
Oleh Firdaus Ahmad
JITRA, KEDAH: Kelibat seorang lelaki berpakaian kemas, dengan but tinggi serta bertopi koboi memungut sampah sarap sering kelihatan di persimpangan Pulau Nyior dan Sekolah Kebangsaan Tunjang.
Pada mulanya senario ini memang nampak pelik, tetapi lama kelamaan ramai pula yang mengenali lelaki berusia 63 tahun ini.
Bukan calang-calang orang rupanya. Bakri Baharom merupakan mantan Timbalan Pengarah (Akademik) Politeknik Sultan Abdul Halim Muadzam Shah yang tidak tahan melihat sampah sarap bertaburan di kawasan berhampiran rumahnya di Tunjang.
Pada hujung tahun 2022, beliau mengambil keputusan untuk berbakti kepada masyarakat dengan mengutip sampah sarap di kawasan itu setiap hari Jumaat.
“Saya sedar untuk menyelamatkan negara, apatah lagi dunia, kita kena bermula dari perkara kecil. Ini adalah sumbangan saya kepada alam sekitar,” katanya ketika ditemui di “port” biasanya.
Beliau mengakui gejala membuang sampah merata-rata ini menjadi-jadi sejak kebelakangan ini dan ini memberi kesedaran kepada bekas ahli akademik ini untuk melakukan sesuatu.

Bakri Baharom sedang memungut sampah sarap di Tunjang

Pelbagai sampah dipungut ketika menjalankan “tugas” pada Jumaat lepas.
“Saya merayu kepada mereka yang lalu-lalang di sini, hentikanlah membuang sampah merata-rata. Buang di tempat yang disediakan. Jagalah kebersihan,” nasihatnya kepada mereka yang suka buang sampah di tempat awam.
“Semoga suatu hari nanti, kawasan ini akan menjadi zero litter (tanpa sampah),” katanya lagi.
Bakri juga menaruh harapan untuk menaik taraf kebersihan Jalan Jitra Kodiang, sepanjang 14km, menjadi jalan sehebat kemudahan di Eropah.
Bakri berasa lega kerana masa diambil tiba di lampu isyarat hanya 45 minit berbanding dengan dua jam sebelum ini.
Kini pada usia emas, ada rakan taulan yang menyapa beliau ketika sedang mengutip sampah tepi jalan. Bakri ada berbisik dengan penulis: “Tentu ada yang ingat saya gila. Tetapi ini satu perjuangan.”




Leave a Reply