Oleh Dr Norsafatul Aznin A.Razak dan Dr Rozita Wahab
Dinamik sesebuah keluarga menyaksikan komunikasi lazimnya dianggap berlaku apabila wujud perbualan harian seperti bertanyakan soal makan atau tugas seharian. Walau bagaimanapun, komunikasi yang mendalam liputannya merangkumi cara menyampaikan perasaan, berkongsi kebimbangan, menguruskan konflik secara berkesan, serta menunjukkan kehadiran emosi secara nyata untuk mendengar satu sama lain sebagai tanda sokongan. Keharmonian sesebuah keluarga tidak diukur menerusi ketiadaan perselisihan faham semata-mata, sebaliknya bergantung kepada keupayaan setiap ahli keluarga menghadapi perbezaan dan tekanan melalui pendekatan perbincangan yang sihat dan berkesan.
Bagi anak-anak dan golongan remaja, rumah sepatutnya menjadi ruang perlindungan utama untuk mendapatkan sokongan emosi. Apabila ahli keluarga bersedia mendengar tanpa cepat menghukum atau memperlekehkan pandangan, ruang untuk bercakap secara terbuka dapat dibina. Pengiktirafan emosi mudah seperti ungkapan “ya, saya ada untuk mendengar”, kesediaan memahami keadaan mereka memberikan rasa selamat yang tinggi. Sebaliknya, maklum balas berbentuk kritikan, perbandingan, atau nasihat terburu-buru kerap mendorong seseorang menarik diri dan berdiam diri, sekali gus mewujudkan jarak emosi walaupun tinggal di bawah bumbung yang sama.
Setiap keluarga tidak terlepas daripada fasa sukar seperti tekanan kewangan, cabaran kerjaya, tuntutan akademik, mahupun konflik pasangan. Dalam situasi sebegini, komunikasi berfungsi sebagai tiang utama kepada daya tahan keluarga. Keluarga yang berdaya tahan bukanlah keluarga yang bebas daripada krisis, melainkan keluarga yang berkeupayaan menyesuaikan diri dan mencari penyelesaian bersama. Keterbukaan dalam menyatakan kebimbangan berupaya mengekang masalah kecil daripada melarat menjadi konflik yang lebih parah.
Tindakan yang kelihatan seperti isu disiplin dalam kalangan ahli keluarga kerap kali merupakan mesej tersembunyi yang belum berjaya disampaikan secara terbuka. Sebagai contoh, perubahan tingkah laku anak yang memencilkan diri di dalam bilik mungkin bukan disebabkan sikap malas, sebaliknya merupakan cermin kepada tekanan akademik atau masalah sosial. Melalui soalan yang tepat dan bersikap terbuka, punca sebenar dapat diteliti sebelum sebarang andaian dibuat.
Limitasi komunikasi dan kekangan teknologi
Ironinya, komunikasi menjadi paling sukar sewaktu tekanan berada di tahap tertinggi. Apabila komunikasi di rumah menjadi tegang atau seseorang merasakan dirinya tidak didengar, telefon pintar dan media sosial boleh menjadi ruang untuk melarikan diri seketika daripada tekanan. Contohnya tingkah laku menonton video, bermain permainan atau melayari media sosial mungkin memberikan kelegaan sementara. Namun begitu, jika gajet menjadi cara utama untuk mengelakkan perasaan tidak selesa atau konflik keluarga, masalah asal mungkin tidak pernah benar-benar diselesaikan dengan baik.
Menyedari akan limitasi ini, ibu bapa perlu berhati-hati untuk tidak terus melabel ahli mengalami ketagihan gajet tanpa memahami apa yang mungkin berlaku di sebalik tingkah laku tersebut. Ada masanya, tingkah laku berlebihan menggunakan gajet merupakan sebahagian daripada masalah yang lebih besar, termasuk kesunyian, tekanan atau keinginan untuk mendapatkan ruang daripada berdepan konflik secara terbuka.
Natijahnya, tindakan memperbaiki komunikasi keluarga tidak memerlukan sesi perbincangan yang panjang atau formal. Ia boleh dimulakan menerusi interaksi ringkas harian seperti bertanyakan khabar, soalan ringkas tentang emosi hari ini, atau memohon maaf atas kesilapan kecil yang dilakukan. Perkara paling asas adalah keupayaan mendengar tanpa prasangka dan menghukum. Proses dan seni mendengar tidak bermakna perlu bersetuju dengan seluruh pandangan, sebaliknya memberi ruang kepada ahli keluarga untuk meluahkan perasaan sebelum mula mencari penyelesaian secara rasional.
Justeru, komunikasi membantu keluarga memahami apa yang sebenarnya sedang berlaku. Apabila setiap ahli boleh menyatakan perasaan dan kebimbangan secara terbuka, masalah yang kecil mempunyai peluang untuk ditangani sebelum berkembang menjadi konflik yang lebih besar.
Kesimpulannya, rumah yang harmoni terbentuk apabila setiap ahli keluarga merasakan diri mereka selamat untuk menjadi diri sendiri dan dihormati sewaktu berdepan kesukaran. Sebagai contoh, konflik kehidupan seperti pencapaian akademik yang kurang memuaskan tidak merendahkan nilai diri seorang anak, manakala luahan daripada ibu bapa yang keletihan mengurus rutin harian bukan penentu tanda kegagalan yang akan dipersoalkan. Komunikasi yang sihat mungkin tidak mampu menghapuskan seluruh cabaran kehidupan, namun ia menyediakan asas yang kukuh untuk sesebuah keluarga menghadapinya secara matang dan saling menyokong.
Pada akhirnya, keharmonian keluarga bukan tentang memastikan semua orang sentiasa gembira atau tidak pernah bergaduh. Keharmonian menghimpun semua rasa bahawa rumah adalah tempat seseorang boleh menjadi dirinya sendiri, bercakap tentang kesukaran dan mendapatkan sokongan ketika keadaan menjadi berat dan sukar.


Kedua-dua penulis merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Psikologi Pendidikan & Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya.




Leave a Reply