
NARATHIWAT: Keadaan di Selatan Thai, khususnya sempadan selatan (Deep South) kembali tegang apabila keganasan berlaku ketika Perayaan Songkran iaitu sambutan Tahun Baharu Thai.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.45 pagi tadi (13 April 2025), empat anggota tentera dari Rejimen Infantri ke 4503, cedera dalam satu serangan bom motosikal berhampiran sebuah kuil Buddha di Tanjong Mas, Daerah Rangae di sini.
Kejadian berlaku ketika penganut Buddha merayakan Songkran yang bermula hari ini hingga Selasa ini.

Jurucakap polis berkata, bom itu meletup di sebelah tembok Wat Ban Thai, Daerah Rangae, yang juga merupakan asrama renjer, mengakibatkan empat askar cedera.
Katanya, pihak berkuasa mendapati dinding kuil dan bangunan asrama anggota tentera terbabit rosak akibat letupan itu. Empat renjer cedera dan dibawa ke Hospital Rangae. Mereka ialah:
- Ayuming Duere;
- Masabree Masalae;
- Sathit Phakamat; dan
- Chaknarong Kongnuen.
“Siasatan awal mendedahkan bahawa sebelum kejadian, seorang pelaku menunggang motosikal roda tiga atau dikenali sebagai cholei, yang dimuatkan dengan bahan letupan buatan sendiri.
“Lelaki terbabit meletakkan motosikal berkenaan di tepi jalan dinding kuil yang turut menempatkan asrama anggota renjer.
“Rakan lelaki terbabit yang menunggang motosikal kemudian menjemputnya sebelum meninggalkan tempat kejadian.
“Tidak lama selepas itu satu letupan kuat berlaku menyebabkan dinding tembok runtuh dan mencederakan empat anggota renjer,” katanya.
Jurucakap itu berkata, susulan itu kawasan terbabit dikepung bagi membolehkan pasukan pemusnah bom dan bahagian forensik menjalankan siasatan.

Panglima Tentera Darat Wilayah 4, Leftenan Jeneral Paisal Noosang, melawat tempat kejadian dan mengarahkan langkah keselamatan dipertingkatkan.
Ini adalah serangan bom kedua dalam tempoh minggu ini di Deep South.
Dua hari lalu, seorang anggota tentera dan seorang awam cedera apabila pikap dinaiki ketika mengiringi mayat seorang anggota polis yang ditembak mati, terbalik akibat letupan bom yang ditanam di atas jalan di Daerah Waeng, Narathiwat.






Leave a Reply