran ialah kitab suci yang diwarisi sejak lebih 1,400 tahun dahulu sehingga kini tidak mempunyai sebarang pindaan pada kandungan sedia ada.

Sesungguhnya banyak naskhah-naskhah Kitab Suci itu yang masih tersimpan di seluruh dunia. Namun, apa yang menarik ialah naskhah al-Quran yang berabad lamanya namun masih kekal hingga sekarang.

Di wilayah Selatan Thailand yang kebanyakan penduduknya beragama Islam, terdapat pusat penting yang digunakan untuk mengumpul dan mengekalkan kira-kira 79 naskhah kitab suci al-Quran lama yang diperoleh daripada pelbagai sumber di seluruh dunia, iaitu di Muzium Al-Quran Lama dan Warisan Melayu di Pondok Wakaf Anak Ayam, Yi Ngo, Narathiwat.

Pengetua madrasah yang juga pengelola muzium berkenaan, Ustaz Muhammad Lutfi Haji Saman ketika ditemui apakhabartv menjelaskan muzium itu menyimpan lebih 70 naskhah al-Quran lama yang sesetengahnya berusia lebih 1,000 tahun

Ini termasuk al-Quran abad ke-16, katanya merujuk kepada abad yang berlangsung dari tahun 1501 hingga 1600.

Ini termasuk al-Quran yang digunakan oleh generasi ke-empat tabi’in. Dicatatkan oleh Imam as Suyuthi dalam Tadribur Rowi, definisi tabi’in yang masyhur adalah: Orang-orang yang berjumpa dengan sahabat dalam keadaan muslim, serta wafat juga dalam keadaan muslim.

Muzium itu sebelum ini terletak di kawasan bilik darjah di tingkat bawah sekolah agama berkenaan dengan pameran ringkas dalam bentuk muzium tempatan.

Ia telah beroperasi sejak 2010 dan dipelopori oleh Ustaz Muhammad Lutfi yang mengambil masa kira-kira 15 tahun untuk mengumpul naskhah al-Quran lama untuk tujuan pemuliharaan dan pameran.

Awalnya beliau mengumpul 13 naskhah al-Quran lama daripada penduduk sekitar. Seterusnya, bilangan al-Quran telah bertambah secara berterusan kerana penduduk tempatan di wilayah Pattani, Yala, dan Narathiwat, telah beransur-ansur menyerahkan kitab al-Quran mereka kepada muzium ini.

Sebahagian daripada naskhah al-Quran itu turut diberikan oleh beberapa warga asing dari negara ASEAN, serta Arab. Pada masa ini, terdapat 79 naskhah al-Quran lama dengan usia antara 150 hingga 1,200 tahun yang sudah melalui proses pemulihan dan konservatif.

Penulis menemubual Ustaz Muhammad Lutfi Haji Saman.

“Oleh kerana naskhah al-Quran lama semakin banyak yang kita dapat dan kami menerima kunjungan dan lawatan pelancong yang ramai, maka keadaan madrasah sebagai muzium tidak lagi sesuai.

“Kami telah memohon bantuan daripada kerajaan Thailand dan umat Islam seluruh dunia untuk membina sebuah muzium khas yang lebih besar.

“Kini muzium bernilai 220 juta baht (kira-kira RM29.2 juta) telah siap dibina dan menanti perasmianya oleh Raja Thailand yang dijangka tahun ini,” katanya.

Pengunjung akan terpesona dengan keindahan naskhah al-Quran berusia ratusan tahun dari Pattani. Naskhah itu telah dipilih oleh Perpustakaan Suleymaniye di Turki sebagai kitab suci terindah di dunia Islam pada 2016.

Selain itu, terdapat juga naskhah al-Quran dari China dengan penutup kulit dan sutera serta corak Melayu bunga raya. Terdapat juga al-Quran zaman Empayar Mogul di India dengan bahagian atasnya diperbuat daripada kulit haiwan dan kertasnya diperbuat daripada kulit kayu.

Walaupun kesemuanya ditulis dengan huruf yang sama, iaitu huruf Arab, ia mempunyai butiran berbeza yang mencerminkan identiti setiap budaya.

Selain itu, muzium ini juga memuatkan beberapa dokumen lama dengan pengetahuan tentang pelbagai dimensi.

Jabatan Seni Halus, Kementerian Kebudayaan Thailand, melihat kepentingan kitab suci dan dokumen lama. Oleh itu mereka mendaftarkan kitab suci dan dokumen lama serta menyediakan pengetahuan tentang pemuliharaan, pemulihan, dan penyelenggaraan di bawah prinsip akademik yang betul.

Muzium ini terdiri daripada:

  • Bilik 1 – Bilik Pengenalan;
  • Bilik 2 – Cara Hidup Orang Islam di bawah garis panduan yang digubal oleh Islam dengan mengemukakan cara hidup dan tradisi penting orang Islam yang banyak terdapat di tiga wilayah sempadan selatan terutamanya, kaedah berfikir dan amalan orang Islam, pengenalan tentang beberapa tempat penting dan menarik yang berkaitan dengan orang Islam di Wilayah Narathiwat, kandungan untuk menghormati Raja Rama IX, dan kandungan untuk menghormati Raja Rama X; dan
  • Bilik 3 – Penyampaian kandungan al-Quran, laluan dakwah Islam ke Asia Tenggara, al-Quran – piagam kehidupan manakala kitab suci al-Quran dipilih untuk dibentangkan sebagai kitab utama dan kedua.

Kandungan pameran ini dipersembahkan dalam tiga bahasa termasuk bahasa Thai, Inggeris dan bahasa Melayu Pattani.

Dalam masa terdekat, Muzium Al-Quran Lama dan Warisan Melayu akan menjadi pusat pembelajaran budaya dan kesenian kebangsaan untuk menyelidik dan mengkaji al-Quran serta warisan budaya Islam.

Ia juga dapat meningkatkan kesedaran penduduk tempatan di wilayah sempadan selatan untuk menyedari kepentingan budaya mereka yang membawa kepada semangat, menghargai, dan berbangga dengan warisan budaya dan kesenian Islam di kawasan tempatan mereka.

Lebih-lebih lagi, ia akan memberi kesan yang baik kepada ekonomi dan masyarakat daripada pelancongan di Thailand dan seluruh dunia.

Ini selaras dengan Dasar Pelancongan Komuniti yang akan membantu meningkatkan pekerjaan dan pendapatan penduduk tempatan untuk membina ekonomi komuniti yang kukuh secara mampan.

Hari ini, 29 Februari 2024, muzium itu menerima kunjungan Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin.

One response to “Muzium al-Quran dan warisan Islam terbesar di Nusantara bakal pikat jutaan pelancong”

  1. […] contoh yang dikembangkan oleh institusi persendirian dengan bantuan agensi Kerajaan Thailand ialah Muzium Al-Quran dan Warisan Budaya Islam yang terletak di Pondok Wakaf Anak Ayam, Yi Ngo, Narathiwat, Selatan […]

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading