Banjir merupakan antara bencana alam yang sering melanda negara kita, terutamanya ketika musim Monsun Timur Laut. Fenomena ini membawa pelbagai implikasi kepada kehidupan masyarakat daripada kerosakan harta benda, gangguan ekonomi hinggalah kepada ancaman keselamatan.
Namun, di sebalik kesusahan yang dialami, timbul persoalan yang sering diperdebatkan: adakah banjir satu musibah semata-mata, atau sebenarnya terselit hikmah yang membawa kebaikan? Dalam pemahaman umum, banjir lebih dahulu dilihat sebagai musibah kerana kesan buruknya begitu ketara.
Di beberapa kawasan, penduduk kehilangan rumah, tanaman musnah, sumber pendapatan terhenti dan ada yang terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara untuk tempoh yang panjang. Sesetengah keluarga turut berdepan trauma dan tekanan emosi akibat pengalaman cemas ketika air naik secara mendadak.
Selain faktor cuaca, banyak kajian menunjukkan bahawa banjir juga berpunca daripada kelalaian manusia, seperti pembalakan tidak terkawal, pembangunan di kawasan tadahan air serta pembuangan sampah ke dalam sungai. Hal ini selari dengan firman Allah dalam Surah Ar-Rum ayat 41 yang menyebut bahawa kerosakan di darat dan laut berlaku akibat perbuatan manusia sendiri.
Maka jelaslah bahawa musibah banjir bukan sekadar fenomena alam, tetapi ada kalanya merupakan natijah daripada tindakan manusia yang gagal menjaga alam sekitar. Walaupun dianggap membawa kerosakan, banjir juga mengandungi hikmah tersendiri bagi mereka yang menilai dengan mata hati.
Banjir sering menjadi ruang untuk memperlihatkan semangat kemanusiaan. Setiap kali bencana berlaku, ribuan sukarelawan, NGO dan masyarakat setempat berganding bahu membantu mangsa tanpa mengira perbezaan. Keadaan ini menguatkan hubungan sosial dan melahirkan rasa empati dalam masyarakat. Selain itu, dari sudut ekologi, banjir sebenarnya membantu menyuburkan tanah dengan membawa mendapan lumpur yang kaya dengan nutrien.
Menurut kajian alam sekitar, ia membantu memperbaharui kualiti tanah dan memberikan manfaat jangka panjang kepada sektor pertanian. Walaupun ia tidak menafikan kemusnahan yang berlaku, hakikat ini menunjukkan bahawa banjir bukanlah 100% membawa keburukan. Dari perspektif agama, banjir boleh menjadi ujian kesabaran yang meningkatkan kekuatan spiritual seseorang.
Dalam Surah Al-Baqarah ayat 155, Allah menjelaskan bahawa manusia akan diuji dengan kehilangan harta, jiwa dan hasil tanaman. Namun bagi orang yang sabar, terdapat ganjaran besar. Ini menunjukkan bahawa setiap bencana tersembunyi hikmah yang boleh mendidik jiwa dan mendekatkan manusia kepada Pencipta.
Walau apa pun hikmahnya, tanggungjawab manusia untuk mencegah dan mengurus bencana tidak boleh diketepikan. Langkah-langkah seperti mengekalkan kawasan hutan, membina sistem saliran yang baik, mengawal pembangunan, dan mendidik masyarakat mengenai pengurusan sisa pepejal perlu diberi perhatian serius.
Banjir tidak wajar hanya dianggap takdir tanpa usaha, tetapi harus menjadi pemangkin kepada perancangan yang lebih mampan. Secara keseluruhannya, banjir boleh dilihat dari dua sudut berbeza. Dari sisi zahir, ia merupakan musibah yang membawa kesusahan dan kerugian.
Namun dari sisi batin, ia mengandungi hikmah yang mengajar manusia tentang nilai sabar, empati, solidariti dan tanggungjawab menjaga alam. Maka, persoalannya bukanlah sama ada banjir itu musibah atau hikmah, tetapi sejauh mana manusia dapat mempelajari sesuatu daripadanya dan mengambil langkah untuk mencegah kejadiannya berulang.







Leave a Reply