BARU-BARU ini, industri Halal di Malaysia dihangatkan dengan kemunculan isu Muslim Choice oleh NGO Muslim-Friendly Watch (MFW). Berdasarkan maklumat di laman sesawang MFW, Muslim Choice adalah platform untuk peniaga berpeluang menyebarkan produk dan perkhidmatan mereka ke pasaran muslim, dan sistem ini bertujuan untuk membantu masyarakat muslim memilih perkhidmatan dan produk yang sesuai dan berkualiti.
Pada 2 November 2025, JAKIM telah mengeluarkan kenyataan berkenaan Muslim Choice oleh MFW serta mengarahkan aktiviti tersebut dihentikan. Menurut penyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah JAKIM iaitu Dato’ Dr. Sirajuddin bin Suhaimee, JAKIM dan MFW telah mengadakan pertemuan pada 23 Ogos 2024 untuk memaklumkan bahawa pengiktirafan mereka mendatangkan kekeliruan masyarakat pengguna dan memohon mereka menghentikan aktiviti tersebut. Walau bagaimanapun, pihak MFW dikesan masih meneruskan aktiviti mereka.
Beberapa hari selepasnya iaitu pada 5 November 2025 MFW membuat keputusan untuk membubarkan pertubuhan itu secara rasmi mengikut lunas undang-undang di bawah Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335) selepas isu Muslim Choice mendapat perhatian awam.
Isu ini membangkitkan pandangan atau pendapat daripada masyarakat awam di media sosial seperti Tiktok, X, Thread, dan Instagram. Terdapat pihak yang bersetuju dengan sistem Muslim Choice dengan penyataan bahawa sistem ini dapat membantu pelanggan memastikan premis yang menyediakan produk atau perkhidmatan yang mesra muslim serta membantu pemilik premis mendapatkan pelanggan muslim tanpa melalui proses pengiktirafan yang ketat daripada pihak berkuasa seperti JAKIM.
Selain itu, terdapat pihak yang tidak bersetuju dengan sistem ini dan meraguinya kerana kebanyakan ahli jawatankuasa MFW adalah non-muslim dan menegaskan bahawa sistem pemberian pengiktirafan halal adalah hak muslim.
Pengiktirafan yang tidak sah bukan hanya akan mengelirukan masyarakat pengguna muslim, malah boleh menjejaskan integriti sistem pensijilan halal negara. Berdasarkan peruntukan di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, agensi yang mempunyai kuasa mengeluarkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) serta memberi kebenaran penggunaan logo Halal Malaysia adalah JAKIM dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) atau Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) sahaja.
Penyalahgunaan dalam penggunaan logo, kenyataan dan segala perkara yang membawa maksud halal yang dikeluarkan oleh mana-mana pihak selain agensi tersebut adalah menyalahi peraturan.
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, halal adalah hukum membenarkan sesuatu perbuatan yang diperbolehkan dalam Islam iaitu tidak ditegah oleh syarak. Manakala, sijil halal JAKIM adalah pengiktirafan yang diberikan kepada sesuatu produk, perkhidmatan, atau premis yang memenuhi piawaian dan syarat yang ditetapkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Umum mengetahui bahawa proses permohonan sijil halal JAKIM atau MAIN/JAIN mempunyai banyak syarat yang perlu dipenuhi oleh sesebuah premis. Ia memerlukan mekanisme kawalan dalaman yang memastikan pemeliharaan integriti halal produk dan mencegah sebarang ketidakpatuhan terhadap keperluan halal. Proses ini meliputi kesuluruhan proses dari awal
hingga akhir pembuatan produk halal mengikut piawaian JAKIM.
Hikmahnya, sijil halal JAKIM berperanan sebagai jaminan kepada masyarakat pengguna muslim bahawa suatu produk itu telus, bersih daripada unsur najis (anjing dan khinzir) dan syubhah (keraguan), dan tiada kemungkinan terjadinya kontaminasi silang dengan perkara-perkara di atas sehingga boleh menjadikannya haram (terlarang).
Menurut Dinar Standard, Malaysia kekal di kedudukan teratas dalam Global Islamic Economy Indicator (GIEI) untuk tahun ke-10 berturut-turut.
Malaysia menerajui ekonomi halal global dan Malaysia kekal di barisan hadapan dalam pembangunan industri halal sejak pensijilan halal pertama dikeluarkan pada 1974 dan sistem pensijilan rasminya dilancarkan pada tahun 2000. Sehingga kini, JAKIM mengiktiraf 92 badan pensijilan halal luar negara dari 47 buah negara.
Malaysia menawarkan ekosistem halal yang lengkap daripada pengeluaran, perkhidmatan, infrastruktur hingga sokongan kerajaan dan modal insan. Pada suatu ketika, halal akan sampai ke peringkat di mana ia menjadi arus perdana.
Jika dilihat daripada perspektif Islam, halal bukan hanya sekadar sijil pengiktirafan, pematuhan, atau arah aliran. Bahkan ia adalah mengenai tanggungjawab tauhid untuk memastikan setiap aspek kehidupan manusia selari dengan panduan dan bimbingan ilahi. Halal adalah manifestasi iman, etika, dan akauntabiliti, memastikan bahawa apa yang kita makan, hasilkan, dan perdagangan adalah selaras dengan kehendak Allah.
Sebagai seorang muslim yang beriman, kita dituntut untuk memelihara maqasid syariah. Berdasarkan kitab Nazhariyyatul Maqasid ‘indal Imam as-Syathibi, maqasid syariah adalah tujuan-tujuan yang telah ditetapkan oleh syarak bagi merealisasikan kemaslahatan manusia. Menurut Al-Ghazali dalam karyanya al-Mustasfa min ‘llm al-Usul, maqasid syariah itu ada lima, iaitu memelihara agama, nyawa, akal, keturunan, dan harta.
Salah satu cara memelihara nyawa dan akal adalah dengan memberi perhatian kepada segala sumber yang diterima oleh badan kita setiap hari. Allah SWT berfirman dalam surah An-Nur, ayat 168 yang bermaksud:
“Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu”. Dengan itu, mencari makanan halal tayyiban (baik) adalah dituntut oleh Allah.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pemakanan yang sihat adalah penting untuk kesihatan serta melindungi daripada banyak penyakit kronik, seperti penyakit jantung, diabetes dan kanser. Daripada perspektif sains, manusia perlu menjaga kesihatan fizikal dan mental dengan mempraktiskan diet sihat. Jelas lagi bersuluh, makanan halal toyyiban secara langsung memberi kebaikan dalam pemeliharaan nyawa dan akal manusia.
Dalam konteks dunia Islam kini, isu halal mencakupi dimensi kesihatan dan kebaikan secara menyeluruh, bukan hanya berkisar kepada status halal sesuatu produk, perkhidmatan, atau premis. Galakkan umat Islam mencari produk yang halal toyyiban membawa manfaat kepada jasmani dan rohani seseorang. Kini, batu asas dalam memastikan produk halal mempunyai integriti tinggi adalah melalui pengiktirafan rasmi sijil halal yang dikeluarkan oleh JAKIM, MAIN/JAIN, atau mana-mana agensi yang diiktiraf JAKIM.
Oleh itu, kerjasama aktif antara setiap institusi sosial seperti pihak berkuasa, pemilik perniagaan, dan masyarakat pengguna diperlukan bagi menangani cabaran mengekalkan sistem halal yang ketat agar prinsip-prinsip Islam yang diamalkan dalam kehidupan seharian terpelihara.







Leave a Reply