Oleh Wartawan Apa Khabar TV
SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj mengingatkan pembangunan semula tanah Kampung Sungai Baru dan Kampung Bharu di Kuala Lumpur, mesti dilakukan demi kepentingan orang Melayu.
Pada masa sama baginda juga mengingatkan supaya setiap pertimbangan yang dilakukan semua pihak berhubung isu itu perlu mengambil kira sejarah asal penubuhan dan warisan kawasan Kampung Bharu.
“Beta ingin memberi pandangan berhubung isu pembangunan semula tanah di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur.
“Selepas membaca maklumbalas daripada pelbagai pihak, Beta mahu agar isu ini dikendalikan secara teliti dan berhemah dengan keutamaan harus diberikan kepada kepentingan orang Melayu.
“Beta tiada halangan sekiranya kawasan Kampong Bharu hendak dibangunkan seiring dengan peredaran zaman, namun syarat-syaratnya harus jelas dan berpihak kepada orang Melayu.
“Sebab itu, Beta mahu dalam setiap butir pertimbangan yang dilakukan oleh semua pihak berkaitan mengenai hal ini, sejarah asal penubuhan dan warisan kawasan Kampong Bharu harus diambil kira,” titah baginda dalam satu kenyataan media seperti disiarkan melalui laman Facebook Selangor Royal Office, hari ini (18 September 2025).
Titah baginda lagi, Kampong Bharu telah ditubuhkan pada tahun 1899 dan diiktiraf sebagai penempatan masyarakat Melayu untuk tujuan pertanian, hasil kurniaan daripada nenda Beta, Sultan Selangor Ke-5, Almarhum Sultan Sir Alaeddin Sulaiman Shah Ibni Almarhum Raja Muda Musa melalui Warta Kerajaan Negeri Selangor bertarikh 12 Januari 1900 sebagai rizab Malay Agricultural Settlement (M.A.S).
Sultan Sharafuddin juga bertitah bahawa baginda sendiri pernah menetap dan belajar di Sekolah Kebangsaan Raja Muda di Kampong Bharu.
“Justeru, Beta ingin menegaskan sekali lagi bahawa Kampong Bharu memainkan peranan penting kepada kelangsungan dan maruah orang Melayu di Kuala Lumpur.
“Maka, sebarang keputusan atau usaha-usaha pembangunan di Kampong Bharu harus mengambil kira kepentingan orang Melayu untuk waktu ini dan juga untuk jangka masa panjang,” titah baginda.
Berikut adalah kenyataan penuh Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj berhubung isu pembangunan semula tanah di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur.








Leave a Reply