Masuk 10 hari terakhir Ramadan, suasana di seluruh Selangor semakin meriah dengan deretan gerai yang menggamit selera. Dari juadah tradisi turun-temurun hinggalah menu viral yang tular di media sosial, tahun ini Bazaar Ramadan tampil lebih meriah, lebih tersusun dan lebih menyelerakan.

Ada lokasi baharu dibuka di pelbagai daerah, malah bazaar di Rawang dikatakan antara yang terpanjang, kalau berjalan dari hujung ke hujung boleh ambil masa lebih sejam! Jadi memang tak cukup kalau datang sekali sahaja.

Kalau anda sudah jemu dengan bufet hotel atau mahu pilihan iftar yang mudah tanpa perlu memasak, inilah masanya untuk Terjah Bazaar Ramadan sekitar Selangor.

Bazaar Ramadan di Shah Alam

Sebagai ibu negeri Selangor, Shah Alam memang sinonim dengan bazaar Ramadan yang sentiasa dipenuhi pengunjung. Bukan sahaja penduduk setempat, malah warga pejabat turut menjadikan bazaar sebagai destinasi wajib sebelum pulang.

Dengan pembangunan semula PKNS dan pembukaan Aneka Walk, suasana bazaar di Shah Alam kini lebih tersusun dan meriah. Antara lokasi popular termasuk Stadium Shah Alam, Setia Perdana BB, Seksyen 19, Denai Alam dan Seksyen 17.

Dari Mee Mamu dan Nasi Kenduri hingga sajian Pantai Timur seperti Nasi Kerabu dan Laksam, pilihan memang tidak mengecewakan. Nasi Mandi Chef Ammar juga terus menjadi antara tarikan utama saban tahun.

Bazaar Ramadan di Hulu Langat

Hulu Langat tampil dengan 30 bazaar Ramadan yang merangkumi kawasan Kajang, Cheras, Semenyih, Beranang dan Bangi.

Antara lokasi utama ialah Laman Niaga Komuniti Seksyen 13 Bandar Baru Bangi, Laman Niaga Komuniti Bandar Seri Putra, Laman Niaga Bandar Tun Hussein Onn, Taman Pelangi Semenyih dan Taman Prima Saujana Kajang.

Sesetengah lokasi menempatkan lebih 100 gerai, menawarkan hidangan popular seperti Sup Gearbox, Nasi Khaomok dan Sukiya Beef Bowl yang sering menjadi pilihan ramai.

Bazaar Ramadan di Kuala Langat

Kuala Langat pula menempatkan hampir 20 bazaar Ramadan dengan jumlah gerai menghampiri seribu. Selain juadah tradisional Melayu, daerah ini turut menampilkan pilihan makanan viral seperti Dubai Chewy Cookies, Vietnamese Rolls dan Cheese Quesillo.

Antara lokasi yang boleh dikunjungi termasuk Bazaar Ramadan Kanchong Darat, Banting, Triana, Bandar Tropicana Aman, Bandar Saujana Putra dan Dataran Pantai Batu Laut.

Bazaar Ramadan di Sepang

Di Sepang, kebanyakan bazaar terletak berhampiran pusat beli-belah dan kawasan lapang yang menyediakan kemudahan parkir yang luas.

Lokasi tumpuan termasuk Streetmall Cyberjaya, Desa Pinggiran Putra, Kipmall Kota Warisan, Kosmopleks Bandar Baru Salak Tinggi dan Bazaar Ramadan Sungai Pelek.

Pengunjung boleh mendapatkan Yong Tau Foo, kepak ayam bakar, Popiah Basah dan murtabak panas dengan lebih mudah tanpa perlu risau tentang parkir.

Bazaar Ramadan di Subang Jaya

Sebanyak 20 bazaar Ramadan beroperasi di sekitar Subang Jaya dengan 1,207 gerai makanan.

Antara kawasan popular ialah USJ 4, Dataran Niaga Puchong Permai, Bandar Kinrara 5, Jalan Petaling Putra Heights dan Taman Seri Serdang.

Suasana yang meriah ditambah dengan aroma sosej Thai bakar, murtabak dan Nasi Kerabu menjadikan kawasan ini sentiasa dipenuhi pengunjung. Datang lebih awal sangat disarankan bagi mengelakkan kesesakan.

Bazaar Ramadan di Klang

Daerah Klang yang kaya dengan budaya makanan membuka 22 bazaar Ramadan tahun ini.

Antara bazaar yang wajib dikunjungi ialah Taman Sri Andalas yang terkenal dengan Ayam Percik, kebab dan Nasi Beriani. Lokasi lain termasuk Simpang Empat Sungai Udang, KampungMeru, Lorong Musran Rantau Panjang dan Batu 4, Jalan Keretapi Lama.

Menariknya, ada bazaar di Klang yang mula beroperasi seawal jam 3 petang, memberi lebih masa kepada pengunjung untuk membeli juadah sebelum trafik menjadi sesak.

Bazaar Ramadan di Selayang

Di Selayang, bazaar Ramadan terus meriah dengan gabungan makanan tradisional dan moden.

Antara lokasi utama ialah Dataran Greenwood, Jalan E3/8 Taman Ehsan, Jalan 2 Bandar Baru Selayang, Taman Selayang Utama dan Bandar Rawang, termasuk bazaar panjang di Rawang yang menjadi sebutan ramai.

Roti John, Ayam Golek, Nasi Kerabu dan murtabak juga antara hidangan yang sering menjadi pilihan di Bazaar Ramadan sekitar Selayang.

Bazaar Ramadan di Hulu Selangor

Hulu Selangor menawarkan suasana yang sedikit lebih santai tetapi tetap dengan pilihan makanan yang menarik.

Lokasi seperti Tapak Penjaja JRD, Liga Mas Batang Kali, Jalan Seroja Bukit Sentosa, Tapak Pasar Malam Bukit Sentosa dan Jalan Kantan Bukit Beruntung menjadi tumpuan penduduk setempat.

Kuih tradisional seperti Tepung Talam, Tauhu Sumbat dan Lompat Tikam antara yang wajib dicuba.

Bazaar Ramadan di Petaling Jaya

Petaling Jaya mempunyai 18 bazaar Ramadan dengan 1,260 gerai, sesuai untuk mereka yang ingin mendapatkan juadah iftar dengan cepat.

Antara lokasi termasuk Kampung Lindungan PJS 6/3, Desa Mentari PJS 6/5, SS8, Sungai Way, Seksyen 17/1A, Lembah Subang dan Kampung Sungai Kayu Ara.

Dengan kesesakan lalu lintas yang hampir tidak dapat dielakkan pada bulan Ramadan, bazaar-bazaar ini menjadi pilihan praktikal bagi warga kota.

Bazaar Ramadan di Kuala Selangor

Kuala Selangor yang terkenal dengan makanan laut menawarkan 14 bazaar Ramadan tahun ini. Selain menu tempatan, pengunjung boleh menemui pilihan seperti Philly Cheese Steak, Kunafa dan Laksa Johor.

Antara lokasi yang disyorkan termasuk Jalan Hillpark 11/6 Bandar Hillpark, LOTUS Kuala Selangor, Jalan K/P1 Tanjong Karang, Astana Alam Fasa 3 dan Puncak Alam.

Bazaar Ramadan di Ampang Jaya

Ampang Jaya membuka 16 bazaar Ramadan tahun ini dan sering menjadi pilihan golongan bekerja kerana lokasinya yang strategik.

Antara lokasi popular ialah Padang Perbandaran MPAJ Pandan Indah, Jalan Melawati 1A Taman Keramat Permai, Jalan Medan Bukit Indah 1 Bukit Indah dan Jalan Ukay Perdana 1 Ukay Perdana.

Nasi Kerabu, Kuih Akok, sosej Thai dan Lokching antara hidangan yang sering menjadi pilihan pengunjung.

Bazaar Ramadan di Sabak Bernam

Di Sabak Bernam, semangat Ramadan tetap terasa walaupun suasananya lebih desa.

Dipengaruhi budaya Jawa dan Banjar, kawasan ini menawarkan hidangan tradisi seperti punten, wadai kipeng, nasi ambeng dan lontong.

Lokasi termasuk Tapak Parkir Pasar Awam Sungai Besar, Pengkalan Sabak, Perkarangan Dewan Seri Sekinchan, Pekan Pasir Panjang dan Pekan Parit Baru.

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading