
SELATAN THAI: Tiga agensi penguat kuasa Thailand menumpaskan rangkaian sindiket pengedaran dadah utama di Selatan Thai dalam operasi bersama di sebuah kebun getah di Daerah Hat Yai, Songkhla, semalam (15 Mac 2025).
Dua individu yang mendakwa menjadi orang upahan sindiket terbabit ditangkap bersama sejumlah dadah bernilai lebih 117 juta baht (kira-kira RM15.5 juta). – yang dikatakan rampasan terbesar di Wilayah Songkhla tahun ini.
Dadah yang dirampas ialah 596 ketul heroin seberat kira-kira 208.6 kilogram bernilai lebih 89.4 juta baht (RM11.8 juta) dan 2,714,000 pil methamphetamine bernilai 28 juta baht (RM3.7 juta), nilai keseluruhan 117.4 juta baht.

Komander Polis Peronda Sempadan Wilayah 4, Lt Jen Polis Nitinai Langyai berkata, rampasan itu adalah hasil kerjasama pihak polis, tentera dan agensi kawalan dadah wilayah selatan.
Menurutnya, dadah itu disimpan dalam sebuah bangsal di ladang getah di Kampung Tha Mo Chai, Mukim Tung Tam Sao, Hat Yai sementara menunggu untuk diserahkan kepada pengedar di Narathiwat, Yala dan Pattani.
“Pihak berkuasa telah mendapat maklumat bahawa heroin dan methamphetamine sedang diangkut ke sebuah bangsal di ladang getah berkenaan.
“Susulan itu, pegawai agensi terbabit melakukan siasatan dan melakukan serang hendap. Sehingga jam 9 malam, seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun menaiki sebuah motosikal datang dan membuka pintu bangsal berkenaan.
“Anggota penguat kuasa melakukan serbuan dan menangkapnya. Pemeriksaan di dalam bangsal itu menjumpai dadah berkenaan yang diisi dalam beg makanan haiwan,” katanya pada sidang media di Hat Yai semalam.

Nitinai berkata, lelaki terbabit yang dikenali sebagai Sayombhu mendakwa dadah berkenaan milik ‘Mr Boss’ atau ‘Mr Tom’ dan disimpan di bangsa itu sementara menunggu dihantar kepada pengedar lain.
Katanya, pada masa sama suspek kedua menghubungi Sayombhu dan bertanyakan sama ada tiga beg dadah yang dipesannya sudah ada kerana dia akan datang mengambilnya.
“Dengan kerjasama Sayombhu, pegawai penguat kuasa memasang perangkap dan memerhati di tempat pertemuan kedua-duanya.
“Lelaki kedua dikenali sebagai Wirot tiba dengan memandu sebuah kereta, sebelum mengambil dadah berkenaan dan diletakkan di tempat bagasi sebelum anggota penguat kuasa menyerbu dan menahannya,” katanya.

Nitinai berkata, Wirot mendakwa kali ini dia dibayar sehingga 40,000 baht untuk membawa dadah berkenaan ke Wilayah Pattani.
“Kami akan segera memperluaskan siasatan terhadap rangkaian pengedaran dadah kumpulan ini… antara yang terbesar di peringkat nasional, selain laluan yang sering digunakan untuk pengangkutan,” katanya.
Pada masa sama, pihak berkuasa turut menyiasat sama ada sindiket terbabit turut menyeludup dadah ke Malaysia, khususnya di sempanjang sempadan Sungai Golok, Narathiwat dan Kelantan.





Leave a Reply