BARISAN Revolusi Nasional Melayu Patani (BRN) sekali lagi mengulangi pendirian dan kesediaannya untuk meneruskan rundingan damai sekiranya Kerajaan Thailand mempunyai dasar yang jelas untuk menyelesaikan konflik yang berterusan di Selatan Thai.

Pada masa sama, BRN menegaskan komitmennya untuk menerima pakai Pelan Komprehensif Bersama ke Arah Perdamaian (JCPP) yang akan berfungsi sebagai mekanisme yang telus, bertanggungjawab dan inklusif yang menjamin penyertaan seluruh lapisan komuniti Patani.

Sekretariat Rundingan Damai BRN dalam satu kenyataan hari ini (6 Jun 2025) berkata, sejak Ogos 2024 hingga sekarang kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Paetongtarn Shinawatra tidak menunjukkan keikhlasan untuk menyelesaikan konflik di Patani yang telah mengorbankan ribuan nyawa dan mencederakan puluhan ribu yang lain.

“Kerajaan Thai sekarang ini tidak melantik delegasi rundingan serta membatalkan PEDP (Panel Dialog Damai Kerajaan Diraja Thai) membuat pasifnya proses rundingan damai dan ketidaktulusan untuk menyelesaikan konflik yang berpanjangan.

“Ini sekali gus membuktikan tidak ada kepedulian kerajaan sekarang terhadap penderitaan dan nasib rakyat di Patani yang sudah sekian lama hidup dalam tertekan akibat penggunaan undang-undang yang tidak normal

“Berbagai tohmahan dan tuduhan palsu terhadap BRN dengan memanipulasi data dan fakta yang sebenar, ucapan provokatif dan tidak bertanggungjawab demi untuk mendiskreditkan BRN dapat melahirkan efek negatif terhadap usaha untuk mencari penyelesaian konflik di Patani secara damai,” kata sekretariat itu.

Kenyataan yang dikeluarkan sempena Aidiladha yang akan disambut umat Islam Thailand esok (7 Jun), turut mengingatkan bahawa Hari Raya Korban tahun ini diraikan dalam situasi konfik yang sedang memanas, yang perlu diberi perhatian terhadap nasib bangsa yang sedang ditindas.

“Semangat Hari Raya Korban menjadi obor panduan setiap pejuang yang sedang berjuang untuk membela agama, bangsa dan tanah airnya. Setiap perjuangan menuntut pengorbanan – sama ada jiwa raga, harta benda mahupun masa dan tenaga.

“Daripada pengorbanan inilah lahirnya nilai sejati sebuah perjuangan. Bagi komuniti Patani, perjuangan ini bukan sekadar menuntut hak, tetapi membela maruah, warisan dan jati diri yang telah sekian lama dipertahankan,” kata kenyataan itu.

Sekretarian itu juga menjelaskan peningkatan tindakan kekerasan, serangan dan operasi ketenteraan di lapangan yang berlaku adalah disebabkan ketiadaan rundingan sebagai ruang untuk mencari titik penyelesaian konflik.

Menurutnya, sejak 2013 lagi BRN telah menunjukkan komitmen yang jelas dan konsisten terhadap penyelesaian konflik melalui meja rundingan.

“Pimpinan BRN telah melantik delegasi ke meja rundingan sebagai perwakilan organisasi yang sah dan rasmi, membawa mandat organisasi serta mempunyai legitimasi dan wewenang untuk membuat keputusan terhadap perkara-perkara yang berkaitan dengan proses rundingan damai antara BRN dan RTG (Kerajaan Diraja Thai ).

“BRN telah membuktikan beberapa kali gencatan senjata sepihak demi untuk memberi keyakinan supaya usaha proses rundingan damai dapat berjalan dengan baik serta meyakinkan semua pihak, terutama bagi seluruh komuniti Patani yang sudah sekian lama hidup dalam ketakutan dan tertekan oleh kekuasaan absolut terhadap masyarakat Melayu Islam dan seluruh komuniti Patani.

“BRN komited akan berunding sekiranya Kerajaan Thai mempunyai polisi dan kebijaksanaan yang jelas serta tekad yang tulus untuk menyelesai akar permasalahan konflik dan berlandaskan kepada aspirasi rakyat Patani,” kata kenyataan itu.

Sekretariat itu juga menegaskan proses rundingan damai sebelum ini banyak menghasilkan kemajuan seperti Inisiatif Berlin, Prinsip Am dan kedua-dua belah pihak juga epakat untuk menggunakan JCPP.

“Tetapi semua itu terkandas dan pasif apabila kerajaan Thai sekarang tidak menunjukkan komitmen yang jelas terhadap proses rundingan damai.

“Oleh itu BRN menggesa semua pihak menghormati proses JCPP sebagai platform kepada penyelesaian konflik di Patani secara bermaruah dan berkekalan,” katanya.

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading