BARU-BARU ini kita digemparkan dengan khabar yang tidak diingini berlaku dalam kalangan pelajar sekolah iaitu berlakunya kes bunuh. Isu ini telah mencemarkan pihak kerajaan terutama sekali Kementerian Pendidikan kerana ianya melibatkan kanak-kanak sekolah bawah umur. Dalam kalangan ibu bapa, ia sangat sensitif jika mendengar kejadian sedemikian terjadi dalam kalangan anak-anak mereka.

Jika diikutkan mereka ingin mendesak kerajaan untuk memperketatkan lagi pengawasan keselamatan di peringkat pengajian tinggi mahupun sekolah atau luar kawasan. Isu ini bukan perkara baharu, malah banyak kejadian lain yang melibatkan pelajar, seperti kes Zara Qairina yang masih dalam siasatan dan inkues hingga ke hari ini.

Kebanyakan kes bunuh melibatkan pelajar bermula daripada perbuatan membuli. Buli adalah tingkah laku lisan atau agresif yang ditujukan kepada orang lain. Ia sering berlaku dalam masyarakat di mana terdapat jurang antara mereka yang mempunyai lebih kuasa atau autoriti, dan sering ditujukan kepada mereka yang lebih lemah. Ia juga berulang, dan buli adalah perkara biasa di sekolah dan tempat kerja, yang membawa kepada masalah kesihatan mental yang serius.

Semua kejadian ini berlaku akibat tindakan pelajar yang tidak bermoral, yang kebanyakannya terikut-ikut dengan trend semasa teknologi pada zaman ini. Selain itu, ia juga disebabkan ‘perpindahan’ daripada alam kanak-kanak kepada remaja sehingga mereka menganggap perbuatan buli itu adalah perkara biasa.

Apa yang berlaku ini bukanlah merupakan titik terakhir untuk menangani isu serius dalam kalangan remaja. Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk membendungnya secara bersama, bukan bersendirian. Pada masa yang sama, semua cadangan daripada ibu bapa dan rakyat Malaysia perlu diambil kira untuk menyelesaikan isu ini.

Apa yang penting ialah kita tidak menjadikan kejadian seperti ini sebagai mainan politik untuk mencipta nama dengan menyalahkan kerajaan, kononnya tidak mempedulikan perkara serius ini. Ada juga yang menuduh Kementerian Pendidikan dan menteri berkaitan tidak menangani isu ini dengan berkesan.

Selain itu, mereka yang berpendidikan tinggi juga sepatutnya memberi pandangan dan mencetuskan idea bagaimana langkah boleh dilakukan untuk menangani perkara ini. Jangan hanya bijak memperlekehkan dan mempertikaikan atau menganggap sebarang sistem yang diguna pakai kerajaan sekarang ini tidak efektif dan efisien.

Tiada gunanya seseorang itu memiliki segulung ijazah tanpa menggunakannya dengan betul dan berfikir seperti orang yang tidak berilmu. Tidak juga seorang yang berilmu untuk menghukum pihak berkenaan hanya disebabkan kes yang sepatutnya boleh diselesaikan.

Jika kita perhatikan, semua kes sama ada buli dan pembunuhan dalam kalangan kanak-kanak dan remaja berlaku dengan bersebab. Ini termasuk, pengaruh permainan video. Pada era teknologi yang canggih ini permainan video yang semakin banyak dalam laman sesawang boleh merosakkan otak dan pemikiran remaja sehingga ada yang sanggup meniru aksi tertentu dan membawanya ke alam nyata.

Hal inilah yang menyebabkan banyak kes buli dan sesetengahnya mengakibatkan maut berlaku. Otak dan fikiran dikawal oleh teknologi dan mereka mengikutkan nafsu untuk mencuba sesuatu yang pernah mereka alami di alam maya. Dalam hal ini Islam menekankan dengan dalil mafhumnya “dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke arah kekebinasaan”.

Profesor Madya Dr. Roslan Mahmud, Pensyarah Kriminologi Universiti Kebangsaan Malaysia, pernah menjelaskan bahawa masyarakat kita masih kurang empati dan cenderung menilai secara luaran. “Kita cepat menghukum tetapi lambat membantu. Jika jiran, rakan sekerja, atau ahli keluarga menunjukkan tanda-tanda tekanan atau penyimpangan tingkah laku, campur tangan awal boleh menyelamatkan nyawa,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan pentingnya program komuniti dan kaunseling awam bagi membantu individu mengurus tekanan hidup dengan lebih sihat.

Berbalik kepada kes buli dan pembunuhan yang terjadi dalam kalangan pelajar sekolah, isu ini juga boleh membuka mata dan memberi pengajaran kepada para pendidik agar lebih cakna dalam menjalankan tugas serta tidak lagi mengulang kesilapan ataupun kekhilafan yang sama.

Keterlibatan kaunselor dalam membentuk akhlak dan tingkah laku pelajar, juga penting untuk mencegah buli kerana ia membantu pelajar berasa selamat, mempunyai tempat untuk meluahkan emosi mereka, dan tahu cara untuk mengatasinya. Kaunseling boleh dilakukan melalui pendengaran aktif, memupuk persefahaman bersama, dan mengajar kemahiran penyelesaian masalah yang penting, seperti mengenali kesalahan mereka sendiri dan mengetahui cara untuk menolak atau mengelakkan situasi.

Menangani buli dan pembunuhan di sekolah memerlukan usaha sama daripada semua pihak berkepentingan, merangkumi pencegahan, memupuk sikap positif dan mengurus masalah apabila timbul. Strategi utama termasuk memupuk persefahaman dan empati dalam kalangan pelajar, mewujudkan persekitaran yang selamat, menetapkan peraturan yang jelas dan menggalakkan komunikasi terbuka.

Sekiranya berlaku kejadian, adalah penting untuk membincangkannya dengan semua pihak yang terlibat, termasuk memberikan sokongan kepada mangsa dan pelaku, supaya isu tersebut dapat diselesaikan secara aman dan mengelak daripada berulang.

Marilah kita bersama-sama untuk membantu dalam menangani masalah berkaitan akhlak anak-anak remaja ini agar mereka dapat memahami tentang betapa pentingnya masa depan.

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading