Oleh Zaharah Hussin, Melati Sumari

Salah satu cabang pendidikan agama Islam ialah menguasai bacaan Al-Quran. Kanak-kanak di awal usia diberi pendedahan membaca Al-Quran demi menanam kecintaan kepada kitab suci penganut Islam. Pembacaan atau tilawan Al-Quran boleh menjadi titik penggerak ke arah cinta kan Al-Quran dan seterusnya mendorong kepada keinginan mendalami isi kandungan Al-Quran.

Menyedari pentingnya kemahiran membaca Al-Quran, sekumpulan penyelidik dari Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya diketuai oleh Prof Dr Zaharah Hussin dengan kerjasama Pusat Pembangunan Ungku Aziz telah menjalankan program penguasaan tilawah al-Quran dalam kalangan murid dari keluarga berpendapatan rendah yang dikategori sebagai keluarga B40. Matlamat program ini adalah untuk membantu murid menguasai bacaan al-Quran dan Iqra dengan mengikuti makhraj dan hukum tajwid yang betul berdasarkan pendekatan pedagogi terbeza, menghafal dan membaca surah pendek untuk dibacakan dalam solat, dan menguasai serta memahami bacaan dalam solat dengan betul.

Seramai 11 murid sekolah rendah dari Tahun 1 hingga Tahun 6 yang menetap di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi menyertai program ini yang berlangsung sebanyak 10 kali bersamaan 20 jam. Program dijalankan di Pusat Pemerkasaan Pendidikan dan Komuniti (PREPKOM) PPR Kerinchi. Program bermula pada 18 Januari 2025 hingga 22 Mac 2025.

Program Pedagogi Terbeza ialah satu program pengajaran yang menekankan kepada kepentingan teknik pengajaran yang dibezakan, iaitu cara berfikir tentang pengajaran dan pembelajaran yang mengiktiraf pelbagai keperluan murid dan menyesuaikan pengajaran untuk memenuhi keperluan tersebut. Ia merupakan pendekatan proaktif yang menyediakan murid dengan cara yang berbeza untuk menguasai kandungan, memproses idea dan membangunkan produk untuk memastikan semua murid mencapai kejayaan pembelajaran. Pendekatan ini menekankan keadilan dalam pendidikan dengan memastikan setiap murid mendapat peluang pembelajaran yang sesuai dengan keunikan mereka. Perhatian dan tumpuan diberikan kepada individu murid dengan mengambil kira kebolehan dan keupayaan mereka.

Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang program berlangsung ialah melatih murid mengenal huruf-huruf Al-Quran, dan seterusnya berkebolehan membaca dan menghafaz surah-surah pendek serta memahami serba ringkas makna ayat. Ini bertujuan melatih murid-murid yang berusia muda ini memahami dan menghayati bacaan Al-Quran dan apabila mereka membacanya dalam amalan harian, mereka akan berusaha menghayatinya. Penghayatan terhadap ayat Al-Quran secara tidak langsung membantu pembinaan karakter individu.

Hasil daripada program ini agak memberangsangkan apabila peserta berkemampuan memperbaiki bacaan Al-Quran dengan baik terutamanya semasa solat. Murid juga berkebolehan membaca ayat-ayat dalam solat dengan betul kerana melalui program ini murid telah dilatih untuk mengenal huruf-huruf Al-Quran. Salah satu keistimewaan program ini ialah kumpulan sasaran yang kecil di mana pembimbing berupaya memberi fokus khas kepada kepelbagaian keperluan individu murid. Adalah diharapkan program ini boleh dimanfaatkan oleh pengajar dan pendidik Al-Quran dalam proses pengajaran mereka kerana penguasaan dan penghayatan Al-Quran walau pada surah-surah yang mudah secara tidak langsung membantu anak-anak muda memahami pengertian solat. Ini adalah penting kerana solat merupakan tiang agama dalam kalangan penganut beragama Islam.

Peserta memberikan maklum balas positif terhadap program ini berdasarkan temubual yang dijalankan. Seorang peserta menyatakan keseronokan mempelajari Al-Quran dengan cara yang agak berbeza dengan kebiasaan tradisional. Peserta menyatakan bahawa kaedah ini mudah difaham dan berharap program seumpamanya dapat dijalankan semula dan diperluaskan di masa hadapan. Seorang lagi menyatakan, “Saya suka mengaji cara ustaz mengajar,” manakala seorang peserta lain menambah, “Saya seronok dapat mengaji secara online.”

Daripada pihak ibu bapa pula, respon yang diterima juga sangat menggalakkan. Seorang ibu menyatakan, “Anak-anak seronok belajar kelas Tilawah Al-Quran walaupun secara Google Meet. Mereka lebih memahami dan minat cara ustaz mengajar. Dalam erti kata lain, anak-anak selesa dan senang faham.” Seorang lagi ibu berkongsi, “Perubahan yang saya nampak, setiap kali pergi kelas tilawah, anak saya suka sangat sertai sebab dia kata mudah faham.”

Pandangan guru turut memberikan gambaran jelas tentang impak program ini. Menurut seorang guru, “Sebagai tenaga pengajar dalam Kelas Tilawah Al-Quran ini, saya melihat sendiri betapa besarnya potensi anak-anak ini bila diberi peluang dan bimbingan yang betul. Mereka bukan sekadar belajar tajwid, tetapi membina keyakinan diri, membentuk adab, dan menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup. Program ini benar-benar membuktikan bahawa pendidikan berasaskan kasih sayang dan pendekatan berbeza mampu menyentuh hati dan membina generasi yang celik huruf al-Quran serta memyentuh jiwa.”

Seorang lagi guru menambah, “Penggunaan pendekatan pedagogi terbeza dalam pengajaran Tilawah Al-Quran sangat membantu saya menyesuaikan kaedah mengikut tahap murid. Saya dapat lihat murid dalam kalangan B40 ini lebih fokus, lebih yakin membaca, dan lebih cepat faham kerana bahan dan aktiviti disesuaikan dengan kemampuan mereka. Ia juga menjadikan suasana pembelajaran lebih menyeronokkan dan inklusif. Mereka juga mempunyai satu platform untuk mereka sentiasa melazimi Al-Quran dan Iqra.”

Daripada pengalaman yang dikongsikan dapat difahami bahawa pengajaran Al-Quran memerlukan metod yang bersesuaian dengan kehendak sesuatu generasi seiring dengan perkembangan zaman. Adalah menjadi tanggungjawab asatizah untuk mengemaskini ilmu dan pedagogi pengajaran mereka demi memastikan anak-anak muda yang beragama Islam mengenal Al-Quran dan seterusnya mempraktikkan apa yang dibaca dalam kehidupan seharian.

Generasi yang seimbang rohani dan jasmani tidak akan mengabaikan pengajian Al-Quran dan akan berusaha mempelajarinya demi memastikan kejayaan hidup yang seimbang. Walau bagaimanapun, pendekatan ini bersesuaian apabila dijalankan dalam kumpulan kecil dan penilaian mengenai keperluan individu murid perlu dijalankan sebelum pengajaran dijalankan. Di peringkat sekolah, saiz kelas yang besar sewajarnya dikecilkan bagi memastikan perhatian terhadap keperluan individu murid dalam memmuridi Al-Quran dapat diberi tumpuan.

Prof Dr Zaharah Hussin dan Prof Dr Melati Sumari adalah Profesor di Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya, dan boleh dihubungi melalui melati@um.edu.my

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading