Oleh V. Ashok

TARIKH 7 Mei 2023 pasti kekal satu detik penting dalam kerjaya hoki Muhammad Dharma Raj Abdullah selepas melangkah keluar mencari rezeki baru di Indonesia.

Pada hari berkenaan skuad lelaki negara republik itu memahat sejarah, dimasyhurkan selaku pemenang pingat emas acara hoki dalam dewan di Sukan SEA, Kemboja.

Lebih manis, pengendali berusia 53 tahun itu berjaya mencanang satu strategi bijak menewaskan lawan lebih tersohor, iaitu pasukan pilihan, Malaysia dalam final pada hari berkenaan.

Dharma tidak menolak hakikat betapa saat dikecapi ketika itu satu kejayaan terbesar dalam kerjayanya – memimpin sebuah pasukan kerdil di rantau ini ketika hoki bukan antara sukan paling popular di negara berkenaan.

Kini, bekas pemain skuad negara yang pernah beraksi di Sukan Olimpik 1992 cuma ada satu misi – terus membina sebuah pasukan mantap untuk muncul pencabar utama di peringkat Asia Tenggara.

Ketika sama, dia juga mahu diberikan satu tempoh yang panjang bagi memastikan Indonesia tidak lagi menjadi budak belasahan di kejohanan peringkat Asia, khasnya dalam kejohanan hoki padang.

Baru-baru ini, penulis sempat bertemu Dharma di Kuala Lumpur. Dia pulang bercuti selama dua minggu untuk bersama keluarganya – melepaskan rasa penat selepas memacu pasukan kebangsaan Indonesia mencipta sejarah di Kemboja.

Terpancar satu wajah yang gembira apabila saya bertanya dia mengenai khabar serta kehidupan baru di Jakarta.

“Saya gembira bersama keluarga baru di sana (pegawai atasan, jurulatih dan pemain kebangsaan),” katanya.

“Mereka membuat saya rasa selesa dan gembira. Begitu juga warga Indonesia lain yang tinggal berhampiran dengan saya.”

Pengendali berasal dari Melaka itu berjaya membuktikan nilainya dalam satu tempoh singkat. Selepas hadir memegang jawatan Pengarah Teknikal Hoki Wilayah Jawa Barat selama 10 bulan dia kemudian dilantik selaku Pengarah Teknikal skuad kebangsaan dengan kontrak sehingga Disember 2025.

Selepas hampir tiga tahun berkelana, dia bagai sudah serasi dengan persekitaraan di sana.

Dharma juga seorang penggemar makanan tetapi ketika sama akur dia agak memilih sedikit dalam soal ini.

Sebelum berpindah menyambung kerjaya di Jawa dia beranggapan akan mendapat makanan seperti di Malaysia, khasnya makanan Melayu dan India.

“Apabila saya memilih untuk menetap di Indonesia saya ingat makanan mereka akan hampir sama dengan masakan kita di Malaysia.

“Tapi sekarang saya sudah dapat membiasakan diri dengan menu tempatan di sana. Indonesia popular dengan makanan seperti nasi padang, Bakso, Ayam Penyet bagi orang Malaysia di sini.

“Antara kegemaran saya sekarang adalah Coto Gagak Makassar, Ayam Betutu Bali, Wawon, Soto Betawi dan Tongseng,” katanya.

Dharma juga sudah mula dapat menyesuaikan diri dengan bahasa dan budaya Indonesia. Agak mengejutkan juga apabila dia dapat bercakap dengan fasih.

Ada juga banyak perkataan disebut olehnya tidak pernah didengar oleh penulis seperti Handuk yang bermaksud tuala, Kangen (rindu), Keren (bagus), Nambek (merajuk), Kasur (tilam), Godeng (langsir) dan Entri (sesak).

Mungkin ada di antara anda yang sudah memahami istilah di atas.

“Apabila saya mula tiba di Indonesia, Covid-19 baru bermula dan saya tidak dapat pulang selama 18 bulan. Tempoh itu meluangkan masa kepada saya untuk mempelajari bahasa tempatan, berbual dengan masyarakat sekitar tempat tinggal. Begitu juga melalui kekerapan perbualan mengenai hoki dengan pegawai dan pemain skuad negara,” tambahnya.

Satu lagi topik menarik dibicarakan adalah apabila saya bertanya sama ada dia akan menerima status kerakyatan Indonesia yang menjadi bahan perbualan hangat di kalangan peminat dan pemerhati hoki di Malaysia. Dharma tidak menolak hakikat itu.

“Ada beberapa perkara harus diberikan pertimbangan dengan tawaran kerakyatan ini. Satu perkara yang saya sudah pelajari adalah jika saya kehilangan pekerjaan sebagai jurulatih hoki, saya tidak ada sumber lain untuk mencari pendapatan.

“Oleh itu sejak berada di Indonesia, saya juga cuba menerokai peluang lain seperti membeli tanah, rumah dan cuba memulakan perniagaan secara kecil-kecilan,” katanya yang mengerti faktor usia juga harus diberikan pertimbangan wajar.

“Sama ada saya akan menjadi pemastautin tetap atau diterima sebagai warga negara Indonesia, ia semua bergantung kepada apa yang dapat saya memanfaatkan pada umur persaraan saya kelak. Saya pun bukan muda lagi dan mahu sesuatu terbaik bagi diri dan keluarga untuk masa depan,” tambahnya.

Namun, fokus utama Dharma tetap terarah kepada usaha mencanang pasukan kebangsaan terbaik sebagai menghargai Federasi Hoki Indonesia (FHI) yang menaruh kepercayaan penuh terhadapnya untuk mengubah imej sukan ini di negara republik itu.

Sebelum itu, dia bersuara mahu menyatukan minda pemain yang hadir daripada pelbagai latar belakang kaum dan budaya, termasuk dari Papua. Situasi seumpama juga ada persamaan dengan pemain Malaysia.

“Seperkara yang bagus mengenai warga Indonesia adalah mereka amat rapat dan bersatu apabila ia menyentuh soal kenegaraan.

“Mereka berubah sama sekali apabila menyarung jersi kebangsaan. Mereka akan berjuang sebagai satu unit padu demi negara.

“Memang dalam kejohanan atau pun perlawanan tempatan mereka bergaduh tetapi apabila menyertai pasukan Indonesia, mereka akan menampilkan perwatakan berbeza.

“Kebanyakan pemain berasal daripada keluarga miskin, budak-budak kampung yang dahagakan kejayaan,” kata Dharma yang akur ada banyak perkara harus dilakukan yang mungkin mengambil sedikit masa.

Keringat dan pengorbanan pemain negara berbaloi selepas memenangi emas Sukan SEA. Kerajaan Indonesia difahamkan menawarkan pekerjaaan kepada pemain dan lima daripada anggota pasukan itu sudah diserapkan dalam perkhidmatan polis.

Pemain lain dikatakan mendapat tawaran menyertai beberapa agensi kerajaan.

Kejayaan meraih emas itu melayakkan pemain menerima satu skim tabungan khas, iaitu tambahan daripada gaji masing-masing untuk seumur hidup. Ringkasnya, ia seperti wang pencen.

Apa yang menggembirakan Dharma adalah kepulauan Jawa memiliki ramai pemain berbakat untuk hoki dalam dewan, namun situasinya berbeza untuk hoki padang.

“Saya melihat masih ada kekurangan pemain berkualiti untuk hoki padang di seluruh Indonesia.

“Ketika ini pemain kebangsaan dalam skuad hoki padang adalah dari Kalimantan Timor, Papua serta Jawa Barat dan Timur.

“Ada beberapa wilayah baru sudah memulakan program hoki dengan serius seperti Jogjakarta, Makassar, Medan dan Bali. Lokasi seperti ini pasti akan menghasilkan pemain berbakat dalam tempoh terdekat ini,” katanya.

Dharma juga menyuarakan betapa wujud komuniti besar di Belanda di mana ayah adalah warga Belanda dan ibu berasal dari Indonesia.

“Anak mereka bermain dalam liga hoki di Belanda. Ketika saya dihantar oleh MSN (Majlis Sukan Negara) pada 2014 untuk mempelajari pendekatan hoki di Belanda dan Jerman selama tiga bulan, saya bertemu ramai pemain dan keluarga mereka.

“Apa yang menarik, ada di kalangan ibu bapa menunjukkan kecenderungan untuk anak mereka mewakili skuad kebangsaan Indonesia. Ia sama seperti senario bola sepak di Malaysia dengan khidmat pemain naturalisasi,” tambah pengendali itu.

Dia juga turut memasang impian besar untuk menghantar pemain Indonesia beraksi dalam Liga Hoki Belanda dan ketika sama mengadakan kem latihan skuad kebangsaan berpangkalan di negara berkenaan.

“Ini adalah satu impian yang saya sentiasa inginkan ketika menjadi jurulatih skuad Malaysia, tapi saya tidak dapat memenuhinya.”

“Apa saya inginkan ketika itu adalah mahu seluruh skuad Malaysia bermain dalam liga Eropah dan pasukan negara berpangkalan di Eropah,” katanya.

Perwatakan dan semangat Dharma kekal sama – sentiasa mahu membantu pasukan barunya untuk berjaya pada tahap tertinggi.

Dalam perbualan hampir dua jam itu, dia menyuarakan cita-citanya mahu meningkatkan kemajuan hoki Indonesia untuk satu jangka panjang agar dapat membina pasukan (lelaki dan wanita) yang mampu naik ke podium memenangi pingat satu hari nanti.

“Tugasan saya belum selesai. Ia baru bermula,” katanya sambil menikmati makanan kegemarannya di Restoran Kanna Curry House di Puchong, sehari sebelum dia pulang menyambung tugasan di Jakarta.

Sasaran utama adalah, jika kontraknya dipanjangkan, dia mahu memainkan peranan utama dalam menggapai cita-cita besar FHI untuk melihat Indonesia layak secara merit ke Sukan Olimpik 2032.

Negara republik itu, kini membida untuk menjadi tuan rumah temasya berkenaan.

Falsafah hoki Dharma tetap sama – tiada apa mustahil untuk dicapai dalam hoki selagi ada keinginan, selera besar dan semangat sepasukan tinggi.

Dia beranggapan, selagi kita takut, selagi itu kita sukar mahu menundukkan mana-mana lawan lebih tersohor.

“Saya tidak peduli lawan mana ditemui kerana kita perlu berikhtiar untuk mencari ruang sendiri menandingi dan menewaskan mereka,” katanya yang pernah melaungkan secara kerap kata-kata sama ketika membimbing skuad Malaysia satu ketika dulu.

Majulah sukan untuk negara!

Detik gembira buat Dharma Raj dan skuad hoki dalam dewan Indonesia yang melakar sejarah baru memenangi pingat emas Sukan SEA buat julung kali di Kemboja, tahun ini. – Gambar ihsan Dharma Raj.

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading