BULI merupakan sesuatu perbuatan yang tidak sewajarnya dilakukan dan perlu diambil tindakan serius kerana akhir-akhir ini isu buli semakin berleluasa terutama di negara kita, Malaysia. Isu buli ini bukanlah isu yang baru kerana dari dahulu lagi perbuatan ini wujud. Ia boleh berlaku di sekolah, tempat kerja ataupun dalam talian yang lebih dikenali dengan buli siber.
Pelbagai jenis buli yang boleh terjadi contohnya buli yang melibatkan penderaan fizikal seseorang seperti memukul atau menendang. Selain itu, buli juga boleh melibatkan ugutan dan tindakan menakutkan seseorang misalnya buli siber iaitu perbuatan mengancam, memalukan seseorang individu melalui medium elektronik seperti mesej, media sosial, e-mel dan sebagainya.
Tindakan buli akan memberikan pelbagai kesan negatif yang mendalam terhadap mental dan fizikal seseorang. Mangsa buli berisiko tinggi mengalami masalah kesihatan mental seperti kemurungan, kegelisahan dan trauma jangka panjang. Perubahan dalam tingkah laku juga akan berlaku seperti mangsa buli akan mengasingkan diri mereka daripada orang lain atau mengalami kemerosotan akademik.
Firman Allah SWT dalam Surah Al-Ahzab ayat 58 yang bermaksud:
“Dan orang-orang yang menyakiti orang-orang mukmin dan mukminah tanpa kesalahan yang mereka perbuat, maka sesungguhnya mereka telah memikul kebohongan dan dosa yang nyata.“
Jelaslah bahawa Allah SWT melarang keras perbuatan menganiaya orang lain, sebagaimana ayat di atas kerana kezaliman adalah dosa besar yang membawa kepada azab yang pedih di dunia dan di akhirat kelak, bahkan perbuatan zalim dilarang terhadap binatang sekalipun.
Tambahan pula, kecederaan fizikal selalunya berlaku apabila buli ini terjadi yang lebih menyedihkan kebanyakan kes buli berakhir dengan berita kematian. Hal ini tidak boleh dibiarkan berlarutan kerana perbuatan buli tidak wajar berlaku dalam negara kita. Lebih daripada 85% mangsa buli mungkin mengalami kesan psikologi jangka panjang, yang boleh membawa kepada tekanan dalam kehidupan masa depan dan dalam kes yang paling teruk boleh membawa maut.
Akhir-akhir ini, banyak kes buli yang berlaku di negara kita yang menimbulkan kesedihan apabila kita mendengar tentang kes mereka. Kes Zara Qairina seorang pelajar SMKA Tun Datu Mustapha Limauan Papar Sabah yang baru berumur 13 tahun yang baru berlaku pada tahun ini meninggal dunia pada 17 Julai 2025 selepas didakwa menjadi mangsa buli. Kes Zulfarhan seorang kadet laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia didera dengan kejam menggunakan seterika oleh rakan-rakannya dan meninggal dunia pada 1 Jun 2017.
Tidak dilupakan juga kes Syamsul Haris seorang pelatih PALAPES UTM meninggal dunia di kampus. Kes Muhd Nazmie Aizat seorang pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu Sabah ditemui tidak sedarkan diri di asrama pada Mac 2024. Beliau meninggal dunia akibat kecederaan yang dikaitkan dengan perbuatan rakan-rakan sendiri. Kesemua kes buli ini yang berlaku di institusi pendidikan dan ada banyak lagi kes lain yang berlaku dan tidak saya tuliskan di sini.
Mengikut data Kementerian Pendidikan (KPM) tahun lalu 2024 merekodkan sebanyak 7681 kes salah laku buli meningkat berbanding 6528 kes pada tahun 2023. Jumlah ini sangat membimbangkan masyakat terutama ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka untuk belajar di sekolah, pelajar juga akan merasa takut dan risau dengan wujudnya berita seperti ini malahan akan mengganggu prestasi pembelajaran mereka.
Malaysia perlu berusaha menangani isu buli yang semakin parah pada masa kini. Antara usaha yang perlu dilakukan ialah latihan empati praktikal bukan teorti semata-mata namun perlu melalui role-play atau aktiviti dalam kelas. Selain itu, penggunaan aplikasi digital dan AI boleh dilakukan untuk memantau isu buli ini. Seterusnya, semua sekolah dan univerisiti perlu ada pelan wajib anti buli ditampal di mana-mana tempat dan ada saluran untuk laporan keselamatan atau perlindungan yang dipercayai boleh menolong mangsa-mangsa buli.
Jelaslah bahawa tindakan menangani buli haruslah dilakukan sehingga isu buli ini hilang daripada kehidupan masyarakat. Buli bukan budaya yang harus diterima tetapi penyakit sosial yang mesti dihentikan. Setiap tindakan buli adalah pelanggaran terhadap nilai hormat dan maruah manusia.
Mangsa-mangsa yang dibuli haruslah memberanikan diri untuk memberitahu ibu bapa, guru atau rakan mahupun orang yang boleh dipercayai tanpa rasa takut untuk mendapatkan bantuan dan perlindungan. Ibu bapa juga haruslah peka terhadap perubahan tingkah laku anak mereka dan mewujudkan persekitaran yang menyokong serta aman di rumah. Guru turut berperanan mencipta suasana pembelajaran yang selamat di sekolah dengan memantau dan mengambil tindakan segera terhadap murid yang menunjukkan tanda-tanda menjadi mangsa atau pelaku buli.
Di samping itu, pihak berkuasa turut memainkan peranan penting dalam menangani isu buli ini misalnya pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak sekolah perlu sentiasa bersedia memberi bantuan dan perlindungan kepada pelajar dan orang awam yang memerlukan pertolongan. Kempen kesedaran mengenai buli akan terus dilaksanakan sehingga buli ini tidak berlaku
Kesimpulannya, semua pihak mestilah bekerjasama dalam menangani isu buli agar tidak terus meragut nyawa anak bangsa pada masa depan. Setiap individu berhak hidup tanpa ketakutan dan penghinaan, tiada seorang pun wajar menjadi mangsa buli dalam apa jua bentuk. Tiada tempat untuk buli dalam masyarakat berperikemanusiaan.







Leave a Reply