
SERANGAN terhadap pasukan keselamatan Thailand berterusan walaupun pihak tentera menaikkan tahap kawalan ke peringkat tertinggi di Wilayah Narathiwat.
Terbaharu, dalam kejadian kira-kira jam 1.14 tengah hari tadi (4 Mei 2025), seorang anggota polis terbunuh, manakala dua rakannya cedera setelah bom yang dipasang dalam kotak kamera litar tertutup (CCTV), meletup.
Kejadian berlaku ketika ketiga-tiga anggota polis terbabit melakukan pemeriksaan terhadap CCTV yang dilaporkan rosak, kata jurucakap Pusat Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4.

Dalam satu kenyataan media hari ini, jurucakap itu berkata, kejadian berlaku di Kampung Air Laja, Mukim Chang Phueak, Daerah Chanae, Narathiwat, yang bersempadan dengan Perak.
“Ketika membuka kotak CCTV berkenaan, satu letupan berlaku mencederakan tiga anggota polis,” katanya.
Mangsa dikenal pasti sebagai:
- Sarjan Mejar Phakphong Suwannachana (meninggal dunia);
- Sarjan Satit Khamhaeng; dan
- Lans Koperal Theepakorn Chusing.
Phakphong cedera parah di muka dan meninggal dunia ketika diberi rawatan di Hospital Daerah Chanae.
Siasatan mendapati sebelum kejadian, pasukan penyiasat telah pergi ke kawasan itu untuk mengumpul maklumat mengenai kumpulan penjenayah yang menembak mati seorang wanita tua buta serta mencederakan anaknya di kawasan Ban Ai Bue Ta, Kampung 4, Mukim Chang Phueak, Daerah Chanae, Jumaat lalu.
Anggota polis terbabit menggunakan tangga yang disandar pada tiang untuk memanjat dan memeriksa CCTV yang dipasang pada tiang elektrik, kira-kira 4 kilometer dari tempat ibu dan anak itu ditembak.
Mereka tidak tahu bahawa pelaku telah meletakkan alat letupan buatan sendiri di dalam kotak kawalan CCTV. Apabila anggota polis membuka kotak itu, ia meletup.
Semalam, pihak berkuasa Thailand meningkatkan langkah keselamatan pada tahap tertinggi di Wilayah Narathiwat susulan beberapa kejadian pengeboman dan serangan terhadap orang awam sehingga menyebabkan kematian dan kecederaan, sejak beberapa hari lalu.
Panglima Tentera Wilayah 4, Lt Jeneral Paisarn Nusang berkata sejak 18 April lalu, keganasan berlaku berterusan, terutama di Wilayah Narathiwat bermula dengan pembunuhan seorang ‘ustaz’ di Sungai Golok.

Serentak itu juga, katanya, semua cuti anggota pasukan keselamatan digantung berkuat kuasa serta-merta selain menitikberatkan kawalan pada waktu solat Maghrib iaitu antara jam 7 hingga 8 malam.
Menurutnya, ada pihak yang memutarbelitkan kebenaran dengan mendakwa pembunuhan ‘ustaz’ itu dilakukan oleh anggota pihak berkuasa.
“Ini mengakibatkan beberapa tindakan balas ganas, seperti serangan bom di flat Balai Polis Kok Khian (yang turut mencederakan beberapa pelajar tahfiz) dan serangan terhadap penganut Buddha di Daerah Waeng.
“Ia disusuli dengan tembakan yang menyebabkan seorang sami muda terbunuh di Daerah Saba Yoi, Songkhla,” katanya.
Jumaat lalu, empat penganut Buddha, termasuk seorang kanak-kanak berusia 9 tahun dan orang tua buta maut ditembak sekumpulan individu di rumah mereka di Daerah Chanae dan Tak Bai, Narathiwat. Tiga lagi orang awam turut cedera dalam kejadian itu.






Leave a Reply