
POLIS Wilayah 9 mendedahkan lebih 10 pelaku menggunakan dua mesingan M60 sebagai senjata utama melakukan serangan terancang dengan menembak ke arah anggota polis di Balai Polis Chanae, Narathiwat, semalam (28 Mei 2025).
Komander Polis Wilayah 9, Lt Jen Piyawat Cheliamsri ketika mendedahkan hasil siasatan awal kejadian itu berkata, kumpulan terbabit dipercayai turut senjata perang lain.
Menurutnya, kumpulan bersenjata terbabit melepaskan puluhan das tembakan ke arah pondok pengawal dan bangunan balai polis yang menyebabkan seorang anggota terbunuh dan seorang lagi cedera.
“Tindakan kumpulan itu kali ini adalah tindakan yang dirancang rapi dengan mereka mengadakan barisan serangan kira-kira 80 meter di hadapan Balai Polis Chanae.
“Lebih 10 pelaku menggunakan senjata api seperti senapang selain mesingun M60 sebagai senjata utama,” katanya selepas meninjau tempat kejadian hari ini.
Katanya, serangan itu dilakukan pada jam 8.45 pagi semalam, ketika anggota polis berbaris untuk menaikkan bendera Thailand.
Laporan rasmi mendedahkan lebih 10 pelaku menyerang hendap dari semak berhampiran rumah penduduk berhadapan dengan balai polis berkenaan.
Mereka menggunakan dua senjata berat iaitu M60, dan senjata tentera lain untuk menembak dalam barisan panjang kira-kira 80 meter dari bangunan balai polis dan 75 meter dari pondok pengawal.
Sasarannya ialah pondok pengawal dan bangunan balai polis. Pegawai polis, tentera dan kor pertahanan sukarelawan membalas tembakan selama kira-kira 15 minit sebelum kumpulan bersenjata itu berundur ke kaki bukit di belakang bangunan, meninggalkan banyak kesan peluru dan kelongsong peluru di kawasan itu.
Di tempat kejadian, pihak berkuasa menemukan antaranya 62 kelongsong peluru 7.62 (M60) dan 160 kelongsong peluru 5.56 mm.
Komander Balai Polis Chanae, Sarjan Mejar Abdullah Makasen yang ketika itu berada di dalam bangunan terkena tembakan di kepala serta dada kanan sebelum meninggal dunia ketika dirawat di hospital.
Manakala rakannya, Sarjan Mejar Chettha Phromrat, 33, cedera terkena tembakan di dada. Dia kini menerima rawatan di Hospital Narathiwat dan dilaporkan stabil.
Ketika ini, pihak berkuasa sedang mengumpul bukti di kawasan itu dan menggerakkan pasukan bagi mengesan petunjuk kumpulan penjenayah yang dipercayai masih bersembunyi di kawasan berhampiran.






Leave a Reply