Dalam era digital yang semakin pesat berkembang, media sosial menjadi salah satu ruang paling aktif digunakan oleh remaja. Walaupun kehadirannya memberikan kemudahan komunikasi dan hiburan, fenomena ketagihan media sosial kini menimbulkan kebimbangan serius dalam kalangan pendidik, ibu bapa serta masyarakat.
Kecenderungan remaja untuk menghabiskan masa berjam-jam di depan skrin bukan lagi perkara asing, malah semakin diterima sebagai perkara biasa, sedangkan ia membawa implikasi besar terhadap tingkah laku dan hubungan sosial mereka.
Ketagihan media sosial berlaku apabila remaja hilang kawalan terhadap masa dan kekerapan penggunaan. Ciri seperti ‘endless scrolling’, video pendek yang cepat menarik perhatian dan notifikasi yang tidak putus-putus menjadikan remaja mudah terperangkap dalam kitaran penggunaan yang berlebihan. Akibatnya, ramai yang mengalami gangguan tumpuan dalam pelajaran, penurunan prestasi akademik dan keletihan emosi.
Kajian yang dijalankan oleh Arwansyah Kirin et al. (2022) mengesahkan bahawa ketagihan media sosial yang tidak terkawal telah memberi kesan negatif kepada akademik pelajar, di mana ia menyebabkan berkurangnya waktu belajar dan penurunan minat, seterusnya menjejaskan prestasi. Lebih membimbangkan lagi, ada remaja yang mula mengasingkan diri daripada keluarga kerana lebih selesa berinteraksi di dunia maya berbanding di dunia nyata.
Fenomena ini turut memberi kesan ketara terhadap cara remaja berkomunikasi. Hal ini disebabkan kerana hubungan sosial dibina melalui perbualan, bahasa tubuh dan interaksi mata ke mata. Namun, ketagihan media sosial menyebabkan sebahagian remaja lebih mahir berkomunikasi melalui mesej atau video pendek berbanding berinteraksi secara fizikal.
Penemuan pakar komunikasi, Shariffah Mamat (2014), menerusi penemuannya dalam Buletin Fakta Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia, berpendapat bahawa individu yang gemar berkomunikasi melalui media sosial sering kali mengalami kesukaran untuk berinteraksi secara bersemuka kerana mereka perlu berhati-hati dengan bahasa badan, gerak-geri dan nada suara mereka. Akibatnya, wujud generasi yang kurang yakin menghadapi situasi sosial, sukar mengurus emosi dan tidak selesa berbual secara langsung.
Selain itu, trend viral di media sosial turut mempengaruhi bentuk interaksi sesama remaja. Perkara yang mendapat perhatian ramai, walaupun tidak semestinya positif, sering dijadikan ukuran penerimaan sosial. Ada remaja yang sanggup mencuba cabaran berbahaya, memuat naik kandungan sensitif, atau mengikut budaya yang bertentangan dengan nilai moral semata-mata untuk kelihatan ‘up to date’. Keadaan ini jelas menunjukkan bahawa sebahagian remaja lebih mementingkan populariti berbanding menjaga maruah dan integriti diri.
Lebih merisaukan lagi, ketagihan media sosial turut dikaitkan dengan tekanan emosi. Remaja yang terlalu bergantung kepada pujian dan perhatian digital mudah berasa rendah diri apabila tidak mendapat ‘tanda suka’ (likes) atau komen yang diharapkan. Perbandingan hidup secara berlebihan, seperti melihat kecantikan, kejayaan dan gaya hidup orang lain, akhirnya menimbulkan rasa tidak cukup baik dalam diri mereka. Jika keadaan ini tidak dikawal, ia boleh menjejaskan kesihatan mental remaja dalam jangka masa panjang.
Walaupun begitu, masalah ketagihan media sosial bukan bermakna teknologi perlu ditolak sepenuhnya. Apa yang penting ialah kesedaran dan kawalan diri. Remaja perlu diberi panduan tentang cara menggunakan media sosial secara sihat, termasuk menetapkan had masa, memilih kandungan bermanfaat dan mengutamakan interaksi sebenar berbanding dunia maya. Ibu bapa dan pendidik pula perlu memainkan peranan dalam memantau tingkah laku digital agar keseimbangan dapat dicapai.
Menurut ajaran Islam, kebebasan yang tidak dipandu oleh iman boleh membawa kepada kerosakan diri dan hati. Allah SWT mengingatkan kita dalam Surah al-Isra’, ayat 36 yang bermaksud:
“Dan janganlah kamu mengikuti sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya; sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungjawabannya.”
Ayat ini menekankan kepentingan bertindak berasaskan ilmu dan kesedaran, termasuk ketika berinteraksi di ruang digital. Remaja perlu memahami bahawa setiap tindakan di media sosial, walaupun kelihatan remeh atau sekadar hiburan tetap mempunyai implikasi dan akan dipersoalkan kelak.
Kesimpulannya, ketagihan media sosial bukan sekadar isu penggunaan telefon yang berlebihan tetapi fenomena yang mengubah cara remaja berfikir, berperasaan dan berinteraksi. Jika tidak ditangani dengan bijak, ia berpotensi menjejaskan pembinaan karakter generasi muda pada masa hadapan.
Oleh itu, kesedaran, pendidikan digital, dan sokongan emosi sangat penting untuk memastikan remaja mampu menggunakan teknologi dengan lebih seimbang, sihat dan bertanggungjawab.
Oleh Nursafazera Afiefah Binti Sapar
Mahasiswi Usuluddin Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan
Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.






Leave a Reply