Ada laporan mengatakan pihak berkuasa India turut menemukan senaskhah al-Quran berlapis emas yang diperkirakan berusia dalam lingkungan hampir lima abad lalu iaitu ketika pemerintahan Dinasti Mughal.

Seorang sejarawan India, Prof Sheikh Ali memaklumkan tidak ada maklumat jelas perihal al-Quran tersebut.

Namun, beliau yakin al-Quran tersebut didedikasikan untuk alim ulama pada masa itu. Naskhah berlapis emas itu dilapor ditemukan oleh pihak polis di daerah Mtsuru di bahagian selatan Karnataka.

“Al-Quran ini ditulis pada 1050 Hijrah bersamaan 1605 Masehi iaitu sekitar pemerintahan Dinasti Mughal mencapai puncak kejayaan di India,” kata Sheikh Ali.

Itu kisah naskhah al-Quran yang ditemukan di India.

Maklumat daripada Universiti Malaysia Terengganu (UMT) pula mengatakan kajian sejarah penghasilan al-Quran menunjukkan, terdapat 11 kesultanan di Asia Tenggara menghasilkan naskhah al-Quran, termasuk Terengganu, Sumatera, Sumbawa dan Acheh yang digunakan untuk tujuan pengajian dan pertabalan sultan.

Menurut laporan itu lagi, manuskrip al-Quran berasal dari Terengganu yang berusia sekitar 100 hingga 200 tahun sememangnya diketahui adalah yang tercantik di Asia Tenggara kerana keindahan dan kemewahan ragam hiasnya serta kehalusan seni penghasilannya.

Kesultanan Terengganu dilaporkan telah menghasilkan al-Quran antara tahun 1800 hingga 1900 dan ini menggambarkan Kesultanan Terengganu sangat menjunjung tinggi kitab suci al-Quran.

Berdasarkan rekod yang dikutip UMT, terdapat 27 manuskrip al-Quran Terengganu yang mana sebanyak lapan manuskrip disimpan di Muzium Negeri Terengganu; tujuh manuskrip disimpan di muzium-muzium lain di Malaysia; lapan lagi manuskrip berada di negara jiran iaitu Indonesia, Singapura dan Thailand; manakala baki empat manuskrip kini dimiliki oleh orang perseorangan.

Demikian juga kisah naskhah al-Quran lama yang tersimpan di Malaysia.

Al-Quran ditulis tangan menggunakan dakwat daripada emas.

Ini pula adalah kisah bagaimana penulis dipertemukan dengan sebuah lagi naskhah al-Quran yang bukan sahaja bersejarah dan berusia lebih 1,000 tahun, malah setakat ini tidak pernah lagi dilaporkan.

Ayat-ayat al-Quran dalam kitab suci ini adalah tulisan tangan dan ditulis menggunakan dakwat daripada air emas tulen.

Al-Quran ditulis tangan menggunakan dakwat daripada emas di atas kulit pokok kurma.

Kebetulan penulis menziarahi sebuah pondok di Selatan Thailand baru-baru ini – Pondok Darul Ansor di Bachok, Narathiwat.

Penulis tidak tahu pun mudir pondok itu Tuan Guru Baba Haji Sya’rani Al Fathoni (FB – https://www.facebook.com/profile.php?id=100072338484561) menyimpan naskhah al-Quran daripada air emas.

Penulis sebenarnya menziarahi Baba Haji Sya’rani kerana beliau dikatakan ada menyimpan naskhah al-Quran tulisan tangan, namun tidak menyangka apabila beliau menawarkan untuk menunjukkan naskhah lengkap 30 juzuk al-Quran tulisan tangan yang dakwatnya adalah daripada air emas.

“Nak tengok al-Quran 30 juzuk ditulis dengan dakwat air emas?” soal Baba Haji Sya’rani kepada penulis. Ya! Pastinya penulis terkejut apabila ditanya soalan itu, sambil menoleh kepada Fadzli dan isterinya Kameelah – anak saudara sepupu penulis yang tinggal di Kampung Lubo Sawo, Narathiwat.

Belum pernah penulis melihat dengan mata kepala sendiri naskhah lengkap al-Quran sedemikian. Al-Quran di rumah penulis adalah hasil cetakan menggunakan dakwat biasa, bukan tulisan tangan atau menggunakan dakwat air emas.

Penulis mengiakan! Lalu Baba Haji Sya’rani menuju ke biliknya mengambil dua naskhah al-Quran yang disimpan dalam sarung kain (seperti sarung bantal).

Al-Quran tulisan tangan berusia lebih 800 tahun yang mahu dijual oleh Baba Haji Sya’rani bagi menampung pembangunan pondok beliau.

Dikeluarkan dua naskhah al-Quran lama – kedua-duanya tulisan tangan, dengan salah satunya agak berat.

Hebatnya, Baba Haji Sya’rani ini ialah apabila beliau hendak melakukan apa sahaja, hatta untuk melangkah bendul atau menaiki tangga, beliau akan mengucapkan ‘Bismillah’ terlebih dahulu.

Dengan lafaz Bismillah, beliau perlahan-lahan membuka kitab suci itu dan menunjukkannya kepada penulis.

Memang hebat. Kali pertama penulis melihat sendiri al-Quran dakwat air emas. Seni tulisannya saling tidak tumpah seperti al-Quran cetakan 30 juzuk yang ada sekarang.

Menurut Baba Haji Sya’rani, al-Quran air emas itu ditulis di atas kulit dan pelepah pokok tamar (kurma). Namun, ia telah mula dimamah usia dan memerlukan penjagaan rapi secara saintifik.

Tidak tahu bila al-Quran itu ditulis, beliau menganggarkan kitab suci berkenaan berusia lebih 1,000 tahun.

Menurutnya, al-Quran itu dibeli daripada pihak tertentu ketika beliau belajar di beberapa buah negara di Timur Tengah.

Al-Quran tulisan tangan bersia lebih 800 tahun kini semain dimamah usia namun disimpan dengan baik oleh Baba Haji Sya’rani.

“Berapa harga Baba beli?” Tanya penulis. Bagaimanapun, Baba Haji Sya’rani enggan menjelaskan.

Beliau juga tidak bersedia menjual al-Quran dakwat emas itu walau berapa harga yang ditawarkan.

Malah, Baba Haji Sya’rani juga keberatan untuk meminjamkannya jika ada mana-mana pihak yang berhasrat untuk mengadakan pameran al-Quran, walaupun beliau sendiri boleh hadir bagi memastikan keselamatannya.

“Tapi, jika al-Quran ini, saya sedia menjualnya,” kata beliau sambil menunjukkan sebuah lagi kitab suci iaitu yang ditulis tangan dan dianggarkan berusia lebih 800 tahun.

“Al-Quran ini hanya akan pergi (disimpan) oleh orang yang terpilih sahaja,” jelas beliau lagi ketika menerangkan hal berkaitan orang yang mampu membelinya.

Beliau menerangkan kepada penulis bahawa jika ada orang kaya mempunyai wang berjuta-juta pun, tetapi jika tidak memiliki keinginan menyimpan kitab suci itu atau dibukakan hati untuk memilikinya, maka orang itu tidak akan dapat membeli al-Quran berkenaan.

Baba Haji Sya’rani menjelaskan sebab beliau mahu menjual al-Quran tulisan tangan itu.

“Untuk menampung dana pembangunan pondok, memperbaiki pondok-pondok yang telah mula usang, selain menyiapkan pembinaan masjid. Jadi boleh jual al-Quran ini untuk tujuan pembangunan,” katanya.

Mudir Pondok Darul Ansor di Bachok, Narathiwat, Tuan Guru Baba Haji Sya’rani Al Fathoni.

Semua penghuni pondok Baba Haji Sya’rani adalah warga emas yang dibahagikan kepada tiga kategori iaitu lelaki, wanita serta pasangan suami isteri.

Terdapat seramai 28 wanita dan 27 lelaki di lebih 30 buah pondok yang kebanyakannya sudah semakin usang dan memerlukan pembaikan.

Daripada anggaran yang dibuat oleh penulis, pondok Baba Haji Sya’rani memerlukan dana awal untuk membaiki jalan masuk, membaiki pondok, menyiapkan masjid dan membeli peralatan pengajian serta solat, berjumlah kira-kira RM119,000.

Jika ada pihak yang mahu bersedekah atau menghulurkan sumbangan, boleh terus menghubungi Baba Haji Sya’rani menerusi Facebook beliau.

Untuk rekod, Baba Haji Sya’rani juga kerap diundang memberi ceramah agama di beberapa negeri di Malaysia.

Namun, yang menariknya beliau bukan hanya menyimpan dua naskhah al-Quran itu, tetapi ada lagi naskhah tulisan tangan termasuk ‘Al-Quran hidup‘.

Masjid Pondok Darul Ansor yang masih belum dapat disiapkan kerana kekurangan dana.

Leave a Reply

Trending