
SEHINGGA 30 Jun 2025, Phumtham Vejjayachai adalah Timbalan Perdana Menteri (TPM) Pertama dalam kerajaan pimpinan Perdana Menteri (PM), Paethongtarn Shinawatra, manakala Suriya Juangroongruangkit pula TPM Kedua.
Sepatutnya, Phumtham yang memangku jawatan PM sekiranya Paethongtarn tidak dapat melaksanakan tugas atas sebab-sebab tertentu, sebaliknya Suriya pula yang terpilih. Apa sebabnya?
Jawatan Paethongtarn sebagai PM digantung
Pada jam 2 petang semalam (1 Julai 2025), Mahkamah Perlembagaan sebulat suara mengantung sementara tugas Paethongtarn sebagai PM setelah dituduh melanggar piawaian dan etika, susulan kontroversi perbualan telefon dengan bekas pemimpin berpengaruh Kemboja, Hun Sen, yang bocor.

Dalam satu kenyataan Mahkamah Perlembagaan berkata mereka menerima petisyen daripada 36 senator, yang menuduh Paetongtarn tidak jujur dan melanggar piawaian serta etika berkenaan klip audio itu.
Paetongtarn atau dikenali sebagai Ung Ing merupakan PM Thai termuda iaitu berusia 38 tahun, juga adalah anak bongsu Thaksin Shinawatra, PM ke-23, dan pemimpin ketiga negara itu yang berasal daripada keluarga Shinawatra – mengikut jejak langkah bapa dan ibu saudaranya, Yingluck ke dalam politik.
Ung Ing menjadi ketua kerajaan pada Ogos 2024, menggantikan Settha Thavisin, PM ke-30, juga daripada Parti Pheu Thai (PTP), selepas Mahkamah Perlembagaan memerintahkan beliau mengosongkan jawatan itu kerana melantik orang yang tidak berkelayakan sebagai menteri.
Pheu Thai sebelum itu mengalami kekalahan bersejarah dalam pilihan raya 2023, memaksa mereka bergabung dengan parti politik konservatif untuk membentuk ‘kerajaan gabungan rentas parti’.
Punca TPM Kedua menjadi pemangku PM bukan TPM Pertama
Beberapa jam sebelum Mahkamah Perlembagaan mengeluarkan keputusannya, Ung Ing telah melakukan sedikit rombakan Kabinet dan beliau sendiri telah mendapat perkenan diraja untuk memegang jawatan Menteri Kebudayaan.
Rombakan itu turut melibatkan Phumtham yang sebelum itu adalah TPM Pertama serta Menteri Pertahanan.
Perisytiharan dalam Royal Gazette yang diterbitkan pagi semalam menyatakan beberapa menteri, termasuk Phumtham, dilepaskan daripada jawatan sedia ada, tetapi dalam rombakan baharu itu beliau dilantik semula sebagai TPM Pertama serta Menteri Dalam Negeri.
Beliau bersama beberapa menteri terlibat dijadual mengangkat sumpah jawatan dihadapan Raja Thailand esok (3 Julai).
Ini bermakna untuk tempoh hari ini dan esok, Phumtham tidak memegang apa-apa jawatan dalam Kabinet, sekali gus tidak melayakkan beliau memangku tugas PM Thailand.
Untuk rekod, Kabinet Thailand pada 17 September 2024 memperakui Perintah Pejabat Perdana Menteri No. 320/2024, yang menugaskan TPM bertindak sebagai pemangku PM sekiranya PM tidak dapat melaksanakan tugasnya.
Perintah itu menyenaraikan pemimpin yang layak memangku tugas PM mengikut susunan seperti berikut:
- Phumtham Vejjayachai;
- Suriya Juangroongruangkit;
- Anutin Charnvirakul;
- Pirapan Salirathavipak;
- Pichai Chunhavachira; dan
- Prasert Jantarawongthong.
Terbaru, pada 20 Jun, Paethongtarn menandatangani Perintah Pejabat Perdana Menteri No. 184/2568 mengenai pindaan perintah menyerahkan dan mewakilkan kuasa kepada TPM dan Menteri yang berada di Pejabat Perdana Menteri daripada Parti Pheu Thai, setelah Anutin (Parti Bhumjaithai) menarik diri daripada kerajaan campuran.
Undang-undang berkaitan pemangku PM
Dalam bertindak sebagai PM, kuasa adalah berdasarkan Akta Pentadbiran Negeri B.E. 2534, di mana Pemangku PM akan mempunyai kuasa penuh sama seperti PM dalam semua aspek.
Seksyen 41 menetapkan bahawa sekiranya PM tidak dapat melaksanakan tugasnya, TPM hendaklah bertindak menggantikannya.
Jika terdapat beberapa TPM, Jemaah Menteri hendaklah menugaskan salah seorang daripada mereka untuk bertindak menggantikannya.
Jika tiada sesiapa yang memegang jawatan TPM atau ada seorang sahaja, tetapi beliau tidak dapat melaksanakan tugasnya, Jemaah Menteri hendaklah menugaskan salah seorang Menteri untuk memangku jawatan PM.
Seksyen 48, perenggan satu, memperuntukkan bahawa Pemangku PM di bawah akta itu hendaklah mempunyai kuasa dan kewajipan yang sama seperti orang yang digantikannya.

Kontroversi membawa penggantungan jawatan PM
Kontroversi itu berpunca daripada panggilan telefon Ung Ing pada 15 Jun lalu dengan bekas pemimpin berpengaruh Kemboja Hun Sen yang bertujuan meredakan ketegangan sempadan yang semakin memuncak antara kedua-dua negara jiran itu.
Ketika panggilan itu, Paetongtarn, merujuk Hun Sen sebagai ‘bapa saudara’ dan mengkritik seorang komander tentera Thai – sesuatu yang pantang dilakukan kerana tentera mempunyai pengaruh penting di Thailand.
Dalam perbualan itu, beliau kedengaran mengeluarkan kata-kata menghina Panglima Tentera Wilayah Ke-2, melabelkannya sebagai musuh, serta menyatakan penghormatannya kepada Hun Sen. Paetongtarn juga menyatakan kesediaan untuk mematuhi tuntutan orang kuat Kemboja itu.
Untuk rekod Tentera Wilayah Ke-2 menyelia sempadan dengan Kemboja dari Sa Kaeo ke Ubon Ratchathani yang merangkumi empat kawasan yang menjadi perebutan kedua-dua negara.
Walaupun Ung Ing telah meminta maaf dan mengatakan kenyataannya adalah taktik rundingan, 36 senator Thailand tetap menuduhnya tidak mempunyai kelayakan dan integriti mengikut Seksyen 160 (4) dan (5) Perlembagaan Thailand.
Kes ini datang daripada 36 senator, diketuai oleh Jeneral Sawat Tasana, Pengerusi Jawatankuasa Ketenteraan dan Keselamatan Senat yang memfailkan petisyen melalui Presiden Dewan Negara, Mongkol Surassajja, pada 19 Jun. Mongkol segera menyerahkan petisyen itu ke Mahkamah Perlembagaan pada hari berikutnya (20 Jun).
Kumpulan Senat percaya bahawa klip perbualan antara Paethongtarn dan Hun Sen adalah ‘bukti’ yang menunjukkan hubungan antara kedua-dua pemimpin. Paethongtarn mengakui bahawa ia adalah perbualan sebenar, walaupun pada sidang media kemudiannya beliau menegakan ia adalah perbualan telefon peribadi dengan niat untuk berunding secara lembut bagi mengekalkan keamanan dan kedaulatan Thailand.
Bagaimanapun, senator yang menandatangani petisyen itu percaya bahawa “defendan menunjukkan sikap acuh tak acuh dan tidak menjalankan kewajipan untuk bertindak balas atau menetapkan langkah-langkah, termasuk rundingan antarabangsa, selaras dengan tugas dan tanggungjawab yang harus dilakukan oleh seseorang yang berada dalam kedudukan dan keadaan sebagai Perdana Menteri, hanya kerana hubungan peribadi.”
Kemungkinan selepas ini
Penggantungan tugas Paetongtarn sekali gus bakal meredakan tunjuk perasaan antikerajaan yang terus memuncak, khususnya pada Sabtu lalu, yang mendesak beliau meletak jawatan.
Dengan keputusan Mahkamah Perlembagaan, ada kemungkinan tunjuk perasaan itu akan mereda, namun perlu diingat bahawa mahkamah sama boleh menerima alasan Paetongtarn dan mengembalikan semula jawatannya.
Momentum protes itu disebabkan rasa tidak puas hati yang meluas terhadap proses pembentukan Kabinet, dwi standard perundangan, terutama layanan terhadap Thaksin ketika ditahan, dan kekurangan ketelusan dalam institusi awam.
Klip audio perbualan antara Paetongtarn dan Hun Sen, serta pertikaian sempadan dan kasino haram, menambah kemarahan rakyat.
Sementara itu, Mahkamah Perlembagaan memerintahkan Paetongtarn memfailkan penjelasan bertulis dalam tempoh 15 hari. Bagaimanapun, beliau boleh mengemukakan permohonan untuk melanjutkan tempoh berkenaan, sebagaimana pernah berlaku kepada Jeneral Prayut Chan-o-cha dan Settha Thavisin.
Prayut pernah digantung jawatan PM pada 24 Ogos 2022. Beliau mengambil 38 hari untuk memberi jawapan dan pada 30 September tahun sama Mahkamah Perlembagaan mengembalikan jawatannya.
Mahkamah Perlembagaan juga menggantung tugas Settha sebagai PM pada 23 Mei 2024 dan mengambil masa selama 84 hari untuk mengemukakan jawapan. Namun, beliau tetap gagal mendapat kembali jawatannya sehingga diganti oleh Ung Ing.
Satu lagi kemungkinan ialah Mahkamah Perlembagaan akan menolak jawapan Ung Ing. Namun, dilihat daripada susunan senarai Kabinet sekarang ini, Parti Pheu Thai telah bersiap sedia menghadapinya.
Selain itu, kemungkinan juga kerajaan Parti Pheu Thai akan membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihan raya umum lebih awal walaupun, tempoh Dewan Rakyat sekarang akan berakhir pada 28 Jun 2027.
Tetapi langkah itu membimbangkan kerana sokongan terhadap Parti Pheu Thai semakin menyusut.
Dalam senario terburuk, Pheu Thai mungkin terpaksa meminta Parti Bhumjaithai yang kini mempunyai 142 kerusi Parlimen, berbading 143 (Pheu Thai) kembali ke dalam kerajaan, sekali gus mesti bersetuju Anutin menjadi calon PM.
Apa kata Paethongtarn selepas keputusan Mahkamah Perlembagaan?
Selepas menerima keputusan Mahkamah Perlembagaan, Paethongtarn memohon maaf berhubung kaedah yang digunakannya dan menerimanya dengan baik.
Katanya, beliau akan memberikan penjelasan penuh tentang niat sebenarnya berhubung klip audio yang bocor itu.
Menurutnya, niat sebenar beliau adalah untuk melakukan sesuatu kepada negara, memelihara kedaulatan, nyawa semua tentera, dan demi keamanan.
“Saya sangat yakin dalam hal ini, tetapi kaedah itu mungkin menggembirakan ramai atau tidak menggembirakan. Namun, saya akan cuba membuktikan bahawa ia adalah niat sebenar. Saya cuba lebih 100 peratus untuk melakukan sesuatu untuk negara.
“Saya tidak berniat mahukan apa-apa untuk diri saya sendiri. Saya hanya memikirkan bagaimana untuk mengelak huru-hara, tidak perlu berperang, dan tiada pertumpahan darah dalam kalangan tentera.
“Saya sendiri tidak akan dapat menerimanya jika saya mengatakan sesuatu kepada pemimpin yang menyebabkan kemudaratan, perbalahan atau kemarahan… Jika anda benar-benar mendengar dengan teliti, anda akan faham bahawa tidak ada niat jahat,” katanya.
Cik Paethongtarn menegaskan bahawa beliau akan meluangkan masa untuk memberikan penjelasan yang lengkap, dan mengucapkan terima kasih kepada mereka yang memberi dorongan.
“Saya mesti memohon maaf sekali lagi kepada semua saudara dan saudari Thailand yang berasa tidak selesa dengan perkara ini atau berasa marah,” katanya.






Leave a Reply