MUTAKHIR ini, kita telah dikejutkan dengan usaha masyarakat sedunia yang masih mempunyai empati semula jadi manusia dengan Misi Global Sumud Flotilla, sebuah misi untuk memberi bantuan kemanusiaan melalui jalan laut. Di negara kita, ia telah menjadi sebuah topik yang tidak lekang di bibir kerana seramai 23 orang wira dan wirawati kita turut ikut serta.
Walaupun hasil dari misi ini dianggap gagal secara zahirnya kerana mereka telah dipenjara selama beberapa hari oleh penjajah Israel, namun objektif lainnya tetap tercapai iaitu untuk membawa berita pembersihan etnik di Palestin ke perbincangan pemimpin dunia.
Peristiwa ini menjadi bukti nyata bahawa negara kita sememangnya mempunyai hubungan istimewa dengan Palestin. Ianya tidak terbatas hanya dengan hubungan diplomatik, malah kasih saying yang dibina atas semangat perjuangan melawan penjajah selama 70 tahun lebih lamanya. Namun tahukah anda, bahawa sebelum negara kita mencapai kemerdekaan lagi, sudah ada pemuda berbangsa Melayu yang lantang membela Palestin?
Namanya Burhanuddin al-Helmy, lahir pada tahun 29 Ogos 1911 di Kota Bharu, Gopeng, Perak. Merupakan anak sulung dalam keluarga, beliau merupakan pemikir nasionalis yang sering menjadikan isu Palestin dalam memperjuangkan kemerdekaan umat Islam.
Segalanya bermula ketika beliau berada di Aligarh Muslim Universiti di India dalam bidang falsafah dan sastera pada tahun 1934, beliau telah terpengaruh dengan Gerakan Muhammad Ali Jinnah dalam All Indian Muslim League (AIML) dan Mahatma Ghandi sehingga beliau lantang terhadap penjajah British. Isu penjajahan British di Palestin telah mendapat perhatian Burhanuddin al-Helmy.
Burhanuddin Helmy telah membuat Keputusan untuk bertolak ke Palestin untuk melihat penderitaan mereka dibawah British dan Zionis. Pada ketika itu, sudah ada Gerakan melawan penjajah dan mempertahankan hak mereka. Gerakan ini dipimpin oleh Syeikh Amin al-Husaini selaku Mufti Besar Baitul Maqdis dan Syeikh Izzuddin Al-Qassam selaku Imam Masjid Istiqlal.
Burhanuddin Helmu telah menyertai perarakan yang dipimpin oleh Syeikh Amin al-Husaini untuk menentang perjanjian Deklarasi Balfour yang mana membuka jalan kepada penubuhan negara haram Israel. Keberanian beliau telah menyebabkan Burhanuddin Helmy dipenjara kerana dituduh menyertai perhimpunan haram menentang pentadbiran mereka di Palestin. Peristiwa ini berlaku pada Oktober 1936, dan beliau telah dipenjara selama 4 bulan.
Tahun berikutnya beliau telah Kembali ke Tanah Melayu dan tingga di Singapura. Beliau telah menjadi guru di Madrasah Al-Junid, di samping menjadi Setiausaha Jamiyatul Dakwah Islamiyah Singapura yang dipimpin oleh Syeikh Abbas Taha. Beliau kemudiannya telah menerbitkan majalah “Taman Bahagia” yang isi kandungannya mendedahkan rancangan jahat British ke atas Palestin.
Hal ini menyebabkan majalah tersebut diharamkan dan Burhanuddin telah ditangkap sekali lagi di Singapura oleh British. Namun kali ini beliau telah dibebaskan dengan wang jaminan keluarga al-Sagoff. Walaupun dipenjara , tulisan Burhanuddin Helmy telah membakar semangat kaum Melayu ketika itu. Dalam keadaan Tanah Melayu sendiri merupakan tanah yang terjajah, beliau sudahpun bercakap tentang perjuangan kemerdekaan untuk Palestin.
Menjelang tahun 1940-an, perjuangan untuk Palestin sudah mula merancak dalam kalangan kaum Melayu. Nama-nama seperti Sardon Jubir, Abdullah Yahaya dan A. Mohd Hussein menyambung perjuangan ini di Tanah Melayu. Mereka telah menubuhkan Jawatan Kuasa Anti-Pemisahan Palestin di Singapura pada tahun 1947. Penubuhan ini Adalah untuk membantah Resolusi 181 di Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu yang memecah Palestin kepada dua wilayah iaitu wilayah Arab dan wilayah Yahudi.
Selepas berakhirnya Perang Dunia Kedua, Burhanuddin Helmy yang ketika itu memimpin Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) telah mempengaruhi Ustaz Abu Bakar Al-Baqir untuk menubuhkan Hizbul Muslimin pada 24 Mac 1948. Antara isu penting yang dibincangkan dalam Persidangan Majlis Agama Tertinggi Se-Malaya(MATA) di Gunung Semanggol ialah kedudukan Palestin sejak penubuhan negara haram Israel 14 Mei 1948.
Pada tahun sekitar 60-an, Dr Burhanuddin Helmy juga telah membentangkan konsep Melayu-Raya, iaitu penyatuan Melayu Raya yang mana Indonesia, Malaysia dan Brunei disatukan dalam satu serumpun. Beliau memperjuangkan gagasan ini sebagai cara untuk menyatukan orang Melayu di seluruh Nusantara agar mereka menjadi lebih kuat dan bersatu di tengah perubahan politik pasca-merdeka. Antara peranan lain penubuhan ini juga adalah untuk melemahkan pengaruh Israel di Nusantara.
Selepas 77 tahun penubuhan negara haram Israel, Malaysia merupakan antara negara yang paling lantang memperjuangkan isu kemerdekaan Palestin. Ianya bukan hanya terhad kepada isu pemilikan tanah semata-mata, tetapi juga kepada isu kemiskinan , penderitaan dan pembersihan etnik yang dijalankan Israel.
Semangat inilah yang ditanam oleh Burhanuddin Helmy sejak zaman pra-kemerdekaan lagi. Beliau telah menjadi lambang kesedaran Palestin dalam jiwa orang Melayu. Beliau juga menjadi bukti bahawa kemerdekaan tetap wajib diperjuangkan bukan hanya sehingga tahun 1957, tetapi sehingga semua umat Islam bebsas dari cengkaman golongan kafir.
Muhammad Haikal Shah Bin Mohd Riza Shah
Jabatan Sejarah Dan Tamadun Pendidikan Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya






Leave a Reply