
NARATHIWAT: Penyanyi dikir barat wanita asal Kelantan, Eda Ezrin, menerima hakikat bahawa dia terpaksa ‘tinggal’ di Penjara Pusat Wilayah Narathiwat untuk tempoh sebulan lagi mulai Ahad lalu (6 April 2025).
Popular dengan lagu ‘Bae Soba Bae’ penyanyi dengan nama sebenarnya Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, berkata dia akan menunggu apa pun keputusan dibuat mahkamah.
Katanya, dia mengetahui laporan mengatakan pendakwa raya telah memohon melanjutkan tempoh mengemukakan rayuan kesnya daripada keluarga yang melawatnya Ahad lalu.
“Apa boleh buat… saya terima keputusan itu dan akan tunggu di sini (penjara).
“Tidak… saya tidak berasa stress (tertekan) susulan keputusan terpaksa tunggu sebulan lagi,” katanya kepada apakhabartv.com semalam (8 April 2025).
Eda Ezrin memberitahu demikian menerusi perbualan telefon dari bilik Ketua Pengarah Penjara Pusat Narathiwat, Komander Surin Chanthep dan bilik kawalan Zon 8 (kawasan penjara yang menempatkan banduan wanita).
“Semuanya ok… tiada apa-apa masalah… tunggu saja lah… tak stress,” katanya dalam perbualan singkat itu.
5 April lalu apakhabartv.com melaporkan Mahkamah Wilayah Narathiwat memberi kebenaran kepada Pendakwa Raya Wilayah untuk melanjutkan tempoh mengemukakan permohonan rayuan berhubung pembebasan Eda Ezrin, suaminya, Mohd Affendi Ahmad, 35, dan empat rakan mereka, berhubung pembebasan mereka daripada pertuduhan secara bersama memiliki dan mahu menjual 1,059 biji pil methamphetamine..
Kebenaran itu diberikan setelah pihak pendakwaan memfailkan permohonan berkenaan pada 2 April, empat hari sebelum tempoh sebulan mengemukakan rayuan tamat.
Sementara itu, ahli keluarga suami kepada Eda Ezrin ketika ditemui di pekarangan Penjara Pusat Narathiwat semalam memberitahu, Mohd Affendi kelihatan sedih apabila terpaksa ‘tinggal’ sebulan lagi di dalam penjara.
“Dia sangat berharap dibebaskan Ahad lalu. Tapi tidak menyangka pihak pendakwaan akan mengemukakan permohonan itu.
“Tadi ada bertemu dia (Mohd Affendi)… nampak raut muka dia sedih lah… harap dia tidak stress,” katanya kepada apakhabartv.com sambil memberitahu keluarganya sentiasa memberi wang untuk kegunaan Mohd Affendi dan Eda Ezrin di penjara.
Bagi pihak keluarga pula, beliau yang enggan disebut namanya berkata mereka juga terkejut apabila mendapat tahu tempoh berkenaan dilanjutkan sebulan lagi.
“Kami menjangkakan mereka akan dibebaskan 6 April lalu,” katanya.
Diberitahu bahawa tempoh mengemukakan rayuan itu boleh berlanjutan sehingga empat bulan, beliau kelihatan sedih namun menerima hakikat undang-undang di Thailand.
“Cuma kami harap ianya tidak berlanjutan terlalu lama,” katanya lagi.





Leave a Reply