
RTC GOPENG: Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC) dipilih mewakili daerah Muallim sebagai agensi yang menyediakan Fasiliti Mesra Penyusuan Susu Ibu bersempena dengan Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu peringkat Negeri Perak 2023.
Pengarah NCDRC, Prof Madya Dr Mazlina Mustafa berkata, pemilihan NCDRC sebagai wakil daerah Muallim adalah suntikan positif bagi agensi itu untuk membantu dalam menyebarkan dan mempromosikan manfaat penyusuan susu ibu kepada komuniti.
“Pengiktirafan yang diberikan ini menunjukkan komitmen NCDRC untuk membantu ibu-ibu yang menghantar bayi di TASKA bagi keselesaan meneruskan penyusuan susu ibu setelah masuk semula bekerja selepas cuti bersalin,” katanya.
Menurutnya, advokasi kepentingan penyusuan susu ibu peringkat global giat dijalankan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) dan Tabung Kecemasan Kanak-kanak Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF) bagi memastikan kesejahteraan ibu serta anak.
“Hal ini bertepatan dengan dapatan kajian lepas yang menunjukkan bahawa susu ibu mengandungi nutrien tertentu yang amat kritikal untuk perkembangan otak dan memberi keselesaan dan keselamatan emosi kepada bayi serta meningkatkan hubungan kasih sayang antara ibu dan anak,” katanya.
Sementara itu, Penyelaras Penerbitan dan Jaringan Industri & Komuniti NCDRC, Dr Intan Farahana Abdul Rani berkata pemilihan NCDRC sebagai wakil daerah ini amat membanggakan kerana setiap Pusat Kesihatan Daerah (PKD) hanya mencalonkan satu sahaja agensi yang mempunyai fasiliti yang lengkap dan terbaik.
Pemilihan ini dimaklumkan oleh Pegawai Pemakanan, Puan Ili Dalila Tajudinyang yang menguruskan bahagian penyusuan daerah Muallim setelah penilaian dilakukan oleh pihak PKD pada bulan Ogos yang lalu.
Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu yang berlangsung pada 7 September 2023 di RTC Gopeng, Perak ini dirasmikan oleh Dr. Sirajuddin bin Hashim, Pengarah Kesihatan Negeri Perak.
Program yang dianjurkan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kampar, Cawangan Pemakanan ini adalah bertemakan ‘Mengupayakan Penyusuan Susu Ibu: Perubahan bermakna kepada Ibu Bapa Bekerjaya’.






Leave a Reply