Oleh Nur Afrina Mohamad Hizam

TANJUNG MALIM: Badan yang sihat melahirkan otak yang cerdas. Bagi mewujudkan suasana yang aktif dalam kalangan mahasiswa, Exco Perpaduan dan Integrasi Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid Sidang 2023/2024 telah menganjurkan Program Colours of Unity Run “Colours Unite, Hearts Ignite !”.

Program yang berlangsung pada 14 Januari 2024 (Ahad) menghadirkan lebih 500 penyertaan daripada kalangan mahasiswa, staf universiti serta masyarakat dari seluruh negara.

Pengarah Program merangkap Exco Perpaduan dan Integrasi Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid Sidang 2023/2024, Sudhani Teh Zhi Hui menjelaskan program ini bertujuan memupuk semangat perpaduan dalam kalangan mahasiswa dan komuniti setempat dalam aktiviti sukan dan larian.

Katanya, program itu juga mampu membina kesedaran berkaitan kepentingan aktiviti fizikal terhadap tubuh badan dan kesihatan diri serta untuk membangun dan meningkatkan pengetahuan dan amalan sukan bagi keperluan sosial seseorang individu.

“Program yang bertemakan larian perpaduan warna-warni ini dijalankan dengan objektif untuk memupuk semangat perpaduan dalam kalangan mahasiswa dan komuniti berbilang kaum yang bertepatan dengan inisiatif Kementerian Pengajian Tinggi melalui Program Semarak Siswa Madani yang memfokuskan perhubungan akrab antara mahasiswa dan komuniti,” katanya.

Pengetua KHAR, Dr Haji Che Anuar Che Abdullah berharap program seperti itu akan terus diadakan demi menghidupkan suasana mahasiswa kolej dan universiti yang aktif, berakhlak, berkepemimpinan dan cemerlang dalam segala aspek.

Pengerusi Majlis Pengetua UPSI, Profesor Madya Dr Mohd Nizam Nasrifan pula menyifatkan program itu berjaya memupuk semangat perpaduan dan kesedaran mahasiswa dan komuniti setempat akan pentingnya amalan gaya hidup sihat dalam kehidupan seharian.

“Saya melihat perkara seperti ini dapat membina kesedaran mahasiswa dan masyarakat akan pentingnya aktiviti fizikal ke atas tubuh badan yang menepati Pelan Pembangunan Mampan iaitu mencapai kesihatan dan kesejahteraan sejagat.

“Secara tidak langsung kita juga dapat melahirkan belia dan masyarakat yang bersatu padu melalui aktiviti sukan dan larian di samping menjalani gaya hidup sihat dan aktif untuk kesihatan tubuh badan dan kecerdasan minda.

“Program ini seterusnya mempromosikan UPSI sebagai peneraju dalam menganjurkan program-program sukan berimpak tinggi dan melahirkan belia yang holistik serta mampu memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.

Turut hadir, Ketua Eksekutif Trading Services UPSI Holdings Sdn Bhd, Mohamad Izzuddin Zakaria; Pengetua Kolej Awang Had Salleh, Dr Mardiana Ismail; Pengetua Kolej Za’ba, Haji Yusop Ahmad; Penolong Pegawai Tadbir KHAR, Puan Suriati Ismail; wakil Pengetua Kolej Aminuddin Baki, Mohd Firdaus Jasmani; Penasihat Program, Cik Nurul Najwa Mohamad dan barisan felo, Dr Muhammad Ridhwan Sarifin, Hazman Ya’akob serta Nazrin Yusri.

Nurul Najwa pula melahirkan rasa bangganya kerana program ini mendapat sambutan yang sangat meriah dan luar biasa daripada mahasiswa UPSI, kakitangan mahupun warga muallim.

“Puas hati saya dapat melihat perjalanan program yang penuh dengan warna-warni dan kemeriahan dari pelbagai sudut dan berharap agar program seperti ini dapat dianjurkan lagi bagi memupuk semangat perpaduan dan kekeluargaan dalam kalangan mahasiswa dan komuniti setempat.

Ia juga dapat menyemai semangat Semarak Siswa Madani dalam diri mahasiswa agar mampu menjadi seorang pemimpin dalam penganjuran program seperti ini yang bertepatan dengan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia untuk melahirkan pemimpin
dalam kalangan rakyat di Malaysia.”

Sementara itu, pemenang cabutan bertuah utama membawa pulang hadiah penginapan 2 hari 1 malam di Hotel Scholar’s Suite, UPSI dan cabutan bertuah yang lain membawa pulang hadiah dan cenderamata tajaan UPSI Holdings Sdn Bhd.

Sesuai harapan Naib Canselor UPSI, KHAR akan sentiasa meneraju program berimpak tinggi dan membantu universiti dalam melahirkan mahasiswa yang berkualiti serta memberi manfaat kepada komuniti.

Leave a Reply

Trending