
PIHAK berkuasa Thailand mematahkan sindiket pengedaran dadah yang aktif di wilayah sempadan selatan susulan serbuan ke atas sarang kumpulan itu di Mukim Pasemas, Daerah Sungai Golok, Narathiwat, dua hari lalu (12 Jun 2025).
Dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kampung Lubokong, Pasemas, pasukan petugas khas menahan tiga anggota sindiket berumur 28, 45 dan 57 tahun, serta merampas 615 kilogram kristal methamphetamine atau syabu.
Menteri Kehakiman Thailand, Kolonel Polis Thawee Sodsong ketika mengumumkan kejayaan itu berkata, dadah terbabit bukan sahaja untuk pasaran tempatan tetapi juga diercayai akan diseludup ke Malaysia.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pemantauan dan Operasi Pencegahan, Penghapusan dan Penyelesaian Masalah Narkotik (CSR) berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Wilayah Yala, semalam (13 Jun 2025).
Menurutnya, operasi membanteras dadah yang dilakukan secara besar-besaran, adalah sebahagian daripada dasar kerajaan untuk meningkatkan penyelesaian masalah dadah dan menjadikannya agenda nasional.
Katanya, pasukan petugas khas diketuai Bahagian Siasatan 2, Biro Siasatan Wilayah Sempadan Selatan dianggotai agensi berkaitan di bawah arahan Pesuruhjaya Polis Diraja Thai, Jeneral Kittirat Phanphet.
“Pada 12 Jun 2025 tiga suspek utama ditahan di sebuah rumah tanpa nombor dalam komuniti Lubokong, Kampung No 3, Mukim Pasemas, Daerah Sungai Golok, Wilayah Narathiwat.
“Dalam pemeriksaan, pihak berkuasa berjaya merampas sejumlah 615 kilogram kristal methamphetamine, bersama sebuah kereta dan dua telefon bimbit.
“Semua suspek didakwa secara bersama memiliki narkotik Kategori 1 (methamphetamine hydrochloride atau crystal methamphetamine) untuk perdagangan, yang mengancam keselamatan negara dan keselamatan awam,” katanya.
Thawee berkata, tangkapan itu adalah hasil siasatan yang dikembangkan susulan rampasan 396,000 pil methamphetamine pada September 2024.
“Ketika ini, dadah merupakan masalah keselamatan yang sedang dipertimbangkan secara serius oleh kerajaan untuk membanterasnya. Siasatan meluaskan sehingga kepada dalang, pengedar utama yang mencuci wang dari rangkaian pengedaran dadah.

“Kita juga bersedia berbincang dan menyelaraskan operasi dengan negara jiran (Malaysia) untuk mencari kerjasama dalam menyelesaikan masalah dengan serius, dan menukar daripada pelan bersepadu kepada pelan strategik,” tegas beliau lagi.
Thawee berkata, Pusat Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC) ditugaskan mengerakkan Pasukan Sukarelawan Menghapus Dadah di Wilayah Sempadan Selatan, melibatkan tiga wilayah iaitu Yala, Narathiwat dan Pattani serta empat daerah di Songkhla – Saba Yoi, Thepa, Channa dan Nathawi.
Menurutnya, sejak operasi bermula pada 1 Jun lalu seramai 241 suspek pengedar dadah ditahan, 681,753 pil methamphetamine dirampas, manakala aset bernilai hampir 17.3 juta baht dibekukan.
Bagi keseluruhan operasi di seluruh negara, beliau berkata sejak tahun lalu hingga sekarang, 12,538 suspek pengedar dadah ditahan melibatkan rampasan lebih 19.2 juta pil methamphetamine; 1,112 kilogram kristal methamphetamine; serta 235 kilogram heroin.
“Selain itu, aset berkaitan kes dadah dirampas dengan nilai keseluruhan lebih 590 juta baht. Pasukan kas akan terus mengembangkan siasatan untuk menangkap mereka yang masih bebas dan merampas aset tambahan serta membawa mereka ke muka pengadilan,” katanya.
Pada masa sama pihak berkuasa turut merampas pelbagai jenis senjata api daripada anggota sindiket dadah terbabit.






Leave a Reply