
MALAYSIA akan kekal sebagai fasilitator Dialog Damai Selatan Thai melibatkan pergerakan pembebasan Patani dan Panel Dialog Damai Kerajaan Diraja Thailand (PEDP/RTG).
Pada masa sama, Ketua PEDP/RTG, Jeneral Somsak Rungsita berkata, rundingan damai itu akan turut melibatkan pergerakan lain, bukan sahaja membabitkan Barisan Revolusi Nasional Melayu Patani (BRN)
Bercakap kepada media di Kem Sirindhorn di Daerah Yarang di sini hari ini (11 Oktober 2025), beliau juga berkata, Thailand akan ‘menjarakkan’ sedikit hubungan dengan Malaysia berkenaan proses rundingan itu.

Ketika ditanya sama ada Malaysia akan terus berperanan sebagai fasilitator, beliau berkata, memandangkan masa yang ada adalah terhad, beliau tidak mahu melakukan terlalu banyak perubahan.
“Kami akan terus menggunakan khidmat mereka (Malaysia sebagai fasilitator) dan menunjukkan keperluan untuk mentakrifkan lagi peranan Thailand.
“Kami juga perlu lebih tegas dengan fasilitator dalam rundingan itu. Pada masa lalu, panel dialog kami lebih banyak tunduk kepada fasilitator.
“Jika ada pemudah cara tambahan diperlukan, kami mungkin perlu membincangkannya dengan lebih lanjut,” katanya sambil mengulangi bahawa Thailand tidak mempunyai banyak masa dan perlu menggunakan Malaysia sebagai fasilitator.
Menjawab soalan sama ada pasukan dialog Thailand akan memberi tumpuan kepada BRN, Jeneral Somsak berkata, pihaknya akan cuba berunding dengan semua kumpulan pembebasan lain.
“Tetapi kerajaan telah beberapa kali berunding dengan BRN, jadi kami perlu berbincang dengan mereka terlebih dahulu. Namun, itu tidak bermakna mereka (BRN) satu-satunya kumpulan yang akan diajak berbincang.
“Kita mesti membuka pintu lebih luas untuk membolehkan semua pihak yang mencari keamanan berkongsi asas yang sama, tetapi semuanya mesti dalam rangka perlembagaan dan keselamatan negara,” katanya.
Menjawab soalan lain, beliau berkata, antara tugas beliau adalah membantu mengintegrasikan pelantikan anggota PEDP/RTG.
Beliau berkata, Perdana Menteri, Anutin Charnvirakul mahu penyelesaian masalah Selatan Thai dikendalikan secara menyeluruh, termasuk melalui rundingan damai.
Jeneral Sommak berkata, antara komponen lain yang akan menyelesaikan konflik Selatan Thai ialah Pusat Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4), polis, sistem keadilan, Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan (SBPAC), dan beberapa organisasi lain.
“Saya akan memberi tumpuan kepada dimensi antarabangsa, khususnya negara jiran. ISOC 4 akan memberi tumpuan kepada isu wilayah. Tentera juga mesti membantu dalam menyelaraskan proses dialog, kerana rundingan tidak boleh berkesan jika tiada perpaduan di sebalik tabir,” katanya.

Sementara itu, Anutin pada sidang media di kem sama menyatakan keyakinannya bahawa Dialog Damai Selatan Thai diketuai Somsak akan membuahkan hasil.
Terdahulu beliau bertemu dengan agensi keselamatan dan gabenor tujuh wilayah sempadan selatanSelatan Thai untuk mendengar taklimat dan laporan mengenai situasi keselamatan serta penyelesaian kepada masalah tempatan.
Perdana Menteri menyatakan bahawa kerajaan akan bergerak ke hadapan dengan mengintegrasikan kerja-kerja tentera, polis, dan agensi pentadbiran ke dalam satu sistem bersepadu untuk meningkatkan risikan proaktif dan menguatkuasakan undang-undang secara sama rata.
Beliau menegaskan bahawa “tidak ada tempoh percubaan untuk kerja keselamatan. Semua kakitangan mesti mula bekerja dengan segera, kerana ini adalah kehidupan rakyat.”






Leave a Reply