Oleh Muhammad Luttfi Abdul Khalid
Kenyataan di atas mungkin kelihatan janggal dan pelik apabila topik perbincangan yang hangat di alam maya tertumpu kepada kebimbangan sesetengah rakyat bahawa kawasan majoriti pengundi Melayu akan berubah (baca: menjadi kurang) sekiranya persempadanan semula dapat dilakukan melalui kuasa dua pertiga di Parlimen.
Adalah satu pengetahuan umum bahawa persempadanan semula boleh menambah bilangan kerusi Parlimen dengan adanya pertambahan kawasan-kawasan baharu. Tetapi ia tidak semestinya mengurangkan peratusan nisbah pengundi sedia ada di kawasan Parlimen.
Kebimbangan yang semakin disuarakan ialah kemungkinan kawasan-kawasan yang dahulu dan sekarang dipenuhi oleh peratusan majoriti Melayu, misalnya dapat di’ubah’ dengan persempadanan semula ini.
Di satu sudut, kebimbangan ini mungkin berasas. Istilah yang lazim digunakan untuk menunjukkan bagaimana proses ini berlaku disebut ‘gerrymandering’.
Wikipedia mentakrifkannya seperti berikut:
“In representative democracies, gerrymandering is the political manipulation of electoral district boundaries with the intent to create undue advantage for a party, group, or socioeconomic class within the constituency. The manipulation may involve “cracking” (diluting the voting power of the opposing party’s supporters across many districts) or “packing” (concentrating the opposing party’s voting power in one district to reduce their voting power in other districts). Gerrymandering can also be used to protect incumbents.”
Terjemahan secara ringkas:
Di dalam demokrasi berbentuk perwakilan, ‘gerrymandering’ adalah manipulasi politik terhadap sempadan-sempadan kawasan pengundi, yang bertujuan untuk membentuk satu kelebihan tidak setara bagi sesebuah parti, kumpulan atau kelas sosioekonomi di dalam kawasan tersebut. Manipulasi ini mungkin melibatkan “pemecahan” (menghakis kuasa pengundian di pihak penyokong-penyokong pembangkang merentasi banyak kawasan pengundi) atau “mengemaskan” (mengukuhkan kuasa mengundi pihak yang menjadi saingan di sesuatu kawasan bagi mengurangkan kuasa mengundi mereka di kawasan-kawasan lain). ‘Gerrymandering’ juga boleh digunakan untuk melindungi/mempertahankan calon-calon sedia ada.
Bagaimanapun, penulisan saya kali ini bukan mengenai topik ‘gerrymandering’. Untuk pemahaman lanjut ‘gerrymandering’, pembaca boleh merujuk pautan berikut yang ditulis oleh Dr Marzuki Mohamad:
Saya ingin lakarkan satu lagi senario (yang sudah menjadi realiti sebenarnya) berkenaan bagaimana demografi pengundi dan kawasan pengundi boleh berubah. Nota: Sebagai pengetahuan ringkas, demografi adalah satu bidang ilmu berkaitan kependudukan.
Bidang ini cuba untuk memahami dinamika kependudukan dengan membuat penyelidikan terhadap tiga proses utama demografi: kelahiran, perpindahan/penghijrahan dan penuaan (termasuk kematian).
Ketiga-tiga proses ini secara keseluruhannya menyumbang kepada perubahan-perubahan dari segi penduduk, termasuk bagaimana manusia mendiami muka bumi, membentuk masyarakat dan negara dan juga mencipta budaya.
(Rujukan: https://www.demogr.mpg.de/…/abo…/what_is_demography_6674)
Nisbah, peratusan, bilangan dan juga kawasan kediaman dan kependudukan pengundi Melayu misalnya (selain faktor keperibadian) sering menjadi salah satu faktor penentuan calon-calon untuk bertanding di sesuatu kawasan Parlimen (dan juga Dewan Undangan Negeri).
Secara tradisinya calon Melayu yang diletakkan untuk bertanding di kawasan majoriti pengundi Melayu lebih mudah menang, berbanding calon bukan-Melayu.
Gambaran ini adalah berdasarkan faktor tidak berlaku sebarang perubahan dari sudut demografi pengundi Melayu di kawasan tersebut. Katakanlah kawasan itu didiami oleh 60 peratus pengundi Melayu.

Satu tanggapan umum ialah sekiranya seorang calon Melayu diletakkan untuk bertanding di situ melawan calon bukan-Melayu, peratus kemungkinan untuk beliau menang adalah tinggi.
Akan tetapi, kedudukan 60 peratus tersebut masih boleh digugat dan ‘dicairkan’.
Salah satu kaedah yang sangat berkesan untuk ‘mencairkan’ nisbah 60 peratus tersebut ialah melalui projek perumahan. Harga setiap unit rumah yang ditawarkan, dalam situasi ekonomi semasa, hampir mustahil dijangkau atau mampu dimiliki oleh penduduk berbangsa Melayu.
Kalau ada pun, mereka hanya berkemampuan untuk membeli rumah kos sederhana rendah (yang disediakan oleh pemaju sebagai salah satu syarat untuk kelulusan projek perumahan berskala yang lebih besar, melibatkan perancangan keseluruhan projek perumahan tersebut).
Maka, projek perumahan baharu yang bernilai ratusan ribu ringgit kemudiannya akan dibeli oleh bukan Melayu yang secara umumnya tidak mempunyai masalah untuk membayar ansuran bulanan pinjaman perumahan mereka.
Bayangkan sekiranya projek perumahan baharu yang mahal ini dibangunkan di kawasan yang didiami oleh orang Melayu yang bernisbah 60 peratus tadi.
Apakah yang akan terjadi kemudiannya? Pembeli bukan Melayu yang baharu mendiami rumah mereka secara normalnya akan membuat penukaran alamat surat menyurat dan kediaman.
Sebagai pengundi pula, mereka akan menukar alamat mengundi masing-masing. Nama mereka kemudiannya akan dikemas kini di dalam sistem Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan dimasukkan dalam senarai pengundi kawasan tersebut.
Perubahan ini mungkin tidak akan begitu ketara sekiranya pilihan raya berlaku sebelum nama mereka sempat dikemas kini. Akan tetapi di dalam pilihan raya berikutnya, mereka adalah pengundi-pengundi baharu yang berdaftar dan akan mengundi di kawasan yang didiami oleh 60 peratus orang Melayu.
Demikianlah satu contoh ringkas bagaimana kawasan majoriti pengundi Melayu dapat di’kurangkan’kan tanpa melalui proses persempadanan semula.
Fenomena ini dapat disaksikan di beberapa bandar besar yang secara tradisinya dimenangi oleh calon Muslim. Tetapi lihatlah apa yang berlaku di Kajang, Bangi, Shah Alam dan seumpamanya.
Pulau Pinang sebagai satu perbandingan, mempunyai ramai calon Melayu di bahagian pulau dan juga di Seberang Perai. Bagaimanapun, kepesatan dan percambahan projek perumahan berskala besar dan menjangkau ratusan ribu ringgit tidak mampu dibeli oleh orang Melayu.
Akhirnya mereka tidak mempunyai pilihan lain kecuali untuk berpindah dan berhijrah keluar dari bahagian pulau, untuk menetap di kawasan lain yang lebih ‘murah’ dan ‘selesa’ bagi poket mereka, meskipun terpaksa berulang-alik dari Sungai Petani atau Kulim, misalnya untuk bekerja di sebelah pulau.
Orang Melayu yang memiliki tanah sendiri misalnya akan dapati tanah mereka tersepit di celah-celah hutan batu, kampung-kampung Melayu tidak ada yang mempedulikannya dan anak-anak pula ramai yang bekerja di luar dan tanah kampung sedia ada tidak lagi mampu dikerjakan.
Keadaan ini akan mendorong mereka untuk menjual tanah-tanah kampung mereka ataupun menandatangani perjanjian usahasama untuk membangunkan projek perumahan bertingkat-tingkat di atas tanah masing-masing dengan ganjaran beberapa biji rumah percuma yang dijanjikan oleh syarikat pemaju.
Apa pilihan yang mereka ada?
Di manakah lagi gugusan kampung-kampung Melayu tradisional yang masih kekal lagi pada hari ini di Pulau Pinang?
Berapa peratus lagikah tanah pegangan dan milikan orang Melayu yang gerannya masih digenggam ditangan?
Maka, akhirnya ‘hilanglah’ pengundi Melayu di kawasan itu.
Saya berani katakan bahawa sekiranya semua orang Melayu bersepakat untuk mengundi seorang calon Melayu sahaja (tanpa memperdulikan latarbelakang kecenderungan parti politik masing-masing), di mana-mana kawasan Parlimen di Pulau Pinang, jumlah undi paling tinggi yang calon tunggal itu akan dapat tidak akan melepasi walau nisbah 30 peratus pun daripada jumah keseluruhan undi dan mungkin lebih rendah lagi daripada itu!
Hal yang sama akan dan sedang berlaku di banyak lagi kawasan kependudukan Melayu yang tinggi nisbah peratusan pengundinya.
Pegangan hak milik tanah mereka semakin terancam, kampung-kampung berdepan kemungkinan ‘tergadai’ dengan tawaran-tawaran projek perumahan dan penduduk asalnya akan semakin terhimpit dan terdesak untuk ‘keluar’ dari ‘sarang asal’ masing-masing.
Saya tidak berani menyifatkannya sebagai satu proses ‘penyisihan etnik’ tetapi andaian dan persepsi tersebut agak sukar ditolak.
Ia mungkin tidak melibatkan pertumpahan darah, tetapi melalui projek perumahan berskala besar yang harganya mencakar langit.
Sekiranya orang Melayu masih beranggapan bahawa nisbah majoriti pengundi mereka masih selamat di kawasan yang secara tradisinya merupakan ‘kubu kuat’ pengundi Melayu, mereka sedang bermimpi di siang hari.
Persempadan semula kawasan pilihan raya akan mengambil masa yang agak lama untuk dilaksanakan. Akan tetapi, perubahan demografi pengundi Melayu semakin gencar perlaksanaannya.
Dan pengundi bukan Melayu tidak perlu melahirkan lebih ramai anak untuk menjayakannya!
Renung-renungkanlah.

Penulis adalah Pengerusi I-Peguam
Artikel ini disiarkan dalam laman Facebook https://www.facebook.com/mohd.luttfi pada 12 September 2023. Artikel ini adalah pandangan penulis dan tiada kaitan, kesalahan yang boleh dikaitkan dengan Apa Khabar TV





Leave a Reply