Oleh Ku Lan

Lebih 20 tahun bergelumang dalam dunia kewartawanan arus perdana, aku sudah terbiasa mengejar berita, menghadapi deadline, menemuramah pelbagai insan dan membuat liputan di lapangan.

Tapi, stroke telah mengubah semua itu. Bagaimana aku, seorang yang pernah berlari mencari berita, kini berjuang untuk berbicara?

Badan yang dulu kuat sekarang lemah, stres dan rasa takut menghantui setiap langkah. Stroke melanda tanpa peringatan dan telah mengubah hidupku dalam sekelip mata.

Hari pertama tersedar di hospital, rasa bingung dan sedih membadai. “Kenapa ini terjadi pada aku?” Pertanyaan itu sentiasa berputar di kepala.

Ingatan tentang stroke yang melanda ketika itu samar, tapi satu hal jelas: tubuh aku terasa asing, seperti beban yang tak dapat digerakkan. Saat itu, rasa takut, sedih, dan stres menghentam bagaikan ombak.

Sokongan dan dorongan keluarga menjadi cahaya di tengah kegelapan. Makan, berjalan dan berbicara, semuanya dibantu mereka.

Terapi fizikal terasa melelahkan, tapi aku tahu itu langkah pertama menuju pemulihan. Aku juga join support group di masjid dan berjumpa dengan orang-orang yang pernah melalui hal serupa. Mereka mengingatkanku bahawa aku tidak sendirian.

Hari-hari aku jalani dengan sabar. Aku mula makan secara sihat, berdoa, dan perlahan-lahan, tubuhku mulai pulih. Stres masih ada, tapi aku belajar menghadapinya. “Allah ada di sampingku,” aku bisik kepada diri.

Sebagai seorang Muslim, aku tahu aku perlu mencari kekuatan dalam iman. Aku mula mengucap zikir, “Laa ilaha illallah,” mengulangnya seperti bisikan kepada diri sendiri.

Saudara Rashid Yusof, mantan Ketua Pengarang NST yang aku anggap sebagai salah seorang mentor dalam dunia kewartawanan dan seorang abang pernah berkata, “Stres itu ujian, tapi Allah sedia membantu kamu.” Kata-katanya meresap dalam hati. Aku mula mencari cara untuk mengurus stres, bukan menghindarinya.

Aku juga berterima kasih kepada rakan-rakan senior dan seangkatan seperti Mus Kamil, Badrolhisham Bidin, Allahyarham Norazdman, Alang Bendahara, Ben Tan dan ramai lagi yang memberi nasihat, sokongan serta dorongan untuk terus kuat.

Sekarang, aku hidup lebih sederhana, tapi lebih bermakna. Aku menghargai setiap detik, setiap senyuman, dan setiap langkah kecil.

Stroke mungkin melambatkanku, tapi tidak menghentikan aku. Aku mungkin tak secepat dulu, tapi aku masih bercerita—tentang harapan, tentang pulih, tentang hidup.

Nota: Gambar utama memaparkan sekumpulan pesakit stroke sedang berlatih bermain bola berjalan (walking football) di padang.

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading