Thailand menggantung Proses Dialog Damai Selatan Thai dengan wakil kumpulan pemisah, Barisan Revolusi Nasional Melayu Patani (BRN) pada September depan susulan beberapa siri keganasan di wilayah sempadan selatan, sejak kebelakangan ini.
Serentak itu, Ketua Panel Dialog Damai Kerajaan Diraja Thailand (PEDP/RTG), Thanat Suwannano menuntut BRN memberi jawapan berkaitan insiden keganasan, termasuk serangan yang mengorbankan lima anggota renjer di Narathiwat baru-baru ini, sebelum rundingan boleh disambung semula.
“Tidak ada rundingan (dialog damai Selatan Thai) dengan BRN pada September ini, sebagaimana dirancang sebelum ini,” katanya mengulas keganasan yang semakin meningkat di Wilayah Narathiwat, Yala dan Pattani, sejak kebelakangan ini.
Ini termasuk serangan kumpulan pemisah ke atas Pusat Pemeriksaan Bukit Sami, Mukim Tanyong Mas, Rangae, Narathiwat pada 22 Julai lalu yang mengorbankan lima anggota renjer dan mencederakan enam orang awam. Sehari sebelum ini, bom kereta diletupkan di hadapan Balai Polis Tanyong di daerah perbandaran Narathiwat.
Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Perdana Menteri Thailand, Wan Muhammad Noor Matha berkata, dialog damai rasmi akan diadakan di Kuala Lumpur pada September selepas lebih dua tahun tertangguh.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Pengarah Agensi Perisikan Negara berkata, PEDP/RTG yang mewakili kerajaan Thailand meminta BRN memberi penjelasan mengapa mereka melancarkan serangan itu.
Thanut berkata, proses dialog damai itu pada mulanya bergerak ke arah yang positif dengan perbincangan rasmi bakal diadakan pada September ini, tetapi keganasan terbaharu di Narathiwat.
“Permulaan perbincangan sebelum dialog rasmi pada September bermula dengan baik. Tetapi kemudian keganasan berlaku di Narathiwat. Insiden itu berlaku secara tidak dijangka dan lebih serius daripada yang kita boleh terima,” katanya, sambil menambah bahawa kerajaan perlu menyemak semula situasi tersebut kerana serangan itu terlalu serius untuk diabaikan.
Jelas beliau lagi, kerajaan telah menghantar soalan kepada BRN dan sedang menunggu penjelasan mengapa keganasan itu berlaku sedangkan perbincangan sudah berjalan
“Kami mahu mereka menjelaskan terlebih dahulu mengapa mereka tiba-tiba memutuskan untuk melakukan tindakan ini (keganasan),” katanya.
Beliau menambah bahawa, walaupun kumpulan bersenjata mempunyai alasan mereka sendiri untuk melakukan serangan, hakikat bahawa dialog telah pun bermula bermakna insiden itu telah merosakkan keseluruhan proses damai.
“Kami sudah berbincang… sebaik sahaja insiden berlaku, kami perlu bermula semula daripada awal,” katanya.
Thanut mengakui insiden itu mendorong beliau untuk menggantung rundingan damai yang dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur pada September, dengan Malaysia bertindak sebagai fasilitator.
Sementara itu, Thanut berkata pihaknya masih belum menyelaraskan langkah proses dialog damai seterusnya kerana Malaysia kini sedang dalam proses menukar fasilitatornya.
“Masih terdapat kekosongan pada masa ini. Kami sedang menunggu untuk melihat apa yang akan dilakukan oleh pihak Malaysia berkenaan pelantikan fasilitator,” katanya.
Walau bagaimanapun, beliau menyatakan bahawa Thailand masih boleh menyampaikan pendiriannya melalui wakil, perantara atau saluran lain yang tersedia sementara menunggu keputusan Malaysia.
Thanut berkata kerajaan kekal komited terhadap rundingan sebagai pendekatan jangka panjang untuk menyelesaikan konflik wilayah sempadan selatan.
Beliau menjelaskan bahawa Perdana Menteri, Anutin Charnvirakul telah berulang kali mengingatkan bahawa dialog merupakan jalan penting dalam penyelesaian dan bukan sekadar langkah jangka pendek.
“Rundingan mesti diteruskan langkah demi langkah dan memerlukan masa,” kata Thanut.
Beliau juga menolak kebimbangan bahawa pendekatan keselamatan yang lebih ketat oleh pihak berkuasa Thailand boleh menjadi penghalang kepada dialog dengan kumpulan yang mempunyai pandangan berbeza daripada kerajaan.
“Setiap pihak mempunyai pendekatan operasinya sendiri, tetapi yang penting ialah kita bergerak maju bersama dalam arah yang sama,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa agensi keselamatan akan meneruskan strategi mereka sendiri, manakala pasukan dialog keamanan akan memberi tumpuan kepada penglibatan dan komunikasi politik.
“Pendekatan kami adalah jalan keamanan, menghantar soalan terlebih dahulu dan bertanya apa yang berlaku,” katanya.
Berkenaan awal Ogos ini – suatu tempoh yang dianggap penting oleh beberapa kumpulan pemisah – Thanut berkata, pihak berkuasa tidak memberi penekanan khusus pada tarikh tertentu.
“Terdapat tarikh-tarikh penting sepanjang tahun. Isu utama adalah mengekalkan kesiapsiagaan dan tidak membenarkan jurang dalam keselamatan,” katanya.
Mengenai penilaian risikan serangan terbaharu, Thanut berkata insiden itu kelihatan luar biasa tetapi memberi amaran agar tidak membuat kesimpulan tanpa analisis lanjut.
Beliau menyatakan bahawa insiden serupa pernah berlaku sebelum ini di Narathiwat, di mana pemberontak menjalankan operasi secara terbuka dan kadang kala dirakam oleh CCTV.
Walaupun terdapat cabaran, Thanut berkata, beliau tetap yakin bahawa proses damai dapat diteruskan dan ketegangan akhirnya dapat dikurangkan melalui penyelarasan dan dialog yang diperbaharui.
Thanut berkata, beliau telah bercakap dengan pelbagai pihak berkepentingan, termasuk pemimpin masyarakat tempatan, pemimpin agama dan penduduk, untuk mengumpulkan pandangan dan pendapat mereka mengenai situasi di rantau ini.
“Adalah sangat penting untuk pandangan penduduk tempatan dipertimbangkan dalam rundingan damai,” katanya.
Sumber: ThaiPBS





Leave a Reply