DALAM meniti arus kemodenan yang serba pantas ini, gaya hidup hedonistik semakin dianggap perkara biasa dalam kalangan anak muda. Ramai yang semakin hanyut dalam budaya hiburan yang hanya mengejar keseronokan tanpa memikirkan kesannya pada masa akan datang.

Lebih membimbangkan, fenomena ini bukan lagi perkara asing dalam masyarakat, sebaliknya ia menjadi rutin harian yang dipacu oleh media sosial dan pengaruh budaya Barat yang tidak lagi ada batasnya. Akibatnya, generasi muda bukan sahaja berdepan kemerosotan sahsiah, malah semakin jauh daripada memahami erti kehidupan berlandaskan nilai serta etika Islam.

Hedonisme membawa maksud gaya hidup yang berpusat kepada keseronokan, hiburan dan kepuasan diri semata-mata. Dalam konteks anak muda hari ini, hedonisme dapat dilihat melalui aktiviti sosial yang berlebihan, obsesi terhadap penampilan, hiburan dan pergaulan bebas yang dianggap sebagai simbol kemodenan.

Budaya ini sangat bertentangan dengan nilai Islam yang menekankan keseimbangan antara tuntutan dunia dan akhirat. Apabila gaya hidup ini meresap ke dalam jiwa anak muda Islam, mereka menjadi leka dengan hiburan, kemewahan dan populariti sehingga melupakan tanggungjawab terhadap agama serta masyarakat.

Antara faktor utama yang menyumbang kepada gaya hidup hedonistik adalah kelemahan pendidikan agama dan kurangnya pengawasan ibu bapa terhadap anak-anak sejak kecil lagi. Dunia digital dan media sosial seperti TikTok, Instagram dan X (Twitter) turut memainkan peranan besar dalam menormalisasikan hiburan melampau, pergaulan bebas dan budaya selebriti.

Keghairahan terhadap hiburan antarabangsa seperti konsert, artis K-pop atau pengaruh Barat menjadikan hiburan sebagai “keperluan hidup”, bukan lagi sekadar hiburan sementara. Lebih membimbangkan, ada dalam kalangan anak muda yang mula menerima fahaman liberal dan gaya hidup bebas seperti LGBT yang jelas bertentangan dengan syariat. Akibatnya, ramai anak muda mula memandang ringan soal batas agama, adab dan maruah diri. Inilah yang disebut sebagai “ancaman senyap”, kerana ia berlaku tanpa disedari, namun perlahan-lahan meruntuhkan kekuatan moral generasi muda Islam.

Budaya hedonisme membawa kesan besar terhadap akhlak remaja. Ia melemahkan iman, mengikis rasa malu, dan menjauhkan mereka daripada nilai Islam. Gejala sosial seperti pergaulan bebas, ketagihan hiburan, penagihan dadah dan keruntuhan moral menjadi semakin ketara.

Hilangnya adab dan sopan santun yang menjadi identiti bangsa Melayu-Islam juga menunjukkan bagaimana pengaruh budaya asing telah menghakis akar nilai Islam dalam diri generasi muda. Dalam jangka panjang, hedonisme bukan sahaja merosakkan individu, malah menggugat keharmonian masyarakat dan kestabilan negara.

Dari sudut etika Islam, hedonisme jelas bertentangan dengan ajaran agama. Islam tidak menolak hiburan sepenuhnya, namun meletakkan syarat bahawa setiap bentuk hiburan mesti selari dengan batas syarak. Prinsip utama etika Islam ialah mengawal hawa nafsu (mujahadah al-nafs) dan menyucikan hati (tazkiyah al-nafs).

Nabi Muhammad SAW sendiri diutus untuk menyempurnakan akhlak manusia, sebagaimana sabdanya: “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.” Akhlak yang baik merupakan cerminan iman seseorang dan asas kepada kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.

Pendidikan akhlak menjadi benteng utama untuk mengekang pengaruh hedonisme. Akhlak bukan sekadar adab luaran, tetapi hasil daripada hati yang bersih dan iman yang kukuh. Oleh itu, setiap Muslim wajib menjaga anggota zahir dan batin daripada perkara maksiat. Pendidikan Islam perlu disemai sejak kecil agar membentuk keperibadian yang seimbang antara ilmu, iman dan akhlak. Jika hati dibimbing dengan nilai agama, remaja akan mampu menapis pengaruh hiburan dan gaya hidup moden secara bijaksana.

Untuk mengekang budaya hedonisme daripada terus menular, semua pihak perlulah memainkan peranan masing-masing. Pertama, sistem pendidikan Islam harus memperkukuh pembelajaran akhlak dan rohani di semua peringkat. Kedua, ibu bapa perlu memainkan peranan aktif memantau penggunaan media dan membimbing anak-anak dengan kasih sayang dan nasihat agama.

Ketiga, pihak berkuasa wajar mengawal bentuk hiburan awam agar tidak bertentangan dengan nilai moral dan akidah Islam. Keempat, masyarakat perlu menghidupkan kembali tradisi ilmu dan adab yang diwariskan oleh ulama sebagai asas ketamadunan Islam.

Tuntasnya, budaya hedonisme merupakan cabaran besar kepada akhlak anak muda Islam masa kini. Ia bukan sahaja menghakis nilai moral, malah mampu menjauhkan mereka daripada tujuan hidup sebenar sebagai hamba dan khalifah Allah di muka bumi. Justeru, penghayatan terhadap etika Islam perlu diperkasa semula melalui pendidikan, contoh teladan dan bimbingan berterusan.

Anak muda adalah harapan masa depan negara. Jika akhlak mereka runtuh, maka rosaklah tiang masyarakat. Sudah tiba masanya kita semua bertindak menentang ancaman senyap ini dengan kembali kepada nilai Islam yang sebenar.

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading