Sekumpulan pelajar lepasan SPM yang sedang mengikuti kursus dua bulan di ELMU University, Bandar Enstek, Negeri Sembilan berasa teruja dengan latihan dan fasiliti yang terdapat di sini.

Kursus yang memberi penekanan kepada membentuk masa depan yang lebih jelas memberi kepuasan kepada pelajar yang tidak mahu menghabiskan masa ketika menanti keputusan SPM yang diduduki tahun lalu.

Fazal Subkhan Shahzada, 18, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Inderapura, Jerantut, Pahang yang bercita-cita untuk menjadi seorang pegawai polis berkata program yang ditawarkan sesuai dengan apa yang diidamkan.

Fazal Subkhan Shahzada

“Sebelum ini, hala tuju samar-samar, tetapi program ini menampakkan masa depan yang lebih jelas dan memberi keyakinan kepada peserta,” kata anak sulung dari dua orang adik beradik ini.

“Semoga kami dapat lebih keyakinan di dalam public speaking, di antara modul yang diajar di sini. Pada mulanya kurang jelas, tetapi setelah menghadiri kelas, saya sudah nampak hala tujunya,” tambah beliau.

Fazal mengakui terkejut menerima tawaran untuk menghadiri kursus dan setelah berbincang dengan ibu bapa, beliau tidak berlengah lagi. Hasilnya memberangsangkan dan banyak lagi program menarik yang disusun untuk para peserta.

Di antara aktiviti ialah lawatan ke balai polis dan balai bomba, bergaul dengan anggota dan menyaksikan sendiri bagaimana mereka menjalankan tugas harian.

“Saya turut terpegun dengan kemudahan yang ada di kampus ini, terletak di dalam satu kawasan yang luas dan kemudahan yang disediakan ‘memang ada kelas’,” katanya.

Rakannya Wan Emir Izuddin Bin Wan Ahmad Syafiq, 18, yang berasal dari Kemaman, Terengganu, berkata kemudahan dormitori di sini berbeza dengan keadaan asrama ketika belajar di Sekolah Sains Sultan Haji Ahmad Shah, Pekan, Pahang.

Wan Emir Izuddin Bin Wan Ahmad Syafiq

“Bilik kami dah macam bilik hotel, disediakan tandas sekali dan di sini terdapat pelbagai kemudahan seperti bilik pantri dan bilik istirahat yang disediakan tv skrin besar,” katanya.

Beliau berkata tawaran untuk beliau diterima ibunya, meminta saya hadirkan diri untuk satu sesi temuduga.

Anak tunggal kepada penyelia perumahan dan kerani akaun ini menambah fasilitator yang mengendali kelas berpengalaman dan kehadiran mereka memberi keyakinan kepada beliau.

“Walaupun ramai lepasan SPM yang mengambil kesempatan untuk berehat atau menghabiskan masa bermain game kerana pada mereka inilah masa untuk berehat sebelum memasuki alam universiti dan seterusnya bekerja, tetapi bagi saya, lebih baik memanfaatkan masa yang ada untuk mempelajari suatu yang baharu,” kata Wan Emir.

“Ibu bapa saya memberi galakan untuk saya terus berdikari dan setelah seminggu di sini, saya lebih yakin dan mendapat ramai rakan baharu,” tambahnya.

Wan Emir tertarik dengan kata-kata Timbalan Pengarah (Projek Khas) Dr Syed Fahmi Syed Abdul Rahman iaitu “change our mindset if you want to grow” dan berjanji akan memanfaatkan sepenuhnya apa yang dipelajari di sini.

Muhammad Alif Najmi Azam, yang berasal dari Kuantan, Pahang berkata fasilitator yang mengendalikan kelas memang berpengalaman. “Seronok dengar bagaimana operasi penguatkuasaan dijalankan.”

Beliau yang bercita-cita untuk menjadi seorang anggota tentera, khususnya pasukan para berkata beliau menggunakan peluang keemasan ini untuk menimba ilmu.

Muhammad Alif Najmi Azam

Muhammad Alif menambah perkarangan kampus merupakan tempat sesuai untuk beriadah, terdapat pelbagai aktiviti di waktu petang termasuk acara memanah dan bola.

Anak ketiga dari empat adik beradik ini bersyukur kerana ibu bapa beliau turut menyokong beliau untuk mengambil bahagian di dalam program ini.

Menurut Dr Syed Fahmi, program ini menjenguk kehidupan sebagai mahasiswa dan peserta diberi pendedahan di dalam bidang penguatkuasaan dan pentadbiran.

“Universiti kami berhubung rapat dengan pasukan keselamatan seperti bomba, polis dan pertahanan awam dan kami akan membawa peserta ke balai polis dan bomba untuk menyaksikan sendiri bagaimana mereka bekerja,” beliau berkata.

Memulakan operasi pada tahun 2022, ELMU yang memberi penekanan kepada bidang Penguatkuasaan, Pengurusan dan Kepimpinan mempunyai tenaga pengajar yang terdiri dari golongan profesional industri berkaitan iaitu bank dan agensi-agensi beruniform seperti PDRM, Bomba, APM dan SPRM.

Sebahagian dari pelajar lepasan SPM yang mengambil bahagian di dalam kursus khas

Salah satu bilik di dormitori ELMU yang menempatkan dua orang pelajar

Sebahagian dari peserta sedang mendengar taklimat dari Dr Syed Fahmi Syed Abdul Rahman di ELMU University.

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading