
PESTA demokrasi di enam negeri sudah berlalu pergi. Lancar dan terurus tanpa tragedi. Pemilih telah memangkah undi. Dari lubuk hati ke peti undi. Maka terbentuklah kerajaan-kerajaan negeri.
Dari utara, Pulau Pinang dan Kedah, sampai ke pantai timur, Kelantan dan Terengganu, juga Selangor dan Negeri Sembilan, pengundi menghantar mesej jelas dan tuntas. Terang mewarnai horizon politik.
Ia seperti lampu isyarat memancarkan kerdipannya. Menjadi panduan, antara waktu untuk berjalan, saat untuk perlahan dan detik untuk berhenti.
Dikatakan, beberapa analisis oleh pentafsir politik sebelum ini agak meleset. Kerana pemilih mentafsirnya dari sudut pandang tersendiri. Mengikut naluri dan kata hati. Bukan dari sisi materialistik atau kuatnya bunyi gendang kempen dipalu-palu.
Tapi ada juga ramalan tepat oleh pemburu paranormal politik. Biarpun tulisan-tulisan mereka dihambur tanpa hiopotesis sains atau spekulasi yang diekstrapolasi daripada bukti saintifik, tapi nyata ia dapat membaca mengikut aliran pemikiran baharu pemilih.
Menunggu keputusan penuh pada Sabtu malam, sehingga ke dinihari esoknya, sungguh mendebarkan. Apatah lagi sesetengah tempat di mana gergasi politik bersarang, menjadi fokus kawan dan sasaran lawan.
Namun penantian berakhir dengan kekalnya status-quo 3-3 antara pakatan parti pemerintah dan gabungan pesaing pembangkang.
Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang, kekal milik pemerintah yang bertunjang di Putrajaya, manakala Kedah, Kelantan dan Terengganu masih dalam lingkungan pemerintahan asalnya.
Secara keseluruhan, Perikatan Nasional (PN) memenangi 146 kerusi daripada 245 kerusi ditandingi, diikuti Pakatan Harapan (PH) 80 kerusi dan Barisan Nasional (BN) 19 kerusi).
Manakala dari segi undi popular, PH-BN masih mendahului PN dengan menerima 49.69 peratus berbanding PN (49.31 peratus).
Seusai keputusan diumumkan, ada beberapa fakta menarik di sebalik pilihan raya enam negeri ini.
Pertama, pola pengundiannya seperti dipisahkan oleh kaum. Melihat kemenangan parti-parti bertanding, seolah-olah sudah terbentuk jurang antara kaum yang nantinya dikhuatiri menjadi gaung paling dalam.
DAP mendominasi kawasan majoriti bukan Melayu, memenangi 46 daripada 47 kerusi yang ditandinginya. Ia memenang semua kerusi ditandingi di Pulau Pinang (19). Selangor (15) dan Negeri Sembilan (11) manakala di Kedah, menang satu daripada dua kerusi.
Sementara PAS dan Bersatu yang berpayung di bawah PN menang di kawasan majoriti Melayu.
Wakil bukan Melayu dalam PN, iaitu Gerakan, pula kalah di semua kerusi apabila berdepan dengan DAP.
Fakta kedua, beberapa tokoh veteran dan nama besar yang mewarnai politik negara – antaranya termasuk bekas Menteri Besar dan menteri Pusat – tewas dan kecundang dalam pilihan raya negeri kali ini.
Apakah signal yang cuba disampaikan oleh pengundi kepada mereka ini? Sesuatu yang menarik untuk dibuat analisis khusus, dengan mengambil kira idea ilmiah bersandar pemerhatian empirikal atau data eksperimen, termasuk melalui kaedah bukan saintifik.

Fakta ketiga, ramai calon berusia muda, termasuk juga anak bekas pemimpin yang ditampilkan, memperoleh kemenangan bergaya dalam PRN kali ini.
Namun, ia perlu berada di tempat dan waktu yang tepat.
Ia membawa mesej jelas bahawa pengundi kini mahukan transformasi kepimpinan baharu dalam pencarian pemikiran idealistik, seiring perubahan dunia era digitalisasi kini.
Jika demikian halnya, kenapa Syed Saddiq gagal membawa kemenangan kepada MUDA sedangkan calon-calon ditampilkan berpendidikan tinggi, bijaksana dan cerdik politik?
Ini lagi satu hal perlu dikaji jika MUDA atau orang muda mahu kekal relevan di persada politik tanah air.
Kempen dan taktik mesti realistik. Jangan hanya pandai tiktok, tapi gagal taktik. Kempen politik mesti cerdik, bukan mengherdik orang politik.
Kata orang, politik ini seperti kehidupan `pola itik’ yang terapung berenang di tasik. Orang muda politik jangan mengajar itik, tapi harus mengejar itik untuk berenang dan kekal terapung di tasik politik.
Menyoroti keputusan PRN enam negeri ini, penganalisis meramalkan bahawa landskap dan dimensi politik nasional akan terus mengalami proses transformasi kepartian yang menuntut perhitungan bijaksana segenap pimpinan di kedua-dua jajaran pemerintah dan pembangkang.
Keputusan itu adalah manifestasi kesinambungan perubahan minda secara rasional dalam beberapa tahun kebelakangan ini, sekali gus mengubah perspektif konvensional yang berpasak pada geopolitik nasional sejak sekian lama.
Artikel ini diterbitkan terlebih dahulu dalam Utusan Borneo hari ini 15 Ogos 2023.





Leave a Reply