Oleh Zuraidah Mohamed
JOHOR BAHRU: Pesara perkhidmatan awam adalah aset negara yang boleh digembleng membantu kerajaan, komuniti perniagaan mahupun industri dalam memperkasakan pengurusan, integriti dan menyelesaikan masalah berdasarkan bidang kemahiran mereka.
Presiden Persatuan Bekas Kastam Diraja Malaysia (PERBEKAS) Malaysia, Datuk Bedolah Botok berkata, pesara masih mempunyai nilai tambah dari sudut pengalaman, kemahiran dan jaringan kerja yang boleh dimanfaatkan oleh semua pihak termasuk jabatan mahupun agensi serta korporat.
Beliau mengambil contoh pesara Kastam termasuk ahli PERBEKAS yang dilantik menjadi penasihat korporat kepada syarikat dalam menyediakan input berkaitan strategi korporat, pembayaran cukai serta undang-undang percukaian dan eksais mahupun pemerkasaan integriti.
“Khidmat nasihat itu ditawarkan dengan caj asas sebagai punca pendapatan persatuan dan seterusnya kami belanjakan semula bagi membiayai program kebajikan yang disusun,” katanya pada MHi-Tea Tambak Johor yang dianjurkan PERBEKAS Johor di sini.
Majlis dihadiri oleh ahli PERBEKAS yang pernah bertugas di Jabatan Kastam DiRaja Malaysia, Johor Bahru. Turut hadir Pengarah Kastam Negeri Johor, Aminul Izmeer Mohd Sohaimi; dan Pengerusi PERBEKAS Negeri Johor, Mohd Sultan Ab Hamid serta lebih 300 ahli dan barisan Ahli Jawatankuasa Pusat dan Negeri persatuan itu dari seluruh negara bagi memeriahkan majlis dengan tema ‘Tambak Johor Dalam Kenangan’.
Terdahulu, Bedolah menyarankan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) supaya turut memberi perhatian khususnya mengenai kebajikan kakitangan selepas mereka bersara terutamanya jika berlaku musibah seperti kemalangan, sakit dan meninggal dunia.

Setakat ini, PERBEKAS mempunyai kira-kira 1,300 ahli yang aktif di seluruh negara. Beliau berkata, sumber pendapatan mahupun dana PERBEKAS adalah terhad untuk membantu ahli yang memerlukan selain menggerakkan program berkaitan kebajikan serta keagamaan.
“Oleh itu wajar untuk JKDM mengambil inisiatif mendekati kami termasuk di peringkat negeri, serta menyantuni pesara dari segi menyediakan fasiliti berkaitan tempat mesyuarat, dewan perhimpunan, bilik kuliah serta lain-lain aktiviti persatuan,” katanya.
Pada masa sama, katanya, PERBEKAS turut giat melaksanakan inisiatif mengunjungi pihak pengurusan tertinggi JKDM dan pengarah jabatan di peringkat negeri bagi menyampaikan hasrat serta menjalin kolaborasi demi kebaikan bersama.
Sementara itu, Mohd Sultan berkata: “Bersara bukan bermakna kita pencen daripada menyumbang. Kita bukan barang lusuh tetapi khazanah. Makin berusia, makin banyak pengalaman dan kebijaksanaan yang boleh kita kongsi untuk negara.”






Leave a Reply