Oleh Rohana Mah

KERAJAAN Perdana Menteri (PM) Anutin Charnvirakul – yang hanya mempunyai tempoh pentadbiran selama empat bulan sebelum pilihan raya baharu Thailand diadakan – menyatakan kesediaan untuk menyambung semula proses dialog damai dengan kumpulan pembebasan Selatan Thai.

Susulan itu, kerajaan Thai bersetuju melantik Jeneral Sommak Rungsita sebagai Ketua Panel Dialog Damai Kerajaan Diraja Thailand (PEDP/RTG) yang baharu menggantikan Setiausaha Agung Majlis Keselamatan Negara (NSC), Chatchai Bangchuad.

Untuk rekod kali terakhir pusingan proses rundingan damai diadakan antara PEDP/RTG dan Barisan Revolusi Nasional Melayu Patani (BRN) adalah ketika pentadbiran PM Settha Thavisin yang terpaksa meninggalkan jawatannya pada 14 Ogos 2024. Ketika itu PEDP/RTG diketuai Chatchai Bangchuad.

Ketika kerajaan diambil alih Paethongtarn Shinawatra – anak kepada bekas PM, Thaksin Shinawatra – tiada lagi rundingan damai diadakan sehinggalah beliau disingkirkan daripada jawatan PM pada 29 Ogos lalu.

Baru-baru ini, Ahli Parlimen Narathiwat (Kawasan 5), Kamonsak Leewamoh mengkritik keras dasar kerajaan Anutin dalam usaha menamatkan konflik Selatan Thai yang berlarutan sejak lebih 20 tahun lalu.

Dalam ucapan di Parlimen Thailand, beliau menyifatkan kenyataan tiga setengah baris Anutin menunjukkan tidak ada usaha bersungguh-sungguh bagi menyelesaikannya secara tuntas konflik di sempadan selatan atau lebih dikenali sebagai ‘Deep South’.

Sehubungan itu, beliau mendesak kerajaan pimpinan Anutin menangani segera konflik Deep South, termasuk menubuhkan jawatankuasa bagi meneruskan rundingan damai dengan pergerakan pejuang Selatan Thai.

“Krajaan perlu mengambil tindakan segera menangani isu tersebut tanpa berlengah-lengah seperti meneruskan dasar-dasar baik kerajaan terdahulu, melantik jawatankuasa rundingan damai yang telah pun disediakan, atau menggunakan laporan Jawatankuasa Khas Proses Damai yang telah mengambil masa dua tahun untuk dikaji,” katanya.

Deep South adalah kawasan bergolak di mana serangan terhadap pasukan keselamatan dan orang awam kerap berlaku. Ia meliputi tiga wilayah iaitu Narathiwat, Yala dan Pattani, serta empat daerah di Wilayah Songkhla – Na Thawi, Tepha, Channa dan Saba Yoi.

Pelantikan dan kesediaan menyambung semula rundingan damai ini – walaupun kerajaan mempunyai tempoh pentadbiran yang singkat – dianggap sebagai salah satu langkah penting bagi menyelesaikan masalah keganasan di Selatan Thai melalui jalan damai.

Fokus akan diberikan kepada runding cara, perbincangan, dan penyertaan daripada semua pihak, termasuk kerajaan, rakyat, dan kumpulan berkaitan.

Bagaimanapun, tidak pasti proses rundingan damai ini hanya akan melibatkan PEDP/RTG dengan BRN sahaja atau membabitkan kumpulan pejuang lain, seperti Pertubuhan Pembebasan Patani Bersatu (PULO); Barisan Islam Pembebasan Patani (BIPP); dan Gerakan Mujahideen Islam Pattani (GMIP).

Pada mesyuarat Khamis lalu juga, NSC bersetuju dengan draf dasar baharu bagi pentadbiran serta pembangunan wilayah Selatan Thai 2025-2027 yang merangkumi bab keselamatan, ekonomi, sosial, dan pendidikan.

Kandungan dasar itu akan diterjemah ke lima bahasa, termasuk bahasa antarabangsa, supaya dunia boleh melihat bahawa Thailand menggunakan jalan damai dan berkekalan untuk menyelesaikan masalah. Ia juga akan dibawa untuk kelulusan Kabinet dan dibentangkan di Parlimen Thailand dalam masa terdekat.

Tugas pertama Jeneral Sommak yang mempunyai banyak pengalaman dan pengetahuan mengenai Selatan Thai ialah membentuk pasukan dan komponen lain bagi menyambung semula rundingan damai Selatan Thai.

Sejarah penubuhan PEDP/RTG

Sejak 12 tahun lalu, atau tepatnya pada 28 Februari 2013, Kerajaan Thailand telah menubuhkan lima panel dialog PEDP/RTG untuk menjalankan proses damai dengan kumpulan pejuang Selatan Thai bagi menyelesaikan pergolakan di wilayah sempadan selatan atau dikenali juga sebagai ‘Deep South’.

Panel itu termasuk:

  1. Pasukan Dialog Keamanan – Kerajaan pimpinan Yingluck Shinawatra. Ketua pasukan ialah Lt. Jeneral Paradorn Pattanathabutr, bekas Setiausaha Agung NSC . Ketika mengetuai pasukan itu, beliau juga memegang jawatan Setiausaha Agung NSC.
  2. Jawatankuasa Dialog Keamanan – Kerajaan pimpinan Jeneral Prayut Chan-o-cha, diketuai oleh Jeneral Aksara Kerdphol, bekas Pengerusi Majlis Penasihat Tentera Darat.
  3. Jawatankuasa Dialog Keamanan – Kerajaan pimpinan Jeneral Prayut Chan-o-cha, diketuai oleh Jeneral Udomchai Thammasarorat, bekas komander Tentera Wilayah 4.
  4. Jawatankuasa Dialog Keamanan – Kerajaan Jeneral Prayut Chan-o-cha, diketuai oleh Jeneral Wallap Raksena, bekas Setiausaha Agung NSC.
  5. Jawatankuasa Dialog Keamanan – Kerajaan Settha Thavisin. Ketua jawatankuasa ialah Chatchai Bangchuad, Setiausaha Agung NSC.

Dalam rundingan terakhir diketuai Chatchai Bangchuad, masalah mula timbul apabila beberapa pihak di Thailand yang tidak terlibat dalam rundingan damai itu campur tangan dan memberi pandangan mereka.

Kumpulan ini yang turut melibatkan ahli akademik, termasuk beberapa profesor, dan pemimpin masyarakat, tidak bersetuju dengan keputusan PEDP/RTG yang menerima JCPP (Pelan Komprehensif Bersama Ke Arah Keamanan), atau pelan tindakan pembinaan keamanan yang komprehensif, seperti yang dikehendaki oleh BRN.

Menurut mereka penerimaan itu menunjukkan Thailand berada dalam keadaan yang kurang menguntungkan. Akhirnya, proses rundingan damai dihentikan.

Ketika Paethongtarn sebagai PM, tiada rundingan damai baharu dijalankan walaupun ada ura-ura panel mewakili kerajaan Thai telah ditubuhkan diketuai Jeneral Niphat Thonglek yang pernah terlibat dalam rundingan damai pada 2013 di bawah kerajaan Yingluck.

Antara lain pasukan itu dikatakan turut dianggotai bekas Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Luar, Suwat Jiraphan, yang beragama Islam; Profesor Wutthisarn Tanchai, bekas Setiausaha Agung Institut Raja Prajadhipok; Jeneral Chinnawat Mandej, Ketua Penasihat Keselamatan kepada Timbalan Perdana Menteri Bhumtham; serta Somjai Chuchai, ketua kampung Ban Nok, Daerah Panare, Pattani.

Siapa Jeneral Sommak Rungsita

Beliau dilahirkan pada 25 Mac 1960. Kini berusia 65 tahun dan merupakan bekas kadet Sekolah Persediaan Akademi Angkatan Tentera dan kadet di Akademi Tentera Diraja Chulachomklao.

Jeneral Sommak kemudian melanjutkan pelajaran di Institut Ketenteraan Virginia, Amerika Syarikat (AS) dan menamatkan ijazah sarjana mudanya. Beliau kemudian melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana dalam bidang kejuruteraan elektrik di Virginia Polytechnic Institute dan State University, juga di AS.

Dalam mengikuti latihan ketenteraan, beliau juga adalah lulusan Kolej Komando Tentera dan Staf Am, serta Kolej Pertahanan Nasional. Beliau menamatkan kursus pegawai dan kolonel dalam Kor Isyarat dari Pejabat Dasar dan Perancangan Pertahanan, Kementerian Pertahanan.

Jeneral Sommak memegang beberapa jawatan penting, termasuk Profesor Pendidikan di Akademi Tentera Diraja Chulachomklao; Timbalan Pengarah Projek Peperangan Khas, Jabatan Operasi Tentera; Pengarah Bahagian Latihan dan Pendidikan, Jabatan Pendidikan Tentera Darat; Pengarah Bahagian Dasar dan Perancangan, Jabatan Operasi Tentera Darat; dan Penolong Pengarah Pejabat Dasar dan Perancangan Pertahanan.

Beliau dinaikkan pangkat menjadi Pengarah Pejabat Dasar dan Perancangan Pertahanan, menggantikan Jeneral Wallop Raksena, yang berpindah menjadi Setiausaha Agung NSC pada 2017. Jeneral Sommak kemudiannya dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pertahanan.

Beliau kemudian dilantik sebagai Setiausaha Agung NSC – pegawai tentera ketiga berturut-turut yang dipindahkan daripada tentera ke jawatan awam sejak Majlis Kebangsaan untuk Keamanan dan Ketenteraman (NCPO) mengambil alih kuasa. Pegawai tentera yang pernah menjadi Setiausaha Agung NSC ialah Jeneral Thaweep Netniyom; dan Jeneral Wallop Raksana.

Pada 30 September 2020, beliau menyerahkan jawatan Setiausaha Agung NSC kepada Jeneral Nattapol Nakphanit, menjadi yang keempat daripada lima Setiausaha Agung NSC daripada tentera untuk berkhidmat di bawah NCPO.

Kesimpulan

Pelantikan Jeneral Sommak Rungsita sebagai ketua panel rundingan damai itu mungkin mendapat reaksi berbeza daripada masyarakat umum di Selatan Thai.

Ini kerana sebelum ini terdapat gesaan supaya orang awam mengetuai pasukan perunding bagi pihak kerajaan, dengan alasan bahawa pegawai atau bekas anggota tentera tidak sesuai untuk proses damai, kerana mereka terlibat secara langsung dalam konflik di Selatan Thai.

LAPORAN BERKAITAN RUNDINGAN DAMAI DI SINI

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading