KEBELAKANGANini, masyarakat dikejutkan dengan berita menyayat hati dengan melibatkan seorang pelajar yang menjadi mangsa rogol beramai-ramai oleh pelajar senior di dalam kelasnya sendiri. Kejadian ini bukan sahaja menggemparkan negara, malah membuka mata kita tentang betapa seriusnya isu gangguan seksual dalam kalangan remaja sekolah.
Sekolah sepatutnya menjadi medan paling selamat untuk belajar. Hal ini membuktikan bahawa ancaman moral dan keselamatan anak-anak boleh berlaku di mana sahaja tanpa mengira waktu dan keadaan.
Antara punca utama gangguan seksual ini berlaku adalah kerana kurang didikan agama dan nilai moral. Hal ini berlaku kerana remaja tidak dibimbing dengan asas agama yang kukuh sejak kecil. Mereka juga mudah terpengaruh dengan gaya hidup bebas yang tidak dikawal oleh ibu bapa serta pengaruh negatif daripada media sosial dan rakan sebaya. Sebagai contoh, ibubapa mengabaikan anak mereka yang tidak menjalankan ibadah wajib seperti solat, puasa dan lain-lain serta membiarkan anak – anak hidup bebas dalam penggunaan telefon bimbit.
Hal ini akan menjadikan seseorang individu itu kurang penekanan tentang akhlak yang mulia. Nilai moral seperti rasa hormat, maruah diri dan tanggungjawab semakin terhakis apabila unsur agama tidak dititikberatkan atau tidak dijadikan panduan dalam kehidupan seharian manusia yang bergelar muslim. Sesebuah keluarga yang tidak mementingkan nilai spiritual dan etika akan menyumbang kepada kerosakan akhlak. Oleh itu, pendidikan agama dan penerapan nilai moral perlu dikukuhkan di rumah dan sekolah agar generasi muda dapat membentuk jati diri yang teguh dan berakhlak mulia.
Mangsa gangguan seksual sering berhadapan dengan trauma yang mendalam hingga meninggalkan kesan sepanjang hayat. Rasa takut, malu, dan jijik terhadap diri sendiri menghantui pemikiran mereka setiap kali mengingati kejadian hitam itu. Sebagai contoh, ada yang kehilangan keyakinan diri untuk berinteraksi dengan orang lain kerana menganggap diri mereka kotor dan tidak bernilai. Luka di hati tidak dapat dilihat dengan mata, namun peritnya jauh lebih parah daripada luka fizikal. Jika tidak dibantu dengan sokongan emosi dan kaunseling yang betul, mangsa mungkin terus hidup dalam bayangan ketakutan dan rasa
bersalah yang tiada penghujungnya. Disamping itu, gangguan emosi akibat kejadian gangguan seksual boleh menjejaskan tumpuan dan motivasi mangsa dalam pelajaran mahupun kerjaya. Di sekolah, mereka mungkin tidak lagi bersemangat untuk hadir ke kelas, takut berjumpa rakan atau guru, dan akhirnya prestasi akademik mula merosot. Dalam dunia pekerjaan pula, mangsa kehilangan fokus, menjadi murung, dan sukar melaksanakan tugasan dengan baik.
Tekanan yang dialami menjadikan mereka hidup dalam dilema antara mahu melupakan kejadian tersebut atau terus berjuang dalam keadaan terluka. Kesan ini jelas menunjukkan bahawa gangguan seksual bukan hanya mencederakan tubuh, tetapi turut membunuh semangat dan potensi seseorang.
Langkah yang dapat dibendung dari masalah gangguan seksual ini adalah penguatkuasaan undang-undang dan penyaluran aduan selamat untuk para pelajar. Undang-undang yang tegas perlu dikuatkuasakan agar pelaku gangguan seksual tidak terlepas begitu sahaja. Setiap mangsa berhak untuk bersuara tanpa rasa takut. Saluran aduan yang selamat dan beretika harus disediakan oleh guru Polis, guru, dan institusi perlu dilatih untuk menangani kes sebegini dengan empati, bukan prejudis.
Apabila masyarakat melihat bahawa kebenaran ditegakkan, barulah timbul keyakinan untuk melapor dan melindungi diri. Keadilan bukan sekadar menghukum, tetapi memberi ketenangan kepada jiwa yang terluka. Seterusnya, Mangsa gangguan seksual tidak sepatutnya dibiarkan menanggung derita sendirian. Mereka memerlukan tangan yang menghulur, telinga yang mendengar, dan hati yang memahami. Oleh itu, saluran aduan seperti Talian Kasih 15999, WAO Hotline, serta Unit Kaunseling sekolah atau universiti perlu diperkasa agar mangsa tidak merasa keseorangan. Dengan adanya ruang selamat untuk bersuara, mangsa akan lebih berani tampil, manakala pelaku pula akan sedar bahawa setiap perbuatan jahat pasti akan terbongkar.
Sebagai penghias bicara akhir, isu gangguan seksual dalam kalangan remaja bukan lagi perkara terpencil. Hal ini, cerminan kepada runtuhnya nilai moral dan lemahnya sistem kawalan sosial. Setiap kes yang berlaku meninggalkan parut dalam jiwa mangsa dan menjadi tanda amaran kepada seluruh masyarakat. Kita tidak boleh terus menuding jari tanpa berbuat apa-apa. Segala hal ini, perlu difahamkan melalui pendidikan agama dan nilai etika, bimbingan keluarga, dan undang-undang yang tegas mesti digerakkan serentak.






Leave a Reply