Oleh Mohamad Yusof Ismail
Keinginan melawat daerah Pattani, Thailand atau ikut ejaan Jawi, “Fathoni”, terbuku di dalam hati sejak dahulu lagi.
Keluarga kami pernah dimaklumkan sememangnya ada pertalian darah dengan masyarakat Islam di Pattani, dan kerap ziarah menziarahi.
Namun, hubungan kekeluargaan terputus sejak awal 1970-an dengan ketiadaan saudara-mara yang lebih tua untuk merapatkan persaudaraan.
Beberapa peristiwa melibatkan masyarakat Islam Pattani tidak lama dulu meruntun perasaan dan menambah keinginan untuk melawat Pattani.
Pada awal September 2022 , bersama beberapa rakan Masjid Al-Ehsan Kelana Jaya dan seorang rakan karib, program diatur untuk melawat Selatan Thailand dan lawatan ke Pattani menghiasi agenda.
Perjalanan ke Pattani dari Hatyai lancar menggunakan van mengambil masa satu setengah jam melalui lebuh raya walaupun terdapat beberapa sekatan tentera di sepanjang jalan.

Salah satu unit penyaman udara yang dibawa dari Changlun, Kedah untuk kegunaan masjid
Keadaan politik dan keselamatan mungkin masih tidak stabil.
Pemandu van kami, Mohamad Hanafi atau mesra dipanggil PakSu merupakan anak jati Pattani, rancak bercerita tentang keadaan semasa di sana.
Selepas melawat Masjid Jamek Pattani dan berkesempatan bergambar dengan Naib Gabenor Pattani yang kebetulan berada di situ dan melawat Masjid Kerisik, kami dibawa pula ke Masjid Darul Naim, Tanjung Pauh yang sedang rancak diubah suai.
Masjid tersebut merupakan pusat pendidikan pengajian AlQuran, kelas fardhu ain serta untuk anak-anak pra sekolah. Seramai 160 kanak-kanak menimba ilmu di masjid tersebut.
PakSu yang merupakan seorang ahli jawatankuasa masjid memaklumkan kesemua kos dan pengubahsuaian masjid dibiayai dan dilakukan sendiri oleh penduduk kampung.
Kerana ingin turut sama dalam proses menaiktaraf masjid, kami memberikan komitmen untuk memberi dan memasang lima unit penyaman udara di dewan solat utama.
Selepas sebulan diatur, PakSu dan rakan-rakan beliau mengambil lima unit pennyaman udara di Changlun, Kedah. Haji Shahidan, salah seorang yang turut serta dalam lawatan awal, menguruskan pembelian tersebut, hasil sumbangan rakan- rakan Masjid Al-Ehsan, saudara mara serta rakan taulan lain.
Pada awal November lepas, kami sekali lagi ke Pattani, dijemput oleh pihak Masjid Darul Naim untuk menyaksikan pemasangan unit penghawa dingin terakhir. Pemasangan dibuat dengan begitu kemas sekali. Alhamdulillah, dapatlah merasakan kedinginan penyaman udara sewaktu solat zohor.
Kesempatan juga diambil untuk menghulurkan sumbangan kepada anak-anak Taska di masjid tersebut dengan memberikan 100 baht seorang. Kegembiraan jelas terbayang di wajah mereka.
Kami juga sempat menyerahkan sumbangan kepada dua buah pondok pengajian Islam di sana.
Dalam perjalanan pulang dari Pattani, terdetik di hati, kagum dengan masyarakat Islam Pattani yang gigih berusaha menerapkan ciri keIslaman kepada anak-anak mereka dan meneruskan kelangsungan hidup atas daya usaha sendiri.
Di akhir perjumpaan, PakSu mengharapkan lebih ramai rakyat Malaysia mengunjungi Pattani, setidak-tidaknya dapat membantu ekonomi masyarakat di sana.
Lawatan ke Pattani seolah-olah seperti pulang ke kampung halaman sendiri.

Kanak-kanak tersenyum riang setelah menerima sumbangan dari pihak kami.
Nota: Keterangan gambar paling atas: Bergambar dengan Naib Gabenor Pattani (tengah) di hadapan Masjid Jamek Pattani.






Leave a Reply