Oleh Muhammad Syammeer Fitri bin Jasmi

DUSTA! Jika seseorang mengatakan dirinya tidak pernah langsung mengalami stres di sepanjang kehidupannya. Stres ini sudah menjadi perkara lazim untuk sekalian manusia hadapi berdasarkan ujian dan cabaran hidup masing-masing.

Suka untuk diingatkan dan perlu diakui bahawa manusia memang tidak mampu lari daripada diuji walaupun dengan sekecil-kecil ujian.

Bagaimanapun, yakinilah bahawa ujian yang mendatang bukanlah satu perkara yang sia-sia. Sudah pasti akan ada hikmah dari Sang Pencipta dan anggaplah ujian sebagai salah satu lumrah dalam kehidupan.

Situasi ini bertepatan dengan firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 214 yang bermaksud:

Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah).”

Namun, janganlah terlalu dikhuatiri kerana Allah SWT sudah berjanji dalam surah Al Baqarah, ayat 286 yang bermaksud:

Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya. Dia mendapat (pahala) daripada (kebaikan) yang dilakukannya dan dia mendapat (seksaan) daripada (kejahatan) yang dilakukannya.

Segala sesuatu dugaan yang ditimpa oleh seseorang dalam hidup ini bergantung kepada cara individu menghadapinya kerana ia sangat berkait rapat dengan ‘belief system’.

Seseorang yang sentiasa optimis akan merasakan masalah yang dihadapi mempunyai hikmah disebaliknya, secara tidak langsung akan meringankan beban yang dilaluinya.

Namun demikian, jika seseorang gagal mengawal masalahnya maka stres tersebut akan membuatkan dia merasakan ujian ini sebagai bala atau musibah, secara tidak langsung akan memberi kesan yang mendalam sama ada mental ataupun fizikal.

Jika perkara ini berlarutan akan membawa kepada masalah yang lebih serius iaitu kemurungan yang boleh membawa maut jika tidak dicegah daripada awal.

Umat manusia pada hari ini majoritinya menggunakan metode hiburan untuk berdamai dengan stres apabila ditimpa sesuatu ujian. Misalnya, aktiviti seperti berkaraoke dan menyertai konsert. Konsep ini perlu difahami dengan jelas bahawa cara di atas hanyalah mendapat ketenangan yang bersifat sementara sahaja.

Fitrah hakiki manusia ialah kembali kepada agama apabila ditimpa kesusahan dan memerlukan pertolongan demi mendapatkan ketenangan yang abadi daripada Tuhan Yang Maha Esa.

Hanya dengan mengingati Allah sahaja hati manusia akan mengecapi makna sebenar ketenangan.

Terdapat beberapa cara untuk berdamai dengan stres mengikut kaedah islam salah satunya ialah memperbanyakkan zikir kepada Allah SWT. Keadaan ini kerana al-Quran sudah menjelaskan bahawa dengan zikrullah sahaja, hati akan menjadi tenang.

Selain itu, kaedah yang lain ialah membaca, memahami dan menghayati isi kandungan al-Quran. Contoh mudah yang sangat wajar untuk masyarakat hari ini teladani ialah kisah-kisah para nabi di dalam al-Quran.

Misalnya, kisah Nabi Yusuf dan ayahnya Nabi Yaakub yang sarat dengan pelbagai pengajaran. Perkara yang boleh difokuskan di sini adalah seperti bagaimana ketabahan seorang ayah yang ditimpa ujian apabila kehilangan dua orang anak kesayangannya.

Menghayati al-Quran ini bukan setakat kita mendengar sepintas lalu seperti sesetengah masyarakat yang bosan mempelajari sejarah orang Barat akan tetapi kisah di dalam al-Quran perlu dibayangkan dan diaplikasikan dalam kehidupan harian.

Seterusnya, pendekatan dalam Islam juga menggunakan cara bertaqarrub kepada Allah SWT untuk menghilangkan rasa stres. Perkara ini bermaksud usaha yang dilakukan oleh seseorang untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan amalan-amalan soleh dan kebajikan.

Antaranya adalah dengan menghidupkan malam hari dengan melakukan qiamullail kepada Allah SWT.

Kesimpulannya, stres yang ditimpa pada seseorang berdasarkan ujian masing-masing merupakan lumrah dalam kehidupan bagi seseorang manusia.

Oleh yang demikian, kita mestilah bijak untuk menghadapinya supaya kita memiliki kehidupan yang lebih aman dan tenteram.

Untuk itu, suka diingatkan kepada sekalian manusia dengan memandang sesuatu ujian dan stres itu ke arah perspektif yang positif untuk kita sentiasa kekal optimis.

Perkara ini bukanlah untuk mengenepikan perasaan sedih secara terus tetapi untuk kita terus bangkit dalam menjalani kehidupan yang akan datang.

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading