Usaha Pusat Asasi Sains Universiti Malaya (PASUM) dalam memperkasakan agenda Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) terus memacu momentum positif melalui pelaksanaan program CAKnA 2.0: Jejak PASUM – Aspirasi Sains Komuniti yang berlangsung di SMK Rompin, Pahang pada 4 Mei 2026.
Inisiatif ini melibatkan penyertaan seramai 136 orang pelajar Tingkatan 3 yang menunjukkan semangat dan penglibatan yang memberangsangkan sepanjang aktiviti dijalankan.
Program CAKnA 2.0 ini merupakan kesinambungan kepada kejayaan penganjuran siri terdahulu di Pekan pada Februari 2026, sekali gus membuktikan komitmen berterusan PASUM dalam melahirkan generasi muda yang celik sains, kreatif dan bersedia menghadapi cabaran dunia teknologi masa kini. Penganjuran kali ini turut dilaksanakan dengan kerjasama Kolej Kediaman Ungku Aziz, Universiti Malaya dan telah dirasmikan oleh Dr. Nor Azlina Abd Aziz, Pengetua Kolej Kediaman Ungku Aziz.
Selain menyemai sifat ingin tahu terhadap bidang STEM dalam kalangan pelajar, CAKnA 2.0 juga berperanan sebagai medium penghubung antara institusi pengajian tinggi dan komuniti setempat.
Kehadiran para fasilitator yang terdiri daripada pelajar PASUM yang juga merupakan penghuni Kolej Kediaman Ungku Aziz, bukan sahaja membimbing peserta, malah turut menjadi contoh teladan dan sumber inspirasi kepada para pelajar sekolah.
Interaksi ini secara tidak langsung berjaya menyemarakkan semangat serta meningkatkan keyakinan pelajar terhadap potensi diri mereka dalam bidang STEM.
Kejayaan program ini juga tidak akan tercapai tanpa sokongan padu daripada pihak sekolah. Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Rompin, Zuraini Mohd Mukhtar, bersama barisan guru telah memberikan komitmen dan kerjasama yang amat baik dalam memastikan kelancaran logistik serta pengurusan pelajar sepanjang program berlangsung. Dalam ucapan beliau, Zuraini menegaskan bahawa program seperti ini amat bertepatan dengan aspirasi yang digariskan dalam Rancangan Pendidikan Malaysia 2026–2035 serta mampu menjadi landasan terbaik untuk melahirkan pelajar yang bersedia mendepani cabaran revolusi perindustrian pada masa hadapan.
Semangat yang ditunjukkan oleh warga pendidik di sekolah ini turut membuktikan bahawa sekolah luar bandar mempunyai iltizam yang tinggi dalam memastikan pelajar mereka mampu berdiri setanding dengan pelajar di kawasan bandar dalam penguasaan bidang STEM.
Pengisian utama program CAKnA 2.0 berbentuk aktiviti explorace yang merangkumi lima stesen STEM interaktif. Setiap stesen direka bagi memberi pendedahan kepada pelajar terhadap pembelajaran sains yang lebih menyeronokkan dan praktikal. Para peserta berpeluang meneroka sendiri proses eksperimen, memahami aplikasi konsep sains dalam situasi sebenar serta menghubungkan teori dengan amalan dalam kehidupan seharian.

Aktiviti-aktiviti ini bukan sahaja merangsang daya fikir pelajar, malah turut memupuk keberanian mereka untuk berkongsi pandangan, menyerlahkan kreativiti dan mengasah kemahiran menyelesaikan masalah secara kritis.
Keghairahan peserta sepanjang program berlangsung amat memberangsangkan, lebih-lebih lagi dengan pemberian cenderamata PASUM bagi setiap kejayaan menyelesaikan cabaran dan eksperimen.
Sesungguhnya, usaha murni seperti ini wajar diteruskan secara konsisten oleh PASUM dan diperluaskan ke lebih banyak kawasan luar bandar di seluruh pelosok negara. Melalui sokongan berterusan daripada institusi pendidikan, pihak sekolah, komuniti serta pelbagai agensi berkaitan, aspirasi negara untuk melahirkan masyarakat yang celik STEM dan mampu memacu pembangunan melalui inovasi dan teknologi pastinya dapat direalisasikan.
Maklumat lanjut mengenai program ini boleh didapati melalui Dr Ahmad Husaini Suhaimi dan Nor Haslinda Hassan di Pusat Asasi Sains Universiti Malaya (PASUM).




Leave a Reply