Pengenalan
TikTok: aplikasi media sosial yang membolehkan kita leka dengan dunia dengan menonton video pendek, hiburan seperti lagu dan trend terkini yang boleh menyebabkan kita terpengaruh dan ketagih. Tapi pernahkah kita terfikir: adakah semua hiburan ini memberi manfaat, atau hanya membawa keburukan dan melalaikan? Artikel ini membincangkan pengaruh, cabaran, dan tanggungjawab umat Islam dalam era digital ini.

Pengaruh Positif Tiktok
Seiring dengan perkembangan dunia moden, TikTok telah berkembang menjadi antara platform media sosial paling berpengaruh di dunia. Di Malaysia, jutaan pengguna aktif setiap hari menghasilkan dan menonton pelbagai jenis kandungan di dalam tiktok seperti hiburan lagu, trend viral dan isu-isu semasa yang menjadi bualan hangat di kalangan masyarakat kini. Fenomena ini melahirkan budaya TikTok iaitu cara berfikir, berhibur, berinteraksi dan mengekspresikan diri berdasarkan trend serta algoritma platform tersebut.

Walaupun platform ini membawa banyak peluang dari sudut kreativiti dan ekonomi digital, kita sebagai umat Islam sepatutnya melihat fenomena ini dengan lebih teliti terutamanya dari aspek akhlak, kehormatan diri dan tanggungjawab sebagai Muslim dalam dunia yang semakin moden ini.

Dari satu sudut positif, TikTok menjadi ruang untuk mencetuskan kreativiti, menyebarkan ilmu dan memperluas capaian dakwah. Ramai pendakwah muda menggunakan platform ini untuk berkongsi tazkirah ringkas, motivasi harian dan nasihat agama yang mudah difahami oleh generasi muda. Sebagai contoh, kandungan berbentuk pendidikan, seperti tips belajar, kesihatan mental, resipi masakan, dan nasihat-nasihat islamik juga banyak memberi manfaat kepada masyarakat.

Sehubungan dengan itu, TikTok turut membuka peluang rezeki melalui pemasaran digital, influencer marketing dan perniagaan dalam talian contohnya affiliate marketing, sekali gus memberi peluang kepada masyarakat tidak kira usia tua atau muda untuk memperoleh pendapatan sampingan dan mengurangkan beban keluarga dari segi kewangan.

Cabaran Budaya Tiktok
Akan tetapi, budaya TikTok turut menimbulkan beberapa cabaran besar kepada umat Islam. Antaranya ialah budaya mencari perhatian melalui kandungan yang melampau. Ramai pengguna sanggup melakukan aksi tidak bermoral, menari secara keterlaluan, mengikut trend fesyen yang tidak berlandaskan syariat Islam atau berkongsi kehidupan peribadi secara berlebihan demi meraih tontonan dan likes.

Fenomena ini membawa kepada normalisasi hiburan yang tidak berfaedah serta penurunan sensitiviti terhadap batasan aurat, pergaulan dan adab. Lebih membimbangkan, sebahagian kandungan yang tular bukan sahaja tidak membawa manfaat, malah membawa fitnah, mengaibkan orang lain dan menyebarkan maklumat palsu sebelum memastikan kesahihannya.

Cabaran seterusnya ialah kesan psikologi yang dialami generasi muda. Pengguna TikTok yang agresif menyebabkan mereka mudah ketagih, sehingga sering membuang masa dan mengabaikan tugasan yang perlu diselesaikan. Contohnya, mereka yang ketagih dengan Tiktok sering solat di akhir waktu dan suka menangguh kerja.

Selain itu, penggunaan Tiktok yang berlebihan juga sering berhadapan dengan masalah fokus, tekanan emosi, serta kecenderungan membandingkan diri dengan kehidupan orang lain yang ditonjolkan secara tidak realistik. Dalam Islam, menjaga kesihatan mental dan keseimbangan hidup merupakan satu tuntutan, kerana setiap Muslim diperintahkan untuk mengurus masa dengan baik dan tidak melakukan perkara yang sia-sia.

Seterusnya, budaya TikTok turut mendorong masyarakat menilai diri melalui penilaian manusia, bukan lagi melalui nilai taqwa. Apabila seseorang mula mengukur harga diri berdasarkan jumlah tontonan, pengikut atau komen, ia boleh membawa kepada penyakit riya’, suka dipuji dan suka membangga-banggakan kebolehan atau harta yang ada. Sedangkan Islam menekankan bahawa setiap perbuatan harus dilakukan kerana Allah, bukan demi mengejar perhatian ramai atau populariti. Firman Allah dalam Surah Al-Bayyinah ayat 5 yang bermaksud:

Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah agama yang benar”.

Tanggungjawab Umat Islam Dalam Era Digital
Menjadi tanggungjawab umat Islam mengamalkan adab digital yang selari dengan ajaran agama. Antaranya:

  • Menjaga batasan aurat, tutur kata, dan niat ketika menonton atau menghasilkan kandungan.
  • Memastikan setiap perkongsian berpandukan prinsip amal ma’ruf dan nahi mungkar.
  • Mengamalkan literasi digital, iaitu kemampuan membezakan kandungan yang sahih, bermanfaat, dan tidak bertentangan syariat.

Ibu bapa dan guru perlu memainkan peranan penting dalam memantau penggunaan TikTok di kalangan remaja dan anak-anak sejak kecil, selaras dengan pepatah “melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Mereka perlu menjadi contoh dalam penggunaan media sosial dengan berdisiplin dan membimbing anak-anak membina identiti berlandaskan nilai agama, bukan trend semasa.

Institusi agama dan pendakwah boleh memanfaatkan platform ini untuk menyampaikan dakwah secara kreatif, ringkas, dan mudah diterima generasi muda tanpa mengorbankan prinsip Islam. Dengan cara ini, generasi muda dapat mengamalkan amal ma’ruf dan nahi mungkar, serta bijak menavigasi dunia digital tanpa terjerumus dalam kelalaian.

Kesimpulan
Budaya TikTok mempunyai kebaikan dan keburukan, bergantung kepada cara penggunaannya. Jika digunakan mengikut prinsip Islam, ia menjadi ruang dakwah, menambah ilmu, dan mencari rezeki. Jika disalahgunakan, ia membawa kepada kelalaian, kerosakan akhlak, dan pembaziran masa.

Umat Islam perlu sedar bahawa setiap klik, tontonan, dan perkongsian adalah amanah yang akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud:

Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.” (Surah Al-Imran, 104)

Dalam era digital yang berkembang pesat ini, keimanan dan kesedaran diri menjadi benteng utama untuk memastikan seseorang tidak hanyut dalam arus hiburan yang melalaikan. Dengan pendekatan yang berhikmah, budaya TikTok dapat diurus dengan bijaksana, selari dengan prinsip Islam dan keperluan masyarakat.

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading