Oleh Somchai Boonlert

DUA pasukan pemantau daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ditempatkan di Thailand dan Kemboja bagi mengawasi pelaksanaan gencatan senjata yang dipersetujui kedua-dua negara, baru-baru ini.

Misi pemantauan antarabangsa dan negara anggota ASEAN itu diketuai sendiri Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang, yang melawat Kemboja terlebih dahulu sebelum ke Thailand.

Pasukan pemerhati yang dibentuk dengan persetujuan kedua-dua negara – Kemboja dan Thailand – ditempatkan sebagai sebahagian daripada mekanisme pemantauan gencatan senjata yang ditubuhkan untuk mengesahkan pematuhan dan membina kepercayaan bersama.

Pasukan pemantau ASEAN dan antarabangsa meninjau kawasan pertempuran di Kemboja.

Misi itu, yang dimulakan di bawah Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, bertujuan memastikan pematuhan penuh kepada perjanjian gencatan senjata yang dicapai awal minggu ini.

Satu pasukan berpangkalan di Kemboja dan satu lagi di Thailand, masing-masing diketuai oleh atase kanan tentera Malaysia yang ditempatkan di kedua-dua negara itu.

Penempatan pasukan pemantau itu mencerminkan komitmen kuat daripada Pengerusi ASEAN dan pihak terbabit untuk menegakkan keamanan dan kestabilan. Pasukan ini akan memainkan peranan penting dalam mengesahkan realiti di lapangan dan mencegah berulangnya permusuhan.

Affendi dan delegasinya tiba di Kemboja pada 29 Julai lalu dan melakukan pemeriksaan tapak di sepanjang kawasan sempadan Thailand-Kemboja yang menjadi perbelahan.

Mereka mengadakan taklimat bersama dengan komander kanan tentera dari kedua-dua pihak – termasuk Komander Wilayah 1 dan Wilayah 2 Angkatan Tentera Thailand dan Komander Wilayah 4 dan Wilayah 5 Infantri Angkatan Bersenjata Diraja Kemboja (RCAF).

Sebelum penempatan di lapangan, delegasi Malaysia mengadakan rundingan peringkat tinggi dengan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pertahanan Kemboja, Jeneral Tea Seiha, serta Panglima RCAF Jeneral Vong Pisen.

Jeneral Affendi dilaporkan mengulangi komitmen Malaysia untuk keamanan dan menyatakan keyakinan terhadap gencatan senjata itu.

Pertempuran Thailand dan Kemboja baru-baru ini adalah yang paling dahsyat dalam tahun-tahun kebelakangan, berpunca daripada pertikaian sempadan berdekatan kuil Preah Vihear.

Sejak 24 Julai lalu, sekurang-kurangnya 34 orang terbunuh dan lebih 200,000 penduduk dipindahkan di sempadan kedua-dua negara dipindahkan.

Bagaimanapun, campur tangan diplomatik Malaysia selaku Pengerusi ASEAN menjadi pemangkin penting dalam meredakan ketegangan dan memulihkan dialog. Kedua-dua negara kemudian setuju dengan gencatan senjata yang dicadangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin lalu.

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading