Oleh Razali Zakaria di Narathiwat, Thailand
Pertama kali ditanya sama ada pernah atau tidak melihat al-Quran ‘hidup’, penulis kehairanan. Bagaimana sebuah al-Quran boleh hidup? Bagaimana sebuah al-Quran boleh bergerak – berhayun atau berputar – hanya dengan niat kita?
Segalanya bermula apabila penulis melakukan perjalanan ke Selatan Thailand untuk menyambut Aidiladha bersama waris di tempat kelahiran Allahyarham ayah penulis dan Kampung Lubo Sawo, Bacho di wilayah Narathiwat – bersempadan dengan Kelantan – baru-baru ini.
Penulis telah berjanji bertemu dengan seorang tokoh agama Narathiwat, yang juga Mudir Madhaad Darul Ansor Pondok Jelor, Bare Nuea, Bacho, Narathiwat, Tuan Guru Baba Haji Sya’rani Al Fathoni.

Ini adalah kali kedua penulis bertemu Baba Haji Sya’rani. Kali pertama adalah beberapa bulan lalu, di mana penulis menziarahi beliau – juga untuk beramah mesra kerana beliau adalah adik kepada isteri anak saudara sepupu penulis.
Beberapa hari lalu, penulis sekali lagi menziarahi beliau untuk membuat rakaman video al-Quran tulisan tangan dan al-Quran tulisan tangan menggunakan dakwat daripada air emas.
Penulis akan ceritakan mengenai al-Quran tulisan tangan dakwat air emas itu dalam siri seterusnya.
Namun untuk pertemuan kali ini, penulis dikejutkan oleh pertanyaan Baba Haji Sya’rani sama ada pernah melihat sendiri al-Quran hidup atau al-Quran ‘harakat’.
Pok Li (panggilan untuk penulis) pernah lihat al-Quran harakat (hidup)? Soal beliau, membuatkan penulis terkejut.
Penulis hanya menggeleng kepala kerana tidak pernah melihat al-Quran ‘harakat’.
Baba Haji Sya’rani mengeluarkan sebuah al-Quran yang menurutnya ditulis tangan di atas kulit kijang putih dipercayai berusia ratusan tahun.
Menurut Baba Haji Sya’rani, kebiasaannya al-Quran lama tidak mempunyai tarikh ditulis atau nama penulisnya. Sebab itu, beliau sendiri tidak pasti siapa dan bila al-Quran ‘harakat’ itu ditulis.
Namun, katanya, al-Quran ‘harakat’ itu berasal dari Acheh, Indonesia, dihadiahkan kepadanya oleh seorang ulama setelah beliau mendalami ilmu-ilmu agama selain membeli al-Quran lama.
Menurutnya al-Quran ‘harakat’ itu mengandungi beberapa surah seperti Al-Fatihah, Al-Waqiah, dan Yassin.
Baba Haji Sya’rani mengambil seutas benang dan diikat pada al-Quran ‘harakat’ sebelum menyapu minyak wangi, serta membaca beberapa ayat suci, selawat dan doa.

Beliau memegang hujung benang sambil membiarkan al-Quran itu bergoyang, dan meminta penulis berniat di dalam hati untuk menyuruh al-Quran itu berhayun atau berputar.
Penulis berniat dalam hati untuk meminta al-Quran itu berputar. Pada suatu ketika, al-Quran itu mula berputar beberapa kali sesuai dengan niat penulis, sebelum berhenti.
Demikian pengalaman di luar kotak fikiran, apa yang penulis lihat sendiri bagaimana ‘al-Quran hidup’ itu berputar.
Ditanya bagaimana al-Quran itu boleh berputar sesuai dengan kehendak penulis, Baba Haji Sya’rani berkata “semua itu adalah kuasa Allah Taala”.
Baba Haji Sya’rani turut menyimpan tiga lagi al-Quran tulis tangan, termasuk sebuah al-Quran yang ditulis menggunakan dakwat air emas.
Beliau berhasrat menjual al-Quran tulisan tangan (bukan dakwat air emas) kepada sesiapa yang berminat menyimpannya.
Hasil jualan itu akan digunakan bagi menampung pembangunan pondok Madhaad Darul Ansor, termasuk mendirikan beberapa pondok yang telah usang, serta menyiapkan sebuah masjid.
klik untuk lihat video





Leave a Reply