Rakyat di enam negeri berpeluang memberi isyarat kepada Anwar Ibrahim dan Ahmad Zahid Hamidi apabila mereka memilih pemerintah negeri masing-masing dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang besar kemungkinan diadakan pada pertengahan tahun ini.

Sejak pembentukan Kerajaan Persekutuan pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), gaya kepimpinan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Umno ini menjadi tumpuan, lantas PRN enam negeri tersebut adalah ujian pertama bagaimana rakyat menilai tingkah laku kedua-duanya.

Walaupun keputusan PRN tidak menjejaskan kedudukan Kerajaan Persekutuan, tapi tentunya memberi impak kepada falsafah Malaysia Madani Anwar dan juga langkah-langkah politik Ahmad Zahid termasuk pada pemilihan Umno dan terkini, perubahan kepimpinan negeri Melaka.

Apakah kedua-dua pemimpin itu yang menjadi ‘pemain catur’ sejak menguasai Kerajaan Persekutuan, berupaya menggerakkan bidak-bidak bagi mempercaturkan keputusan PRN di Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang, Terengganu, Kedah dan Kelantan?

Perdana Menteri ke-10 perlu membuktikan bahawa hala tuju serta pendekatan pentadbirannya sebagai dapat diterima dan dihayati oleh rakyat. Begitu juga, Presiden Umno berdepan dengan persoalan sama ada gerakan ‘pembersihannya’ menepati selera ahli-ahli yang bakal mengundi pada PRN.

Anwar sedang sibuk mengukuhkan namanya dengan mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin luar negara dengan terkini, mengadakan lawatan ke China. Pernyataan mengenai pelbagai rundingan, kerjasama dan jaminan pelaburan asing adalah antara pengisiannya.

Kelicikan politik Ahmad Zahid pula agak ketara dengan keputusan pemilihan Umno dilaporkan berpihak kepada ‘kem beliau’ dan pelantikan Ab Rauf Yusoh sebagai Ketua Menteri Melaka bagi menggantikan Sulaiman Md Ali, juga dikatakan adalah antara agenda pengukuhan politiknya.

Setakat ini belum terbayang mood masyarakat di peringkat akar umbi yang sedang bergelut memulihkan kehidupan masing-masing, khususnya meningkatkan sara hidup dan pendapatan isi rumah dalam suasana ekonomi yang masih samar-samar.

Tangan-tangan rakyat di enam negeri bakal mengadakan PRN sudah terlibat sama dalam menentukan perubahan Kerajaan Persekutuan pada PRU15. Apakah mereka akan meneruskan pilihan yang sama bagi peringkat negeri masing-masing?

Atau barangkali mereka membuat keputusan sebaliknya untuk memberi isyarat bahawa penentuan Kerajaan Persekutuan pada PRU15 adalah tidak seperti yang diimpikan ketika mereka menurunkan tanda pangkah di kertas undi masing-masing?

Maka, keputusan PRN di enam negeri itu kelak adalah sesuatu yang menarik untuk dianalisa dari segi psiki dan pemikiran rakyat Malaysia.

Antara yang boleh diberikan perhatian ialah bagaimana mereka membuat pemilihan sama ada menilai calon semata-mata atau personaliti pemimpin utama dan kerajaan yang mampu menjaga kepentingan rakyat dan negara.

Sama-samalah kita tunggu harinya.

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading