Oleh Siti Nurul Hisan Binti Mohd Fadzli

Dari Julai hingga Oktober 2025, saya diberi peluang menjalani latihan industri di Zoo Negara Malaysia. Sebagai pelajar tahun akhir dalam jurusan Sains Ekologi dan Biodiversiti di Universiti Malaya, saya menyambut peluang ini dengan penuh keterujaan. Saya menyangka akan belajar tentang penjagaan haiwan secara asas, tetapi hakikatnya, pengalaman ini mengubah cara saya melihat alam, dan peranan manusia dalam menjaganya.

Ramai mengenali Zoo Negara sebagai lokasi pelancongan. Namun bagi kami yang pernah berada di balik tabirnya, ia adalah pusat konservasi, pendidikan, dan penyelidikan yang sangat aktif. Di sinilah saya belajar bahawa kerja pemuliharaan bukan sekadar menyelamatkan haiwan yang terancam, tetapi juga memastikan keseimbangan antara manusia dan alam terus terpelihara.

Sepanjang 12 minggu latihan, saya ditempatkan di sembilan seksyen yang berbeza, iaitu Children’s World, Bear Complex, Reptile House, Savannah, Mammal Kingdom I, Biodiversity Garden, Bird House, Aquarium, dan yang paling saya gemari, seksyen Carnivore. Setiap minggu, saya ditugaskan di lokasi baharu. Ini membolehkan saya memahami keperluan spesies yang pelbagai, dari aspek makanan, kebersihan kandang, hingga kepada tingkah laku dan kesihatan mereka.

Di seksyen Karnivor, saya berpeluang melihat Harimau Malaya (Panthera tigris jacksoni) dari dekat. Ia bukan sekadar pengalaman mendebarkan, tetapi juga menyedarkan saya betapa pentingnya peranan institusi seperti Zoo Negara dalam pembiakan dan kelangsungan spesies terancam ini. Saya belajar tentang pembiakan terancang dan bagaimana genetik haiwan perlu diurus dengan penuh teliti.

Latihan saya tidak terhad kepada penjagaan haiwan semata-mata. Saya juga menyertai satu projek mini yang meneliti tingkah laku monyet liar yang berkeliaran di sekitar kawasan zoo. Melalui projek ini, saya didedahkan kepada kaedah pemerhatian lapangan, pencatatan data, dan analisis interaksi sosial primat. Kami mengenal pasti empat spesies utama: kera (Macaca fascicularis), beruk (Macaca nemestrina), surili (Presbytis siamensis), dan lutong (Trachypithecus obscurus). Pemerhatian kami membantu pihak zoo dalam merangka pendekatan pengurusan populasi liar yang lebih lestari.

Saya akui, kerja harian agak mencabar dari segi fizikal. Setiap tugas perlu dilaksanakan mengikut prosedur keselamatan yang ketat, dan ada kalanya memerlukan kesabaran yang tinggi. Namun di situlah saya belajar membina daya tahan, meningkatkan kemahiran komunikasi, dan bekerjasama secara berkesan dengan pasukan. Bimbingan daripada penjaga zoo berpengalaman serta rakan-rakan pelatih dari universiti lain menjadikan tempoh latihan ini lebih bermakna.

Kini apabila saya menoleh ke belakang, saya sedar bahawa latihan industri ini bukan sahaja mengukuhkan asas akademik saya, tetapi juga membentuk hala tuju masa depan saya. Saya tidak lagi melihat haiwan hanya sebagai subjek kajian, tetapi sebagai makhluk yang mempunyai hak untuk dilindungi dan difahami. Saya mula menyedari bahawa pemuliharaan alam bukanlah usaha eksklusif para saintis atau institusi; tetapi tanggungjawab kita semua.

Dan jika anda tertanya-tanya bagaimana untuk mula menyumbang kepada pemuliharaan alam, mulakan dengan memerhati. Lawati zoo atau pusat konservasi bukan hanya sebagai pelawat, tetapi sebagai pemerhati yang ingin belajar. Tanya soalan. Fahami peranan mereka. Kadangkala, langkah pertama untuk melindungi alam adalah dengan belajar melihatnya dari sudut yang berbeza.

Siti Nurul Hisan Binti Mohd Fadzli ialah pelajar tahun akhir Sarjana Muda Sains Ekologi dan Biodiversiti di Fakulti Sains, Universiti Malaya.

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading