
WILAYAH Sempadan Selatan atau dikenali juga sebagai ‘Deep South’ terus bergolak dengan empat letupan bom dan tembakan terhadap orang awam berlaku, mencederakan 11 individu, termasuk lima anggota polis, hari ini (20 Jun 2025).
Lima daripada orang awam itu adalah peniaga yang membuka gerai jualan di kawasan pameran Pasukan Palang Merah di Wilayah Pattani, manakala seorang lagi penduduk tempatan ditembak di Narathiwat.
Kejadian di tapak pameran di Mukim Ru Samilae, Daerah Muang, Pattani, berlaku kira-kira jam 4.45 pagi tadi apabila bom pertama meletup, disusuli bom kedua 15 minit kemudian dan bom ketiga pada jam 5.20 pagi.
Untuk rekod, Deep South merujuk kepada kawasan konflik paling ganas di Selatan Thai yang merangkumi tiga wilayah iaitu Yala, Pattani dan Narathiwat, serta empat daerah di Wilayah Songkhla – Saba Yoi; Tepha; Chana; dan Natawee.

Kekuatan letupan itu mencederakan lima orang awam dan dua anggota polis, serta merosakkan harta benda lain. Mangsa berada di tempat kejadian untuk mengawal gerai jualan barangan masing-masing.
Mereka yang cedera dan dihantar ke Hospital Pattani ialah:
- Sarjan Mejar Attawut Na Songkhla;
- Sarjan Mejar Sahap Passara;
- Solihi Dueramae;
- Usa Yuden;
- Puan Somsri Yuden;
- Cik Yupha Yuden; dan
- Wirachai Saechin.
Pihak berkuasa kini telah mengepung kawasan itu sementara menunggu pemusnah bom dan forensik untuk memeriksa dengan teliti tempat kejadian.
Spekulasi awal mendakwa kejadian itu dilakukan oleh sekumpulan pelaku keganasan yang berharap dapat menimbulkan gangguan pada Pameran Palang Merah Pattani.

Sementara itu, tiga anggota Pasukan Petugas Khas Polis Narathiwat cedera dengan seorang daripada mereka putus kaki kiri apabila bom yang ditanam meletup ketika mereka sedang memeriksa pam air kira-kira 150 meter dari pangkalan pasukan, jam 7.10 pagi tadi.
Mereka yang cedera ialah
- Leftenan Polis Chiarapong Charoen;
- Leftenan Adithep Rosmalee; dan
- Sarjan Thanapat Thongkiew.
Polis Daerah Narathiwat menerima laporan letupan di kolam simpanan air di Kampung Bue Lae Nae, Kampung No. 2, Mukim Manang Tai Yo, Daerah Mueang yang melibatkan Pasukan Petugas Khas Polis Narathiwat 9322.
Selepas menerima laporan, mereka bergegas menyiasat dan mendapati letupan itu mencederakan tiga anggota yang kemudian dibawa ke Hospital Rajanagarindra Narathiwat .
Siasatan mendapati sebelum kejadian, tiga anggota polis berkenaan meninggalkan pangkalan untuk memeriksa pam air di kolam simpanan air.
Ketika mereka berjalan untuk meninjau kawasan itu, Chiarapong terpijak alat letupan buatan sendiri atau jerangkap samar yang kemudian meletup. Kekuatan letupan itu mencederakan ketiga-tiga anggota polis terbabit.
Pihak berkuasa percaya kumpulan bersenjata telah memantau rutin anggota polis berkenaan yang melakukan pemeriksaan di kolam simpanan air itu setiap hari. Letupan itu menyebabkan lubang selebar 90 cm dan dalam 50 cm.
Siasatan menemukan bekas, tong gas 4 kilogram; sistem penyalaan; bahan letupan; pelbagai saiz keluli; bateri litium 3.7 volt dan wayar elektrik.
Dalam satu lagi kejadian, Polis Daerah Rangae, juga di Narathiwat mengesahkan seorang penduduk kampung cedera ditembak pihak tidak dikenali di Ban Kanua, Mukim Kalisa, pagi tadi.
Kejadian kira-kira jam 8 pagi tadi ketika Illiya Heng, 62, berada di tepi sungai di kampung berkenaan, apabila individu tidak dikenali menembaknya. Mangsa dihantar ke Hospital Narathiwat untuk rawatan.

Sementara itu, sepasukan anggota tentera dari Kompeni Infantri 4909 diketuai Sarjan Somyot Rotkhuen menemukan objek mencurigakan menyerupai bom jerangkap samar ketika melakukan rondaan di Kampung Ai Tuengngo di Daerah Si Sakhon, Narathiwat, pagi tadi.
Penemuan dilakukan berhapiran sebuah dusun yang terletak satu kilometer dari pangkalan renjer 4903, ketika lapan anggota tentera terbabit melakukan rondaan di kawasan berkenaan.
Bom itu kemudian dimusnahkan.






Leave a Reply