SEMAKIN cantik dan berisi. Demikian perkembangan penyanyi dikir barat wanita asal Kelantan, Eda Ezrin, yang masih ditahan di Penjara Pusat Narathiwat, Thailand sejak 3 November tahun lalu.

Penyanyi dengan nama asal Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, dan popular dengan lagu ‘Bae Soba Bae’ itu dikatakan menerima hakikat bahawa dia terpaksa tinggal dalam penjara itu sementara menunggu proses rayuan oleh pendakwa raya.

Komander Penjara Pusat Narathiwat, Surin Chanthep berkata, penyanyi itu dalam keadaan sihat dan tidak lagi mengalami kemurungan seperti pada awal dimasukkan di penjara itu.

Katanya, Eda Ezrin dan rakan-rakannya yang ditempatkan di Zon 8 iaitu blok penjara wanita, mengikuti aktiviti harian seperti biasa.

“Dia (Eda Ezrin) sihat, tidak stress. Pihak penjara memberi layanan sama rata kepada semua banduan,” katanya ketika ditemui di penjara itu, semalam (30 Julai 2025).

Seorang pegawai yang menjaga banduan wanita di penjara itu, turut memaklumkan bahawa Eda Ezrin semakin cantik dan berisi.

“Eda Ezrin tidak alami apa-apa masalah, malah dia kelihatan semakin berisi dan cantik… mungkin hatinya senang,” katanya yang enggan dikenali.

Sementara itu, Mahkamah Wilayah Narathiwat belum menerima rayuan rasmi daripada pendakwa raya sama ada akan membawa kes Eda Ezrin, suaminya suaminya, Mohd Affendi Ahmad, 35, serta rakan mereka, Eridieka Mohd Noor, 33; Mohamad Alif Deraman, 33; Nur Aida Mamat, 33; dan Zuhaira Nasrin, 26, hingga ke Mahkamah Rayuan.

“Pendakwa raya belum failkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Pertama membebaskan semua tertuduh,” kata jurucakap mahkamah ketika ditemui hari ini.

Sambil menyemak rekod kes berkenaan, jurucakap itu menjelaskan permohonan pendakwa raya bagi melanjutkan tempoh memfailkan rayuan akan tamat 6 Ogos depan.

“Ini adalah kebenaran terakhir melanjutkan tempoh memfailkan rayuan yang diberikan mahkamah kepada pendakwa raya. Jika pendakwa raya tidak memfailkan rayuan, semua tertuduh akan dibebaskan.

“Tetapi, mahkamah yakin pendakwa raya akan memfailkan rayuan rasmi dalam beberapa hari lagi. Ia adalah amalan biasa oleh pendakwa raya,” katanya.

Untuk rekod, Mahkamah Wilayah Narathiwat telah memberi kebenaran sebanyak lima kali kepada pendakwa raya untuk melanjutkan tempoh memfailkan rayuan terhadap pembebasan semua tertuduh daripada miliki 6,059 biji pil methamphetamine.

Kebenaran kali pertama bermula 6 Mac hingga 6 April, kedua (6 April hingga 6 Mei), ketiga (6 Mei hingga 10 Jun), keempat (10 Jun hingga 6 Julai) dan kelima (6 Julai hingga 6 Ogos).

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading