
NARATHIWAT: Empat belas suspek yang disyaki terlibat dalam kes keselamatan di wilayah konflik sempadan selatan atau Deep South, ditahan dalam beberapa siri operasi di sini, Yala dan Pattani sejak 29 April lalu.
Operasi besar-besaran itu dilakukan susulan peningkatan siri serangan senjata api dan pengeboman terhadap pihak berkuasa dan orang awam sejak dua minggu lalu, yang menyebabkan kematian dan kecederaan.
Pusat Pemerintah Hadapan Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 dalam satu kenyataan media hari ini (2 Mei 2025) berkata, tujuh daripada suspek ditahan pada 29 April lalu.

Menurut kenyataan itu, susulan penangkapan berkenaan Pusat Komando Taktikal yang ditubuhkan bagi mengawal keganasan dan mempercepatkan operasi memburu pelaku kes keselamatan, menahan tujuh lagi suspek hari ini.
“Pada 29 April 2025 yang lalu, tujuh suspek telah ditahan untuk disoal siasat bagi memperluaskan lagi siasatan.
“Hasil maklumat daripada suspek yang ditahan itu, tujuh lagi individu yang disyaki terlibat dalam kes keselamatan di wilayah sempadan selatan ditahan,” kata kenyataan itu.
Tiga suspek ditahan dalam operasi di Wilayah Narathiwat iaitu:
- Alyas (nama keluarga dirahsiakan), 31 tahun;
- Anafi (nama keluarga dirahsiakan), 21 tahun; dan
- Mohd Yuhan (nama keluarga dirahsiakan), 37 tahun.
Mereka ditahan bersama barang bukti seperti motosikal, pakaian dan peralatan yang dipercayai digunakan dalam kes keselamatan itu.
Semua suspek dibawa ke Balai Polis Daerah Narathiwat untuk direkodkan sebelum dihantar ke Pusat Siasatan Khas di Batalion Renjer 46.
Di Wilayah Pattani: dua suspek ditahan iaitu:
- Aimalhakim (nama keluarga dirahsiakan), 21 tahun. Dia ditahan di Daerah Nong Chik; dan
- Sapieng (nama keluarga dirahsiakan), 31 tahun. Dia ditahan di Daerah Muang.
Mereka dihantar ke Pusat Siasatan Khas di Batalion Renjer 43 untuk proses siasatan lanjut.
Di Wilayah Yala: dua suspek ditahan iaitu:
- Farhan (nama keluarga dirahsiakan), 29 tahun, ditahan di Kampung 3, Mukim Tasa, Daerah Muang. Dia menjalani soal siasat awal di Ibu Pejabat Siasatan Jenayah Polis Wilayah Yala, sebelum menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Yala Siriratnarak dan kemudian dihantar ke Pusat Siasatan Batalion Renjer 41; dan
- Hanafi (nama keluarga dirahsiakan), 33 tahun. Dia ditahan di Kampung 8, Mukim Bannang Sata, Daerah Bannang Sata. Suspek disoal siasat di Batalion Renjer 33, sebelum menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Bannang Sata dan dihantar ke Pusat Siasatan Batalion Renjer 41, utuk siasatan lanjut.

Menurut kenyataan itu lagi, tentera, polis dan pentadir tempatan memulakan operasi khas penguatkuasaan undang-undang secara bersepadu di 11 lokasi di Yala, Pattani dan Narathiwat, pada jam 3 pagi Selasa lalu (29 April).
“Pemimpin agama, ketua komuniti, serta keluarga suspek turut hadir sebagai pemerhati sepanjang proses tersebut demi ketelusan.
“Hasil dari operasi itu, sembilan suspek disyaki terlibat dalam kegiatan yang boleh mengganggu ketenteraman telah dikenal pasti,” kata kenyataan itu.
Susulan itu, tujuh daripada mereka telah ditahan untuk sesi soal siasat di pusat khas di setiap wilayah. Mereka ialah:
Wilayah Yala
- Adinan, 25 tahun; dan
- Affan, 25 tahun.
Kedua-duanya ditahan untuk soal siasat di Unit Khas Rejimen Renjer 41.
Wilayah Pattani
- Muhammad Hasan, 24 tahun;
- Sukifli, 26 tahun; dan
- Sabudin, 35 tahun.
Mereka dihantar ke Pusat Soal Siasat Unit Khas Rejimen Renjer 43.
Wilayah Narathiwat
- Sulaiman, 24 tahun; dan
- Affnan, 27 tahun.
Kedua-duanya dihantar ke Pusat Soal Siasat Unit Khas Rejimen Renjer 46.
Kenyataan itu juga menjelaskan bahawa selepas operasi dijalankan terdapat penyebaran maklumat tidak benar di media sosial yang mendakwa pihak berkuasa telah menahan ‘remaja’.
“Namun hasil semakan dokumen dan bukti peribadi menunjukkan bahawa semua 7 individu yang ditahan adalah dewasa mengikut undang-undang, di mana yang termuda berumur 24 tahun – tidak diklasifikasikan sebagai “remaja” menurut Akta Mahkamah Remaja dan Keluarga B.E. 2553 dan pindaan,” katanya.
Pusat Pemerintah Hadapan Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 turut menegaskan bahawa operasi dilaksanakan berdasarkan prinsip hak asasi manusia, keadilan, ketelusan dan boleh diaudit dalam setiap langkah, manakala penerangan turut diberikan kepada keluarga suspek secara berterusan.
Orang ramai juga diminta memberi kerjasama melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada nombor terus Panglima Wilayah 4: 061-1732999, talian hotline 1341, atau mana-mana unit khas berhampiran, 24 jam sehari.
Pada masa sama Pusat Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 memberi amaran bahawa sesiapa yang membantu pelaku dengan cara menyembunyikan, menyediakan tempat tinggal atau membekalkan makanan, boleh didakwa mengikut Seksyen 189 Kanun Keseksaan dengan hukuman penjara tidak melebihi dua tahun atau denda tidak melebihi 40,000 baht atau kedua-duanya.
Untuk rekod, Deep South merujuk kepada kawasan konflik paling ganas di Selatan Thai yang merangkumi tiga wilayah iaitu Yala, Pattani dan Narathiwat, serta empat daerah di Wilayah Songkhla – Saba Yoi; Tepha; Chana; dan Natawee.






Leave a Reply