Oleh Prof. Madya Dr. Yong Adilah Shamsul Harumain
Kenderaan elektrik (Electric Vehicle atau lebih dikenali sebagai EV) bukan lagi sekadar simbol kemajuan teknologi automotif. Hari ini, EV semakin menjadi sebahagian daripada strategi pembangunan bandar di banyak negara dalam usaha mengurangkan pelepasan karbon, meningkatkan kualiti udara dan mewujudkan bandar yang lebih lestari.
Sempena lawatan akademik saya ke beberapa bandar di China, saya berpeluang melihat sendiri bagaimana EV telah menjadi sebahagian daripada kaedah pengangkutan kehidupan harian masyarakat. Pemerhatian tersebut memberi ruang untuk saya menilai bagaimana pembangunan teknologi, dasar kerajaan dan perancangan bandar dapat membentuk sistem mobiliti yang lebih baik untuk rakyat.
Perkara pertama yang menarik perhatian saya ialah suasana bandar yang berbeza. Jalan raya dipenuhi kenderaan elektrik yang bergerak tanpa pelepasan asap ekzos daripada kenderaan. Sebagai seorang penyelidik perancangan bandar dan pengangkutan, perubahan ini bukan sekadar memberi gambaran kemajuan teknologi, malah memperlihatkan bagaimana sistem pengangkutan boleh menyumbang kepada persekitaran bandar yang lebih bersih dan lebih selesa.
Pengurangan pencemaran udara di dalam bandar memberi manfaat kepada kesihatan awam, khususnya kepada kanak-kanak, warga emas dan golongan yang terdedah kepada trafik setiap hari.
Satu kajian yang diterbitkan dalam Scientific Reports (Nature Portfolio, 2024) menyatakan penggunaan hampir 196,000 kenderaan elektrik di Beijing, Shanghai dan Shenzhen telah memberi kesan positif terhadap kualiti udara bandar. Kajian tersebut menunjukkan bahawa setiap peningkatan dalam kekerapan penggunaan EV dikaitkan dengan penurunan Indeks Kualiti Udara (AQI), di samping pengurangan kepekatan beberapa bahan pencemar utama seperti karbon monoksida (CO) dan sulfur dioksida (SOâ‚‚).
Walaupun manfaat sebenar bergantung kepada sumber penjanaan elektrik sesebuah negara, kajian ini menyokong bahawa penggunaan EV secara meluas, disertai dengan dasar yang sesuai dan infrastruktur yang mencukupi, mampu menyumbang kepada persekitaran bandar yang lebih bersih dan sihat.
Dalam konteks pembangunan bandar, penggunaan EV juga berkait rapat dengan agenda perubahan iklim. Bandar-bandar di dunia kini sedang berhadapan dengan cabaran fenomena urban heat island, iaitu peningkatan suhu akibat kepadatan pembangunan, permukaan berturap dan aktiviti bandar yang semakin intensif.
Walaupun EV bukan penyelesaian tunggal kepada isu ini, pengurangan penggunaan enjin pembakaran dalaman membantu mengurangkan pencemaran udara tempatan, bunyi dan sebahagian haba yang dikaitkan dengan trafik bandar. Apabila digabungkan dengan penanaman pokok, pembangunan ruang hijau, pengangkutan awam yang berkualiti dan pembangunan berorientasikan transit, EV menjadi salah satu komponen penting dalam membentuk bandar yang lebih selesa untuk didiami.
Apa yang turut mengagumkan ialah penerimaan masyarakat terhadap teknologi ini. EV tidak lagi dianggap sebagai sesuatu yang baharu atau eksklusif. Ia telah menjadi pilihan biasa dalam kehidupan harian. Keadaan ini didorong oleh ekosistem yang lengkap, termasuk penyediaan stesen pengecasan yang mudah diakses di kawasan kediaman, pusat beli-belah, pejabat, kawasan komersial dan lebuh raya. Apabila kemudahan tersedia, keyakinan pengguna untuk beralih kepada teknologi baharu turut meningkat.
Dari sudut ekonomi, kos penggunaan EV juga menjadi antara faktor yang mendorong perubahan tingkah laku pengguna. Kos mengecas bateri adalah lebih rendah berbanding kos mengisi petrol bagi perjalanan harian. Penjimatan ini memberi manfaat kepada isi rumah, terutamanya bagi pengguna yang banyak bergerak di kawasan bandar. Apabila teknologi menawarkan penjimatan tanpa mengorbankan keselesaan, masyarakat lebih mudah menerima perubahan. Sebagai penyelidik kajian mobiliti wanita, saya melihat EV mempunyai potensi yang besar untuk menyokong corak perjalanan harian wanita di bandar.
Kajian lepas menunjukkan bahawa wanita jarang melakukan satu perjalanan untuk satu tujuan sahaja. Sebaliknya, mereka mengamalkan trip chaining, iaitu menggabungkan beberapa destinasi dalam satu perjalanan. Seorang wanita mungkin menghantar anak ke sekolah pada waktu pagi, singgah membeli barangan keperluan, meneruskan perjalanan ke tempat kerja atau mengambil ibu bapa di klinik dan menghadiri urusan lain sebelum pulang ke rumah. Corak perjalanan ini melibatkan banyak hentian tetapi lazimnya berlaku dalam lingkungan bandar dan pada jarak yang tidak terlalu jauh.
Di sinilah EV menawarkan satu kelebihan yang signifikan. Dengan kos operasi yang rendah, pemanduan yang lebih senyap serta penyelenggaraan yang minimum, EV amat sesuai untuk perjalanan harian yang melibatkan banyak hentian. Namun begitu, kejayaan penggunaannya bergantung kepada sejauh mana bandar menyediakan kemudahan pengecasan di lokasi yang benar-benar digunakan oleh masyarakat seperti kawasan perumahan, sekolah, pusat komuniti, hospital, stesen pengangkutan awam dan pusat komersial.
Dalam erti kata lain, perancangan lokasi infrastruktur pengecasan perlu mengambil kira tingkah laku perjalanan manusia, bukan sekadar bilangan kenderaan.
Malaysia sebenarnya telah menunjukkan perkembangan yang positif dalam pembangunan EV. Langkah Proton memperkenalkan model EV pada harga yang lebih mampu dimiliki membuka peluang kepada lebih ramai rakyat untuk beralih kepada mobiliti elektrik. Inisiatif seperti ini penting kerana transformasi teknologi hanya akan berjaya apabila ia boleh diakses oleh masyarakat secara menyeluruh. Pada masa yang sama, ia berpotensi mengubah persepsi bahawa EV hanyalah pilihan untuk golongan tertentu.
Peralihan kepada mobiliti elektrik juga memerlukan pembangunan ilmu dan kepakaran tempatan. Malah, universiti-universiti di Malaysia kini sedang melahirkan lebih ramai jurutera, perancang bandar, saintis data dan penyelidik yang mampu membangunkan teknologi bateri, sistem tenaga, kecerdasan buatan (AI), sistem pengangkutan pintar serta analisis data mobiliti. Malaysia mampu terus maju dalam bidang penyelidikan berkaitan AI dan sistem pengangkutan pintar yang boleh menyokong pembangunan ekosistem EV. Langkah seterusnya ialah memastikan hasil penyelidikan tersebut diterjemahkan kepada dasar awam, inovasi industri dan penyelesaian yang benar-benar memberi manfaat kepada masyarakat.
Pada akhirnya, masa depan EV bukan sekadar mengenai kereta. Ia adalah mengenai bagaimana kita mereka bentuk bandar yang lebih sihat, lebih selamat dan lebih berdaya huni. EV perlu dilihat sebagai sebahagian daripada sistem mobiliti bandar yang menghubungkan perancangan guna tanah, pengangkutan awam, mobiliti aktif, teknologi pintar dan kesejahteraan rakyat. Apabila semua komponen ini bergerak seiring, kita bukan sahaja mengurangkan pelepasan karbon, malah membina sebuah Malaysia yang lebih mampan untuk generasi akan datang.
Masa depan mobiliti bukan diukur melalui berapa banyak EV berada di jalan raya, tetapi sejauh mana sistem mobiliti itu mampu meningkatkan kualiti hidup rakyat. Sebuah bandar yang benar-benar pintar bukanlah bandar yang mempunyai teknologi paling canggih, tetapi bandar yang menjadikan setiap perjalanan lebih mudah, lebih selamat, lebih sihat dan lebih lestari untuk semua.

Penulis merupakan penyelidik perancangan bandar dan pengangkutan di Fakulti Alam Bina, Universiti Malaya.





Leave a Reply