
BARISAN Revolusi Nasional Melayu Patani (BRN) – kumpulan pejuang kemerdekaan Selatan Thai – mendesak Kerajaan Thailand memberi autonomi untuk pemerintahan sendiri kepada Patani yang merangkumi Wilayah Pattani, Narathiwat dan Yala.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Biro Penerangan Sekretariat Rundingan Damai BRN, kumpulan itu menyatakan pemerintahan sendiri merangkumi tiga komponen utama:
- Majlis Syura (badan legislatif) bagi Negeri Patani;
- Badan eksekutif pemerintahan untuk mentadbir urus wilayah; dan
- Mahkamah Syariah Islam (badan kehakiman) untuk menegakkan keadilan menurut hukum Islam.
“Rakyat kita mesti mendapat yang terbaik dan BRN akan terus berjuang agar komuniti kita mendapat pemerintahan sendiri — dari kita, oleh kita dan untuk kita,” kata BRN dalam kenyataan hari ini (20 Jun 2025) yang turut disiarkan melalui saluran YouTube.
BRN juga mendakwa komuniti Patani telah melalui ketidakadilan selama puluhan tahun, tetapi penduduknya tetap kekal bersatu.
Pada masa sama, kumpulan pejuang kemerdekaan itu turut membidas Kerajaan Thailand yang hanya menambur janji kosong berkaitan kesepakatan dalam Prinsip Am, selain masih gagal membentuk pasukan delegasi bagi meneruskan Dialog Damai.
“Sepertimana disepakati dalam Prinsip Am bahawa kedua belah pihak BRN dan RTG (Panel Dialog Damai Kerajaan Diraja Thai (PEDP/RTG) telah sepakat untuk mencari jalan penyelesaian konflik ini melalui solusi politik, termasuk bentuk pemerintahan, pengiktirafan identity, pembangunann dan ekonomi, pendidkan dan sebagainya.
“Tetapi nampaknya sekarang kerajaan Thai hanya menjual janji kosong. Sampai sekarang ini mereka belum membentuk sebuah tim delegasi untuk mencari penyelesaian yang hakiki.
“Timbalan Perdana Menteri Phumtham (Wechayachai) berulang kali mengatakan kerajaan Thai sedia untuk rundingan damai. Pada 2022 kedua-dua pihak BRN dan RTG bersepakat akan membuat gencatan senjata bersama konsultasi awam. Namun sampai sekarang rakyat masih menunggu.,” kata kenyataan itu.
Mengakhiri kenyataan itu, BRN berjanji akan terus berjuang supaya komuniti Patani mendapat pemerintahan sendiri, selain mengajak rakyat bersatu membela tanah air, membina bangsa dan menentukan nasib sendiri.
Berikut adalah Prinsip-Prinsip Am Proses Dialog Damai yang dibuat dan ditandatangani di Kuala Lumpur, Malaysia pada 31 Mac 2023:
Panel Dialog Damai Kerajaan Thai (PEDP) dan Barisan Revolusi Nasional Melayu Patani (BRN) bersama-sama mengiktiraf perlunya proses dialog damai inklusif yang menjunjung tinggi maruah dan integriti kedua-dua pihak berdasarkan semangat dan isi yang terkandung dalam Gneral Consensus dan Inisiatif Berlin. Selanjutnya, PEDP dan perwakilan BRN telah bersetuju mengenai Prinsip-Prinsip Am Proses Dialog Damai seperti berikut:
- Kedua-dua pihak akan berbincang dan saling mencari solusi-solusi politik berdasarkan hasrat komuniti Patani di bawah Negara Kesatuan Thailand sesuai Perlembagaan termasuk bentuk pemerintahan, pengiktirafan identiti-identiti komuniti Patani, hak asasi manusia, keadilan dan undang-undang, ekonomi dan pembangunan, pendidikan, kebudayaan dan hal ehwal keselamatan dan keamanan.
- Kedua-dua pihak akan berusaha untuk mewujudkan mekanisme yang selamat dan inklusif untuk konsultasi awam di kawasan itu, berdasarkan prinsip maruah, keselamatan, dan kebebasan bersuara, yang akan mencerminkan pendapat dan keperluan semua orang di kawasan itu, tanpa mengira daripada etnik dan agama. Dalam hal ini, langkah keselamatan dan keamanan yang sewajarnya akan disediakan kepada perwakilan BRN yang ditetapkan untuk mengambil bahagian dalam konsultasi tersebut.
- Kedua-dua pihak akan berusaha untuk melaksanakan pengurangan kekerasan yang dpantau melalui mekanisme yang dipersetujui bersama yang akan menciptakan persekitaran yang kondusif untuk perdamaian dan memastikan keselamatan untuk komuniti Patani.
- Kedua-dua pihak akan berusaha untuk membincangkan perincian perkara yang disebut di atas dan berusaha ke arah pelaksanaan sebenar untuk perdamaian dan kemakmuran bagi komuniti Patani dan Wilayah-Wilayah Sempadan Selatan Thailand.






Leave a Reply