NARATHIWAT: Menitis air mata ‘Wan’ (bukan nama sebenar) seorang rakyat Malaysia yang kini tinggal di dalam sel, ketika melihat wajah bayinya dalam pertemuan kira-kira 10 minit di Penjara Pusat Wilayah Narathiwat, hari ini (6 April 2025).

Wan hanya mampu menyentuh pipi bayi berusia enam bulan yang didukung isterinya di sebalik cermin, sambil sebak dan menitiskan air mata.

“Memang sedih sangat bila lihat wajah anak-anak… apa lagi bayi yang mengharapkan belaian kasih bapa.

“Ditambah pula dengan sambut raya dalam penjara… berjauhan daripada isteri dan anak-anak serta keluarga.

“Tapi perkara telah berlaku… saya reda menerima hukuman… ,” kata Wan yang berasal dari Kelantan dan perlu menjalani hukuman penjara enam tahun lebih kerana kesalahan dadah.

Demikian juga bagi ‘Mat’ (bukan nama sebenar), juga dari Kelantan, yang kini sudah dua tahun menjalani hukuman di penjara berkenaan akibat kesalahan berkaitan dadah.

Mat juga ingin memeluk anak lelakinya yang kini berusia empat tahun.

“Tak boleh kenang bila bercakap dengan anak… anak tanya bila saya nak pulang… sebak… sesalan memang ada apa lagi mengingatkan anak dan keluarga.

“Memang menangislah bila bergema takbir Hari Raya… kami solat sunat Hari Raya ramai-ramai di dewan khas di penjara,” katanya yang dihukum penjara 10 tahun enam bulan.

Mat berharap selepas tiga tahun di penjara, hukumannnya akan dikurangkan dan seterusnya mendapat pengampunan Raja Thailand.

Sementara itu, Ketua Pengarah Penjara Pusat Narathiwat, Komander Surin Chanthathep berkata, program yang diadakan semalam dan hari ini melibatkan kira-kira 500 banduan.

Menurutnya, pihak penjara telah menjemput saudara mara banduan untuk hadir bertemu, sama ada secara sidang video atau di bilik khas di mana banduan akan bercakap dengan keluarga mereka menggunakan telefon.

“Program ini diadakan sempena Hari Perkhidmatan Awam 2025. Secara kebetulan ia juga ketika umat Islam menyambut Hari Raya kelima dan keenam.

“Jadi keluarga banduan boleh berhari raya dengan mereka walaupun ada sekatan dan masa yang terhad. Sambutan daripada keluarga banduan amat mengagumkan.

“Ia juga menjadi suatu dorongan dan memberi semangat kepada banduan di penjara ini,” katanya lagi.

Sebelum ini, Penjara Pusat Narathiwat terpilih sebagai ‘Penjara Contoh Ramadan’ dengan pelbagai aktiviti keagamaan diadakan sepanjang bulan puasa lalu.

Kemuncak aktiviti itu diadakan majlis berbuka puasa bersama lebih 300 banduan yang melibatkan Menteri Kehakiman Thailand, Thawee Sodsong, serta orang kenamaan lain, pada 22 Mac lalu.

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading