Oleh Azad Jasmi, Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Kedah Berhad

Kita sering hidup dalam paradoks. Kita bekerja keras, mengejar impian, dan berkata pada diri sendiri, “Aku lakukan semua ini demi masa depan yang lebih baik.”

Tapi, bila esok sampai, kita kembali mengulang skrip yang sama iaitu memikirkan hari esok yang lebih baik lagi. Sampai bila? Bukan anda seorang. Saya pun. Itu sebab saya tulis artikel ni. Nak nasihatkan saya sendiri. Namun saya juga cuba kongsikan agar ada manfaat bersama, insya-Allah.

Kejar Masa Depan, Lupakan Hari Ini?

Kebanyakan kita diajar sejak kecil bahawa kejayaan memerlukan pengorbanan. Jangan banyak berehat, jangan leka dengan kesenangan sekarang, kerana “masa depan itu lebih penting.”

Lalu kita pun tunduk pada “dogma” ini dengan bekerja keras, mengejar, menunda kebahagiaan, dengan harapan satu hari nanti kita akan menikmati hasilnya.

Namun, pernahkah kita berhenti dan bertanya: “Benarkan kita akan benar-benar menikmati hari esok itu?”

Berapa ramai yang sudah mencapai impian mereka punyai wang berjuta, rumah besar, kereta mewah tetapi masih mencari, masih nak lagi dan masih rasa kosong? Mengapa?

Ini kerana mereka telah dilatih untuk terus mengejar, bukan menikmati.

Ingat kata-kata saya ini, “Latihlah diri untuk menikmati hari ini.”

Bila satu impian tercapai, mereka segera mencari impian lain untuk dikejar.

Kita sering berkata, “Aku akan bahagia bila sudah stabil,” atau “Aku akan berehat bila sudah kaya,” tetapi hakikatnya, kebahagiaan itu bukanlah destinasi tetapi adalah cara kita menjalani perjalanan.

Hidup Bukan Hanya Tentang Esok

Albert Einstein pernah berkata:

“Learn from yesterday, live for today, hope for tomorrow. The important thing is not to stop questioning.”

Sejarah semalam mengajar kita, esok masih misteri, tetapi hari ini adalah anugerah. Justeru, mengapa kita tidak menghargai hari ini?

Jika kita tidak boleh menikmati hidup sekarang, apa jaminan kita akan menikmatinya di masa depan?

Jika kita sentiasa menunda kegembiraan, menolak ketenangan dengan alasan “belum tiba masanya,” maka sebenarnya masa itu tidak akan pernah tiba.

Mengapa Kita Tidak Bahagia Dengan Apa Yang Kita Ada?

Puncanya mudah kerana kita terlalu fokus pada apa yang kita belum miliki, hingga lupa mensyukuri apa yang sudah ada di depan mata. Kita menganggap kebahagiaan datang dari perkara besar: kejayaan, harta, pengiktirafan. Tetapi hakikatnya, kebahagiaan sering hadir dalam perkara-perkara kecil.

Jika kita terus berfikir, “Aku akan bahagia bila..…”, kita sebenarnya menangguhkan kebahagiaan yang boleh dinikmati sekarang.

Berhenti Berfikir “Aku Akan Bahagia Bila..…”
Kebahagiaan bukan sesuatu yang kita cari di masa depan, tetapi sesuatu yang kita cipta hari ini.

Jangan Jadi Hamba Kejayaan Material
Kejayaan material bukan jaminan kebahagiaan. Jika jiwa kosong, segala pencapaian hanyalah angka tanpa makna.

Hargai Waktu Yang Ada
Masa adalah aset paling berharga yang tidak boleh dibeli atau dikembalikan. Jangan bazirkan ia dengan hanya mengejar sesuatu yang belum pasti, sedangkan hari ini sudah tersedia untuk dinikmati.

Seperti kata pepatah:

“Yesterday is history, tomorrow is a mystery, today is a gift of God, which is why we call it the present.”

Dalam Islam, konsep kebahagiaan bukanlah sesuatu yang hanya terikat pada dunia, tetapi juga berkait dengan kesejahteraan jiwa dan hubungan kita dengan Allah. Al-Quran mengajarkan bahawa manusia sering terperangkap dalam keinginan duniawi tanpa menyedari bahawa ketenangan sebenar hanya datang dengan mengingati Allah:

“Ketahuilah, dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenteram.” (Surah Ar-Ra’d: 28)

Kita sering sibuk mengejar impian dunia tanpa memberi ruang untuk mensyukuri nikmat yang sudah ada.

Kita mengukur kejayaan berdasarkan harta dan kedudukan, sedangkan Islam mengajarkan bahawa kejayaan sebenar adalah kebahagiaan yang berpaksikan kepada iman dan ketenangan jiwa.

Rasulullah SAW bersabda:

“Bukanlah kekayaan itu dengan banyaknya harta, tetapi kekayaan sebenar adalah kekayaan hati (jiwa yang merasa cukup).” (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)

Ini bermaksud, jika kita terus menunda kebahagiaan dengan alasan belum mencapai apa yang diimpikan, kita mungkin tidak akan pernah merasa cukup.

Sebaliknya, jika kita menghargai hari ini dan mensyukuri apa yang kita ada, maka kita sudah pun memiliki kekayaan sebenar—kekayaan hati yang dipenuhi dengan ketenangan dan rasa cukup.

Menghubungkan Dunia dan Akhirat

Islam tidak melarang kita untuk bekerja keras dan mencapai kejayaan duniawi, tetapi ia harus diseimbangkan dengan kebahagiaan rohani.

Kehidupan ini hanyalah satu persinggahan, dan kebahagiaan yang hakiki adalah apabila kita mampu melihat segala yang kita lakukan sebagai satu ibadah.

Firman Allah SWT:

“Dan carilah (pahala) negeri akhirat dengan apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu, tetapi janganlah kamu lupakan bahagianmu di dunia…” (Surah Al-Qasas: 77)

Ayat ini mengingatkan kita bahawa keseimbangan adalah kunci kehidupan bekerja keras untuk dunia, tetapi tidak melupakan akhirat.

Kita perlu berusaha, tetapi dalam masa yang sama, kita juga harus belajar untuk menghargai dan mensyukuri nikmat yang telah diberikan Allah pada hari ini.

Jangan Tangguh Kebahagiaan

Jika kita terlalu sibuk merancang untuk esok, tanpa menikmati hari ini, kita akan terlepas banyak nikmat yang Allah telah berikan.

Kebahagiaan tidak bergantung kepada apa yang kita miliki, tetapi bagaimana kita melihat kehidupan. Jika kita mampu mensyukuri setiap detik yang diberikan, maka kita sudah pun berada dalam kebahagiaan yang sebenar.

Hari ini adalah amanah. Nikmatilah dengan syukur, jalani dengan ikhlas, dan jadikan setiap usaha kita sebagai ibadah. Kerana pada akhirnya, kebahagiaan bukanlah sesuatu yang kita kejar, tetapi sesuatu yang kita cipta dengan hati yang penuh redha.

Saya harap ada manfaat dengan perkongsian kecil ini. Segala yang baik dari Allah dan semua kelemahan dari saya pastinya. Mohon maaf dan selamat berpuasa.

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading