NARATHIWAT: Harapan untuk bebas melihat dunia luar belum kesampaian. Justeru, penyanyi dikir barat asal Kelantan yang popular dengan lagu ‘Bae Soba Bae’ Eda Ezrin, suami dan empat rakan mereka, masih perlu menunggu sebulan lagi di Penjara Pusat Narathiwat.

Ia susulan keputusan Mahkamah Wilayah Narathiwat membenarkan permohonan kedua pendakwa raya bagi melanjutkan tempoh memfailkan rayuan terhadap keputusan membebaskan mereka daripada tuduhan memiliki 6,059 biji pil methamphetamine.

Jurucakap Mahkamah Wilayah Narathiwat berkata, mahkamah telah membenarkan permohonan pendakwa raya yang dibuat pagi semalam.

“Permohonan pertama bagi melanjutkan tempoh memfailkan rayuan sepatutnya tamat Selasa depan (6 Mei).

“Bagaimanapun, pendakwa raya telah mengemukakan permohonan kedua melanjutkan tempoh memfailkan rayuan pagi semalam.

“Tempoh lanjutan kedua itu selama sebulan dan akan berakhir 6 Jun depan.

“Pendakwa raya boleh mengemukakan permohonan kali ketiga iaitu yang terakhir yang tamat tempoh pada 6 Julai, sebelum memfailkan rayuan rasmi,” kata kepada apakhabartv.com.

Jurucakap itu berkata, pendakwa raya memberi alasan masih berusaha mengumpul bukti dan saksi baharu untuk proses rayuan seterusnya.

Pada 2 April lalu, mahkamah membenarkan permohonan pertama pendakwa raya untuk melanjutkan tempoh memfailkan rayuan terhadap Eda Ezrin atau nama sebenarnya Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, suami, Mohd Affendi Ahmad, 35; serta rakan mereka, Eridieka Mohd Noor, 33; Mohamad Alif Deraman, 33; Nur Aida Mamat, 33; dan Zuhaira Nasrin, 26.

Untuk rekod, pihak pendakwa raya diberi tiga peluang untuk memohon melanjutkan tempoh memfailkan rayuan.

6 Mac lalu, mahkamah yang bersidang selama tiga hari (11, 13 dan 14 Februari) membebaskan mereka daripada tuduhan secara bersama memiliki untuk menjual 6,059 biji pil methamphetamine.

Oleh kerana semua tertuduh adalah rakyat asing, mereka tidak dibenar dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu pendakwa raya mengemukakan rayuan.

Susulan itu, mereka kini ditempatkan di Penjara Pusat Narathiwat.

Penyanyi yang sohor dengan irama dikir barat itu ditahan bersama suami dan rakan mereka dalam satu operasi Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Golok di sebuah hotel, pada 1 November 2024.

  • Semua berita mengenai Eda Ezrin di Narathiwat DI SINI

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading